Monday, 15 April 2013

NIZAR GILER BERKEMPEN, LANGGAR PERATURAN SPR, GANTUNG POSTER SEBELUM HARI PENAMAAN CALON


Meskipun hari penamaan calon ditetapkan Sabtu ini, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin yang sebelum ini diumumkan sebagai calon PAS bertanding kerusi DUN Changkat Jering sudah memulakan kempen pilihan raya dengan memasang posternya dan papan tanda manifesto Pakatan Rakyat (PR) di sekitar Parlimen Bukit Gantang.

Tindakan yang dikesan sejak dua hari lalu itu jelas bertentangan atau melanggar Seksyen 24(B)(4)(a) dan Seksyen 24 (B)(4)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sekumpulan pemimpin dan penyokong UMNO Bahagian Bukit Gantang sebentar tadi tampil membuat laporan polis terhadap tindakan penyokong mantan Menteri Besar Perak itu yang menggantung dan mempamerkan poster gambar beliau sebagai calon PAS bagi kerusi DUN Changkat Jering.
Diketuai wakil Pemuda Barisan Nasional (BN) Bukit Gantang, Mohd Adri Adha Mohamad, berkata tindakan calon pembangkang mewakili PAS itu menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana pemasangan poster calon hanya dibenarkan selepas proses penamaan calon selesai iaitu pada 20 April nanti.
“Pada ketika ini, kita belum masuk waktu berkempen dan beliau sendiri (Nizar) juga belum lagi diumumkan sebagai calon DUN Changkat Jering tetapi beliau bertindak menggantung posternya di sekitar Parlimen Bukit Gantang seolah-olah dirinya sah diangkat sebagai calon PAS.
“Justeru, hari ini kami tampil membuat laporan polis terhadap Nizar di atas tindakannya itu yang menyalahi peraturan yang ditetapkan oleh SPR,” katanya kepada Peraktoday.com.
Mohd Adri berkata, pihaknya amat kesal dengan kejadian itu seolah-olah menunjukkan pembangkang boleh berbuat apa-apa sahaja tanpa diambil sebarang tindakan oleh pihak bertanggungjawab.
“Sejak dua lalu, pemasangan poster Nizar dan papan iklan manifesto PR sudah dipasang sepanjang jalan dari Simpang Taiping hingga ke Changkat Jering selain turut meliputi kawasan DUN Kuala Sepetang dan DUN Trong,” katanya lagi.
Sementara itu, Rodzali Zainol, dari DUN Kuala Sepetang berkata, Nizar tidak seharusnya melakukan kesalahan itu memandangkan beliau sudah beberapa kali bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.
Justeru, tindakan wakil rakyat PAS itu yang menggantung poster sebelum hari penamaan calon katanya, menunjukkan beliau mendahului ketetapan SPR.
“Oleh itu, saya dan rakan-rakan yang lain mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap Nizar yang terbukti melanggar peraturan yang ditetapkan berdasarkan laporan polis hari ini,” katanya lagi.
Setiausaha Wanita UMNO Bukit Gantang, Sharina Shafie, membantah keras tindakan Nizar yang memulakan kempen di sekitar Parlimen Bukit Gantang dengan menggantung poster dan papan tanda manifesto PR sedangkan tempoh berkempen hanya akan bermula selepas 20 April ini.
“Papan tanda manifesto didirikan pembangkang di tepi jalan manakala poster Nizar sebagai calon PAS di DUN Changkat Jering turut dipasang sejak dua hari yang lalu.
“Sepanjang tempoh bergelar Ahli Parlimen, Nizar langsung tidak melaksanakan tanggungjawabnya membantu dan membela nasib rakyat di sini dan secara tiba-tiba, poster beliau terpampang sebagai calon DUN Changkat Jering.
“Saya menyeru rakyat Bukit Gantang agar menolak pemimpin seperti Nizar sebaliknya memberi kepercayaan kepada calon BN pada pilihan raya nanti,” tambahnya lagi.

No comments:

Post a Comment