Tuesday, 9 April 2013

NAK PACAK BENDERA PUNYA PASAL, BAKAR KEBUN, TEBANG BULUH.....

Basiroh menunjukkan buluh yang ditemui di kebunnya.

BALING - Seorang pemilik kebun getah, dekat sini, kecewa setelah kawasan kebunnya dibakar gara-gara ada pihak cuba mendapatkan buluh dipercayai untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Basiroh Che Et, 59, dari Kampung Charuk Putih berkata, ratusan buluh muda yang sudah ditebang turut ditemui di kawasan kebunnya.


Menurutnya, dia yakin buluh berkenaan dijadikan tiang bendera parti politik.

“Sekarang ini memang musim cari buluh. Setiap buluh dibeli dengan harga RM1. Buluh ini akan dijual kepada orang politik untuk tujuan pemasangan bendera parti,” katanya ketika ditemui di kebun getahnya di Kampung Becah Sawa, di sini, semalam.

Kejadian itu disedari beberapa hari lalu ketika Basiroh bersama anaknya, Faizah Isa, 29, ke kebun berkenaan untuk menoreh getah.

“Makcik terkejut tengok kebun terbakar. Dah bertahun makcik menoreh di sini, belum pernah lagi kejadian seperti ini berlaku,” katanya.

Menurutnya, dia kesal kerana pihak terbabit bukan sekadar mencuri buluh, malah turut membakar kawasan kebunnya.

“Makcik tak tahu sebab apa mereka bakar kebun ini, tapi banyak pokok getah makcik rosak. Bukan itu saja, getah sekerap yang makcik tinggal dekat kebun ini pun turut terbakar,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu berkata, dia tidak marahkan mereka yang mengambil buluh, tetapi kesal kerana sanggup membakar kebunnya.

“Makcik tak kisah kalau nak ambil buluh, sekurang-kurangnya dapat cerahkan kebun makcik. Tapi, mereka kena minta kebenaran dulu, bukan main masuk saja.

“Selalu pemilik kebun akan minta 30 sen untuk sebatang buluh. Tapi, makcik tak kisah. Ambilah banyak mana pun, makcik tak kira duit. Tapi, kena ada cara, jangan masuk macam itu saja. Ini sampai bakar kebun makcik,” katanya.

Katanya, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak tetapi berharap pihak berkenaan tidak lagi melakukan tindakan sedemikian.

“Kalau nak buluh, jumpa makcik elok-elok. Minta kebenaran, makcik bagi," katanya.

No comments:

Post a Comment