BUKU bertajuk Kafirkah Aku karya C.J Al Afghani seorang aktivis Pas menarik minat banyak pihak. Ia mengingatkan kita kembali mengenai perbuatan Haji Abdul Hadi Awang mengkafirkan UMNO dan membawa perpecahan yang parah di kalangan umat Melayu.
Ia berlaku pada tahun 1982, di Ulu Peradung, Terengganu sewaktu Revolusi Iran berada di puncaknya. Haji Hadi amat tertarik dengan kejayaan Revolusi Iran dan Pas kelihatan amat radikal pada waktu itu.
Pada tahun 1982 juga Anwar Ibrahim menyertai UMNO dan ia memberi kesan kepada Pas. Haji Hadi suatu ketika dulu pernah menjadi Yang Dipertua ABIM Trengganu di zaman Anwar menjadi Presiden ABIM, mungkin dia berasa amat kecewa dengan keputusan yang diambil oleh Anwar.
Apakah ini menjadi antara sebab Haji Hadi menjadi lebih radikal kerana sebahagian orang ABIM yang mendukung Pas menganggap keputusan Anwar menyertai UMNO tidak syarie kerana ia tidak dibincangkan dalam syura.
Keradikalan Haji Hadi dan populariti yang ada padanya menyebabkan dia tergamak mengambil pendekatan hitam-putih dalam memperjuangkan “politik Islam” sehingga mengkafirkan UMNO.
Akibatnya perpecahan yang serius berlaku di kalangan umat Melayu kerana dalam kalangan yang taksub dan tegar dengan sikap radikal ini memilih jalan takfir untuk mencapai cita-cita politik dan “Negara Islam”.
Pulau-memulau, solat dua imam, enggan memakan daging sembelihan orang UMNO, nikah dua kali, perkuburan yang tidak sama dan banyak lagi yang terjadi membayangkan sikap politik orang Pas yang terlalu ‘tajam’ terhadap orang UMNO.