Sunday, 3 February 2013

HELIKOPTER NURI TIDAK AKAN DIJUAL.....



KUALA LUMPUR  :  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berhasrat menjual 30 pesawat helikopter Nuri jenis Sikorsy buatan Amerika Syarikat, yang telah berkhidmat lebih 50 tahun dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).
Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata sebaliknya lebih ekonomi dan praktikal pesawat itu dibaikpulih untuk membantu helikopter EC725 Cougar yang baru dibeli kerajaan.

Malah beliau yakin ATM masih memerlukan pesawat Nuri terutamanya dalam tugas-tugas utiliti dan misi bantuan biarpun negara akan memiliki 12 helikopter EC725 Cougar buatan Perancis awal tahun depan.
ATM menerima dua daripada 12 helikopter EC725 Cougar pada 3 Disember tahun lalu untuk menggantikan sebahagian 30 pesawat Nuri TUDM dan ditempatkan di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang, berperanan sebagai pesawat latihan selain mempunyai fungsi utama iaitu bagi memperkuatkan misi mencari dan menyelamat dan juga sebagai pesawat pengangkut serta utiliti lain.
"Kita akan menambah baik dan menaik taraf pesawat Nuri kerana ia masih baik dan masih boleh digunakan untuk misi-misi bantuan, kita perlu menambah baik dari segi sistem dan bahagian kokpit serta beberapa bahagian lain," katanya dalam satu ditemu bual di sini.
Beliau berkata penambahbaikan yang akan dijalankan terhadap pesawat Nuri dijangka mampu memantapkan penugasan utiliti selain dapat membantu pesawat EC725 Cougar.
"Ada sebahagian daripada Nuri, kita akan tempatkan untuk kegunaan tentera darat," katanya.
Zulkifeli berkata dalam masa yang sama pemilikan pesawat EC725 Cougar yang baru dimiliki ATM baru-baru ini bertujuan meningkatkan keberkesanan tugas pemantauan ruang udara selain turut berperanan dalam misi bantuan dengan lebih cekap.
Bagi meningkatkan tahap keselamatan ruang udara negara, ATM turut meneliti bagi mendapatkan beberapa pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) serta pesawat Airbus 400M yang bergantung kepada kemampuan kewangan negara.
"Buat masa ini ATM sedang meneliti keupayaan empat MRCA yang berpotensi digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antaranya ialah Gripen dari syarikat Sweden, F/A-18E Super Hornet dari syarikat Amerika Syarikat, Rafale dari Syarikat Daesu dan Eurofighter Typhoon dari Britain," katanya.
Beliau berkata buat masa ini TUDM masih dalam proses melakukan penilaian akhir ke atas empat pesawat tersebut bagi mengenal pasti pesawat yang menepati kriteria dan memenuhi keperluan TUDM.
Justeru segala penilaian dan analisis yang dibuat pada tahun ini berhubung hasrat ATM mendapatkan MRCA akan disiapkan secepat mungkin dan ia turut bergantung kepada kewangan negara. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment