Sunday, 6 January 2013

PETIR ITU SEDANG BERTASBIH.......


Sementelah, sekarang ni musim hujan dan beberapa negeri sedang dilanda banjir, maka hari ini teman nak paparkan satu artikel yang ada hubung-kait dengan hujan.... 

 Adakah kita pernah dengar petir bertasbih? Rupa-rupanya itulah yang berlaku ketika kilat sabung menyabung.
عن عبد الله بن الزبير أنه كان إذا سمع الرعد ترك الحديث وقال
Abdullah ibn Zubair r.a apabila mendengar petir, beliau akan berhenti bercakap, lalu membaca
سُبْحَانَ الَّذِيْ يُسَبِّحُ الرَّعْدُ بِحَمْدِهِ وَالْمَلَائِكَةُ مِنْ خِيْفَتِهِ
 (Mahasuci Allah yang mana petir dan para malaikat bertasbih dengan memuji-Nya kerana rasa takut kepada-Nya) [Surah ar-Ra’d : 13]
ثم يقول : إن هذا لوعيد شديد لأهل الأرض
Kemudian Abdullah bin Zubair r.a berkata: Sesungguhnya ini merupakan satu amaran keras (daripada Allah) kepada penghuni bumi. [HR Imam al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, Sahih al-Adab al-Mufrad: 556] 

