Friday, 29 March 2013

PENGAKUAN ANWAR BERTEMU NUR MISUARI ......


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaku bertemu Ketua MNLF (Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro) pada tahun 1990-an iaitu ketika beliau masih berjawatan Timbalan Perdana Menteri yang dilihat sebagai cubaan untuk menyembunyikan pertemuan pada Julai dan Ogos 2012, kira-kira enam bulan sebelum pencerobohan pengganas di Lahad Datu.


“Saya mahu ceritakan sejarahnya. Ketika bersarapan dengan Presiden Fidel Ramos di (Istana) Malacanang, dia meminta tolong dari saya menyampaikan mesej kepada Nur Misuari untuk menyelesaikan perjanjian perdamaian antara Filipina dengan MNLF.

“Saya cakap kepada Nur (Misuari), sebaiknya cari jalan damai, kerana itu pendirian saya. Alhamdulillah dia setuju. Dia kemudian diangkat menjadi gabenor ARMM (Wilayah Autonomi Muslim Mindanao).

“Saya sebagai Timbalan Perdana Menteri bawa rombongan dengan peniaga-peniaga untuk bantu, dengan persetujuan Presiden Filipina. Jadi, saya berkawan. Dr Mahathir, Perdana Menteri ketika itu jemput Nur Misuari ke Kuala Lumpur atas jemputan rasmi bagi taklimat EPU (Unit Perancangan Ekonomi).

“(Kita) bagi sokongan kepada masyarakat di selatan Filipina ketika itu untuk cari jalan damai, berbaik dengan Manila dan sebagainya,” kata Anwar pada ‘Himpunan Pakatan Harapan Rakyat – Demi Keselamatan, Keamanan & Kedaulatan Sabah’ di Kota Kinabalu 24 Mac, dilaporkan Suara Keadilan.

Blogger Sabah, musram rakunman berkata selepas insiden pencerobohan, Anwar hanya berani datang ke tempat yang aman seperti Kota Kinabalu, tetapi takut menghampiri kawasan-kawasan yang berhampiran dengan Lahad Datu, khususnya Sabah Timur.

“Kini penduduk yang dilanda krisis terutama pantai timur Sabah, rata-rata penduduknya begitu beremosi dan marah kepada “bakal Perdana Menteri” itu.

“Anwar tidak dapat menyorok lagi pengelibatannya terhadap penerobohan Lahad Datu, kerana bukan sahaja media tempatan, malah antarabangsa seperti AFP, Reuters, Manila Times dan banyak lagi membawa laporan bahawa persengkongkolan antara Anwar dan Nur Misuari adalah punca pencerobohan Lahad. Datu.

“Anwar boleh mengelak sementara waktu, tapi ingat, pelanduk selalu lupa pada jerat,”katanya.

Raja Petra Kamarudin (RPK), pengendali portal propembangkang, Malaysia-Today baru-baru ini mendedahkan dua kali pertemuan Anwar dengan Misuari berlaku kira-kira tujuh atau enam bulan sebelum berlakunya pencerobohan pengganas di Lahad Datu.

Pertemuan itu berlaku pada tarikh dan lokasi berbeza iaitu pada 16 Julai 2012 di Hotel Crowne Plaza, Jakarta dan pada 4 Ogos 2012 di Manila.

“Pada 16 Julai 2012, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terbang ke Jakarta untuk bertemu dengan Nur Misuari – yang sangat dekat dengan Anwar sejak masih dalam kerajaan – dan komander tentera MNLF.

“Mesyuarat tersebut telah diadakan di Hotel Crowne Plaza Jakarta dan telah diatur oleh Ahli Parlimen Indonesia – satu lagi kawan rapat Anwar – menurut perintah Anwar.

“Mesyuarat kedua telah diadakan di Manila pada 4 Ogos 2012 bertujuan untuk memuktamadkan dan menandatangani perjanjian,”katanya dalam rencana bertajuk “The untold story of the Lahad Datu incident.”

Dalam pertemuan itu Anwar dilaporkan telah meminta bantuan Misuari untuk memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 57 kerusi parlimen di Malaysia Timur untuk merebut kuasa kerajaan persekutuan dari Barisan Nasional (BN).

RPK berkata, Anwar yakin dapat menang 82 hingga 85 kerusi di Semenanjung, tetapi tidak begitu yakin dapat memenangi 57 kerusi di Sabah dan Sarawak, oleh itu beliau telah meminta pertolongan Misuari untuk menjayakan hasrat Pakatan mendapat jumlah kerusi tersebut.

Dedahnya lagi, Anwar meminta pertolongan Misuari itu kerana tahu ramai warga Filipina beragama Islam yang berada di Sabah dan Sarawak turut memegang kerakyatan Malaysia dan boleh mengundi.

Sebagai balasan, RPK berkata Anwar telah berjanji bahawa Sabah dan Sarawak akan diberi autonomi, apabila Pakatan menang kerajaan persekutuan.

“Negeri itu akan diberikan royalti minyak 20% untuk memastikan Sabah dan Sarawak menjadi kaya, dengan dianggarkan RM4 bilion setahun bagi setiap negeri.

“Anwar juga berjanji bahawa rakyat Filipina yang bukan warganegara Malaysia di Malaysia Timur akan diberi kewarganegaraan Malaysia, atau sekurang-kurang status pemastautin tetap supaya mereka boleh mencari pekerjaan di Sabah,” dedahnya.

Nur Misuari telah bersetuju kepada terma Anwar kata RPK dan telah melantik Ibrahim Omar sebagai penyelaras, atau “duta tidak rasmi” ke Sabah untuk membantu Anwar meraih sokongan umat Islam Filipina di negeri ini.

RPK turut mendakwa pencerobohan pengganas ke Lahad Datu adalah sebagai sebahagian strategi merealisasi mencapai matlamat itu.

“Ia untuk meyakinkan umat Islam Filipina di Sabah bahawa mereka mesti bersatu di belakang Anwar untuk mendapatkan autonomi daripada kerajaan persekutuan,” dedahnya lagi.  
-AIDC

No comments:

Post a Comment