Wednesday, 24 April 2013

'BOM' MELETUP DI CERAMAH BN.. SEORANG PETUGAS PARAH....???


Seorang petugas keselamatan Barisan Nasional (BN) parah di kaki akibat letupan dalam timbunan sampah di belakang Bilik Gerakan Pilihan Raya BN di Jawi di sini, malam tadi.

Kejadian jam 10.15 malam itu mengejutkan 3,000 orang yang sedang mendengar ceramah disampaikan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan.



Difahamkan, ketika kejadian, lelaki berusia lingkungan 30-an itu berada berhampiran longgokan sampah sebelum ia tiba-tiba meletup, menyebabkan betis kanannya cedera dan berdarah.

Mangsa dihantar ke Hospital Sungai Bakap, dekat sini oleh petugas BN bagi mendapatkan rawatan lanjut.


Beberapa saksi yang berada di tempat kejadian tergamam dan tidak sempat berbuat apa-apa berikutan ia berlaku pantas.

Saksi, A Michael, 39, berkata ketika kejadian, dia sedang mendengar ceramah bersama isteri, M Jenytuba, 36, berhampiran kereta sebelum longgokan sampah di hadapan mereka meletup.

Letupan itu sungguh kuat. Saya tidak nampak sesiapa mencurigakan sebelum itu, hanya beberapa kanak-kanak bermain berhampiran longgokan sampah berkenaan.

Kejadian ini benar-benar mengejutkan saya, malah isteri turut trauma, katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat meninjau lokasi bersama anggotanya untuk menyiasat punca kejadian.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi keterangan kerana kejadian itu masih dalam siasatan.

Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman, mengutuk kejadian itu dan meminta polis menyiasat pihak yang bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment