Tuesday, 26 March 2013

AL-FATIHAH : NEGARA KEHILANGAN SEORANG ILMUAN AGAMA....


Semasa hidupnya, beliau mungkin tidak pernah mendapat pendidikan formal dari Timur Tengah atau Universiti Al-Azhar yang tersohor di Mesir, namun tidak mungkin ada sesiapa pun dapat menafikan ketinggian ilmu dan segala jasa serta pengorbanannya di dalam bidang dakwah di rantau ini.


Beliau yang saya maksudkan ialah Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, seorang ilmuan atau ulama terkenal negara yang meninggalkan kita buat selama-lamanya. 

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Taman Duta, petang tadi (7.30 malam semalam), Al-Fatihah.

Allahyarham mesra disapa dengan panggilan Ustaz sahaja. 


Kezuhudan dan akhlak anak kelahiran Kampong Telok, Panji, Kota Bharu, Kelantan itu membuatkan beliau sangat dihormati dan disegani oleh seluruh umat Islam di rantau Asian Tenggara.

Ustaz Muhammad dilahirkan pada 1 Februari 1943. 

Mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu, sebelum memasuki Special Malay Class di Sekolah Sultan Ismail, yang kemudiannya dinaik taraf menjadi Maktab Sultan Ismail (Sultan Ismail College) hingga ke Tingkatan 5.

Beliau kemudian mengambil Higher School Certificate (HSC) di Maktab Sultan Abdul Hamid, atau lebih dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), sebuah kolej yang melahirkan dua Perdana Menteri ulung negara, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Dr Mahathir Mohammad.

Allahyarham kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Fakulti Pengajian Islam di Universiti Malaya untuk mendapat ijazah sarjana muda dan meneruskan pengajian di universiti berkenaan sehingga ke peringkat ijazah sarjana sambil bekerja sebagai tutor di situ pada tahun 1969.

Pada tahun 1973, beliau memutuskan untuk berhenti menjadi pensyarah di UM dan kembali ke kampung halamannya di Kelantan untuk memberi fokus pada minatnya iaitu menulis buku agama sambil berdakwah ke jalan Allah SWT.

Beliau pernah menterjemah Al-Quran Al-Karim dan menghuraikan maksud kalamullah. 

Malah buku-bukunya seperti “Fathul Mu’in, terjemahan dan Huraian Maksud” dan“Islam, Peribadi, Tarbiah dan Institusi” pernah diterbitkan Majlis Agama Islam Kelantan.

Semasa hayatnya diabdikan pada bentuk penulisan ke jalan Allah SWT itu, dilaporkan bahawa beliau telah menghasilkan ratusan buah buku ilmu dan dakwah mengenai Islam serta tersebar di seluruh dunia, khususnya di Malaysia.

Maka tidak hairanlah apabila Ustaz Muhammad Uthman kemudiannya dikurniakan anugerah Ijazah Doktor Persuratan Kehormat (D. Litt.) dari USM kerana jasa usaha dan penulisannya yang syumul dalam pemikiran Islam serta gerakan dakwah di negara ini.

Setelah itu, beliau telah menerima gelaran ijazah kehormat Doktor Falsafah (Ph.D), Universiti Utara Malaysia.

Dr. Muhammad Uthman pernah dilantik sebagai Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 1995 hingga 2008 dan perlantikannya itu kemudiannya disambung semula hingga 2010.

Jawatan terakhri yang disandang beliau adalah Felo Amat Utama Akademik ISTAC di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Karyawan, juga pensyarah sambilan peringkat ijazah sarjana dalam perbandingan agama UiTM.

Menariknya tentang Allahyarham, beliau pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 2005 dan pernah menjawat jawatan Profesor Adjung Pengajian Islam Universiti Petronas.

Diantara jasa beliau semasa hayatnya, Dr. Muhammad Uthman begitu konsisten, tegas dan sering mempersoalkan tentang fahaman sesat, Pluralisme, yang dipercayai disebarkan oleh Anwar Ibrahim melalui Insititut Kajian Dasar (IKD).

Menurut ulama terbilang itu, Pluralisma perlu dibanteras segera dari terus menular di kalangan rakyat dan memfatwakan fahaman tersebut sebagai sesat. 

Ketegasan beliau pernah ditegaskan di sebuah majlis anjuran Mykmu.net tidak lama dulu.

Sebagai seorang “pelajar tidak formal” kepada Ustaz Muhammad Uthman, saya merasakan pemergian beliau adalah satu kehilangan besar pada umat Islam di negara ini.

Selain itu, sebagai seorang tokoh ilmuan yang sering dijemput ke program-program anjuran Mykmu.net sebelum ini, saya percaya kehilangan beliau yang fasih berbahasa Melayu, Inggeris dan Arab itu sangat dirasai oleh kami.

Justeru itu, saya memunajatkan doa kepada Allah SWT supaya mencucuri rahmatNya kepada Allahyarham Dr Muhammad Uthman dan semoga rohnya ditempatkan bersama para syuhada, para solihin, para sahabat dan anbiya’ RA. 

Semoga damai beliau disana… Amin. - MyKMU.net

Beberapa rakaman kenangan Allahyarham ketika bersama kami dalam Program Seminar Fiqh Mentaati Pemimpim (Fiqh Ta'ati Ulil Amri).


LAGI GAMBAR DAN INFO.....DI SINI

No comments:

Post a Comment