Hujan merupakan lambang kekuasaan Allah.
 Ketika hujan turun, apakah kita merenung, dan melihat pokok yang menghijau di sekeliling kita? Apakah kita pernah cuba memikirkan bagaimana suburnya pokok pisang, pokok rambutan, mahupun pokok cili api yang kita tanam. Mungkin kita selalu teringat bagaimana kita membajainya, mungkin kita sering apabila mendapat keuntungan hasil pertanian ini, kita sering teringat bagaimana jerih-perih kita menanamnya.
Tetapi, kadang-kala kita lupa kepada hujan yang Allah turunkan, yang melembutkan tanah yang keras, menjadikan bumi yang gersang subur untuk tumbuhan. Allah mengingatkan kita kepada nikmat hujan yang sering kita lupakan.
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنَّكَ تَرَى الأرْضَ خَاشِعَةً فَإِذَا أَنْزَلْنَا عَلَيْهَا الْمَاءَ اهْتَزَّتْ وَرَبَتْ إِنَّ الَّذِي أَحْيَاهَا
لَمُحْيِي الْمَوْتَى إِنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Dan di antara tanda-tanda-Nya ialah engkau melihat bumi yang kering, maka apabila Kami turunkan air ke atasnya, maka ia bergerak dan subur. Sesungguhnya Tuhan Yang menghidupkannya, pastilah dapat menghidupkan yang mati. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” ( Fushshilat : 39)
Allah turut mengingatkan kita tentang air yang kita minum.
أَفَرَأَيْتُمُ الْمَاءَ الَّذِي تَشْرَبُونَ – أَأَنْتُمْ أَنْزَلْتُمُوهُ مِنَ الْمُزْنِ أَمْ نَحْنُ الْمُنْزِلُون
“Maka terangkanlah kepadaku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya atau Kamikah yang menurunkannya?” (QS. Al Waqi’ah [56]: 68-69)
Hujan yang kita pandang enteng, kadang-kala kita hinanya hanya kerana membuatkan kain yang sudah kering basah, menyebabkan kotornya kereta yang baru dibasuh, sungguh banyak kali Allah sentuh dalam al-Quran.
 Hujan Membawa Rahmat
Hujan bukan hanya membawa rahmat daripada segi materialistik. Jika di atas Allah mengingatkan manusia yang sering lupa tentang nikmat materialistik yang terhasil daripada hujan, jangan juga dilupa bahawa rahmat yang Allah utuskan melalui hujan turut merangkumi nikmat yang tak mampu disentuh, tak mampu dihidu, tak mampu dilihat. Apakah nikmat itu? Iaitu nikmat mustajabnya doa. Ya, mustajabnya doa yang mana nikmat ini hanya mampu dirasai oleh insan-insan yang beriman kepada Allah.
عَنْ مَكْحُولٍ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، أَنَّهُ قَالَ : ” اطْلُبُوا اسْتِجَابَةَ الدُّعَاءِ عِنْدَ الْتِقَاءِ الْجُيُوشِ ، وَإِقَامَةِ الصَّلَاةِ ، وَنُزُولِ الْغَيْثِ “
Nabi saw bersabda: Mintalah doa yang mustajab ketika bertemunya dua pasukan tentera (di medan perang), ketika solat ingin didirikan, dan ketika turunnya hujan.
[HR al-Baihaqi di dalam Ma'rifatus Sunan wal Athar: 1795]
 Selain daripada itu, Nabi Muhammad saw telah mengajarkan kita doa yang patut dibaca tatkala hujan turun menyirami bumi.
عَنْ عَائِشَةَ ، ” أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى الْمَطَرَ ، قَالَ : اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا “
‘Aisyah ra berkata: Rasulullah saw apabila melihat hujan turun, baginda saw membaca: Allahumma Soyyiban Nafi’a (Ya Allah, turunkan hujan yang bermanfaat) [Sahih al-Bukhari: 980]
 Bacalah doa ini, selepas itu bacalah apa-apa doa yang kita mahu. Mahu dapat 4 flat, mahu bernikah dengan gadis solehah yang selalu dilihat ditemui, mahu mendapat pekerjaan yang bagus, mahu jadi anak yang soleh berdoalah kita dengan apa-apa bahasa sekalipun.
 Tidak lupa jua, ketika petir bertasbihlah kita, sebagaimana bertasbihnya Abdullah ibn Zubair, kerana petir turut bertasbih, sebagaimana riwayat pada awal mukadimah tulisan ini.
 Doa Tolak Hujan?
Ketika hujan adalah saat doa mustajab, maka tidaklah salahnya jika kita berdoa agar Allah menghentikan atau memindahkan hujan yang turun ke tempat lain, tatkala kita melihat ada keperluan melakukannya.
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالْجِبَالِ وَالْآجَامِ وَالظِّرَابِ وَالْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
“Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, dan bukannya turun untuk merosakkan kami. Ya Allah, turukanlah hujan ke dataran tinggi, gunung-ganang, bukit-bukau, kawasan lembah dan tempat tumbuhnya pokok-pokok. [Sahih al-Bukhari: 964]
 Mengambil Berkat Hujan?
Terdapat sebuah hadis yang menarik
عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : قَالَ أَنَسٌ : ” أَصَابَنَا وَنَحْنُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَطَرٌ ، قَالَ : فَحَسَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَوْبَهُ حَتَّى أَصَابَهُ مِنَ الْمَطَرِ ، فَقُلْنَا : يَا رَسُولَ اللَّهِ لِمَ صَنَعْتَ هَذَا ؟ قَالَ : ” لِأَنَّهُ حَدِيثُ عَهْدٍ بِرَبِّهِ تَعَالَى ” .
Anas ra berkata: Kami bersama-sama Rasulullah saw pernah ditimpa hujan, lalu Rasulullah saw menyelak pakaiannya, sehingga hujan menimpa (tubuhnya). Kami bertanya: Wahai Rasulullah, kenapa engkau lakukan hal ini. Baginda saw menjawab: Kerana ia adalah makhluk yang Allah baru ciptakan. [Sahih Muslim: 1500]
Imam an-Nawawi menghuraikan hadis di atas:
معناه أن المطر رحمة ، وهي قريبة العهد بخلق الله تعالى لها فيتبرك بها . وفي هذا الحديث دليل لقول أصحابنا أنه يستحب عند أول المطر أن يكشف غير عورته ليناله المطر ، واستدلوا بهذا وفيه أن المفضول إذا رأى من الفاضل شيئا لا يعرفه أن يسأله عنه ليعلمه فيعمل به ويعلمه غيره .
Hadis ini bermaksud: Hujan adalah rahmat, ia merupakan ciptaan Allah yang baru sahaja diciptakan, maka Nabi saw mengambil bertabarruk (ambil berkat) dengannya. Hadis ini merupakan dalil kepada pendapat ulama mazhab Syafie bahawa digalakkan untuk membuka (tubuh) yang bukan aurat pada awal turunnya hujan, agar air hujan dapat kena padanya. Hadis ini jua menunjukkan apabila seseorang melihat orang yang lebih mulia/alim melakukan sesuatu, sedangkan dia tidak mengetahuinya, maka hendaklah orang itu bertanya kepada orang yang lebih mulia tadi agar dapat mengamalkannya, dan mengajarkan orang lain. [Syarah Sahih Muslim]

No comments:

Post a Comment