Sunday, 3 February 2013

TAKZIAH : WARTAWAN AL-JAZEERA RAKYAT MALAYSIA MAUT TERKENA TEMBAKAN DI LUBNAN


Seorang rakyat Malaysia, yang berkhidmat sebagai penerbit Al-Jazeera Online, mati terkena tembakan, dipercayai secara tidak sengaja, di Lubnan kira-kira jam 2.30 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) semalam.

Laporan The Star Online menyebut bahawa ketika kejadian, Claudia Theophilus, 42, berada di Baakleen, bersama dua rakannya.

Mendiang berkhidmat dengan Al-Jazeera yang berpangkalan di Doha, Qatar sejak November 2006. Sebelum itu, beliau pernah bekerja dengan Malaysiakini dan akhbar The Sun.

Baakleen terletak kira-kira 45 kilometer ke tenggara Beirut.

Menurut laporan itu, salah seorang daripada dua rakannya yang berada bersama Claudia ketika kejadian melaporkan kepada Kedutaan Malaysia di Beirut mengenai kejadian itu.

Polis tempatan dilaporkan telah menahan kedua-dua rakan itu.

Siasatan awal menunjukkan mendiang tertembak secara tidak sengaja.

Laporan itu juga menyebut mendiang dan dua rakannya bermain menggunakan raifal dan salah seorang telah melepaskan tembakan secara tidak sengaja.

Malah menurut beberapa laporan, Claudia terkena tembakan ketika beliau dan dua rakannya sedang 'bermain' dengan beberapa laras senapang sebelum senjata itu tiba-tiba meletup.

Duta Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppanan mengesahkan mangsa mati disebabkan tembakan tetapi maklumat sebenar kejadian masih kabur.

Mendiang dikatakan berada di Lubnan sejak 28 Januari lalu untuk mengunjungi rakannya.

Ilango dipetik Bernama berkata, menurut laporan awal polis, tiada elemen jenayah dalam kejadian yang menimpa Claudia.

"Sebaliknya, ia berlaku secara tidak sengaja yang mana dia (Claudia) terkena tembakan dari satu senjata api," katanya.

Beliau berkata, mayat Claudia akan dibawa pulang selepas segala urusan forensik dan bedah siasat selesai dijalankan.

Menurutnya, Claudia berkunjung ke Baakleen bersama dua rakannya yang merupakan rakyat Lubnan. (Sinar)

No comments:

Post a Comment