Thursday, 14 March 2013

ANAK KIRAM SOKONG BAPANYA TERKORBAN DI SABAH....???


Jacel Kiram, iaitu anak perempuan ketua kumpulan penceroboh Sulu di Lahad Datu, Jamalul Kiram III, muncul dengan akaun Twitter rasminya semalam.

Jacel telah memulakan salam perkenalannya dengan mengesahkan ketulenan akaunnya.


Twitnya yang kedua pula mengucapkan kata-kata semangat kepada ayahnya.

Dalam masa sejam, akaun Twitter-nya telah mencecah lebih 1,500 pengikut yang kebanyakannya rakyat Malaysia.

Dalam salah satu twit, Fatin Nadia telah memberitahu Jacel supaya menyuruh abang-abangnya pulang ke Filipina.

Jacel bagaimanapun telah membalasnya dengan meminta kerajaan Malaysia ‘memulangkan’ kembali tanah yang didakwa kononnya kepunyaan mereka.

Dalam satu lagi balasan tuit kepada Geminianeyes, Jacel sekali lagi telah mendakwa kononnya Sabah bukanlah milik Malaysia.

Jacel berdiri teguh di belakang ayahnya tentang tuntutan puak Kiram terhadap Sabah dan menegaskan bahawa menyerah diri bukanlah pilihan bagi bapa saudaranya, Agbimuddin Kiram dan tentera pengganasnya.

Dalam sebuah laporan ABS-CBN, anak perempuan Kiram itu masih mengharapkan penyelesaian secara aman, meskipun berdegil tidak akan ‘menyerahkan’ Sabah.

“Kami tegas dengan pendirian tidak akan menyerah diri,” katanya kepada laporan portal berita tersebut.

Sementara itu kerajaan Malaysia sekeras-kerasnya menolak dakwaan media Filipina kononnya berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap warga Filipina semasa operasi mengusir pengganas Sulu di Sabah baru-baru ini.

Kementerian Luar, dalam kenyataan malam ini berkata, dakwaan yang disiarkan oleh akhbar Inquirer pada 9 dan 10 Mac lepas didapati tidak mempunyai bukti dan justifikasi serta bercanggah dengan amalan kewartawanan profesional.

"Dakwaan yang dilaporkan itu adalah rekaan pembohongan oleh mereka yang berniat merosakkan serta menimbulkan ketegangan hubungan baik dan erat antara Malaysia dan Filipina," katanya.

Akhbar itu mendakwa pasukan keselamatan negara bertindak kejam dengan menyasarkan warga Filipina keturunan Suluk dan Tausug di Sabah berikutan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna.

Kenyataan itu menyebut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib, yang terbabit dalam operasi itu, telah menafikan dakwaan itu dan perkara itu turut disahkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kementerian itu berkata, kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan terus bertindak mengikut undang-undang dalam negara dan antarabangsa dalam melaksanakan tanggungjawab dalam menghadapi pengganas bersenjata dari selatan Filipina itu.

"Tidak perlu diingatkan bahawa kumpulan pengganas itu telah melakukan tindakan keganasan dengan pembunuhan kejam dan kekejaman di Lahad Datu dan Semporna," katanya.

Kenyataan itu menyebut, langkah perlu akan diambil bagi memastikan keperluan kemanusiaan semua orang awam di kawasan berkenaan akan ditangani sepenuhnya.

Pihak berkuasa Malaysia, dengan sokongan padu semua rakyat Malaysia, akan kekal berdiri teguh dalam usaha melindungi keamanan dan keselamatan serta mempertahankan kedaulatan negara, katanya. SUMBER

No comments:

Post a Comment