Tuesday, 25 December 2012

UMNO TIADA KOMPLOT DALAM TRAJEDI 13 MEI...!!!


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor merasa kesal dan amat terkilan dengan artikel yang disiarkan dalam Edge Financial Daily versi tempatan berkaitan tragedi 13 Mei 1969 yang membuat tuduhan bahawa kononnya tragedi tersebut adalah hasil daripada perancangan UMNO.
Menerusi artikel yang bertarikh 17 Disember 2012, didakwa tragedi 13 Mei 1969 adalah perancangan sekumpulan pemimpin-pemimpin UMNO yang mahukan Presiden parti ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga Perdana Menteri Malaysia ditumbangkan.
“Perkara tersebut adalah tidak benar kerana fakta yang jelas tidak pernah dirahsiakan berkaitan punca utama berlakunya kekacauan pada tarikh tersebut malah ia menjadi iktibar kepada masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa,” tegasnya kepada UMNO-Online.

Jelasnya, ketika peristiwa 13 Mei 1969, beliau berusia 18 tahun dan tahu bagaimana peritnya kekacauan yang telah mengorbankan ratusan nyawa selain kemusnahan yang besar.
“UMNO juga tidak pernah bertindak meminggirkan apatah lagi menumbangkan mana-mana ketuanya malah parti ini mempunyai struktur kukuh dan organisasi yang mantap dengan setiap proses yang berlaku adalah berdasarkan kepada struktur yang ada sebagaimana digariskan dalam Perlembagaan parti.
“Peralihan tampuk kepimpinan daripada Tunku Abdul Rahman kepada Tun Razak adalah satu proses penyerahan yang berlangsung selepas darurat ekoran tragedi 13 Mei 1969 ini dan ia dilaksanakan tanpa sebarang komplot sebagaimana yang didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Tegasnya lagi, sewajarnya mana-mana pihak yang mahu menulis atau bercakap berkaitan tragedi 13 Mei 1969 akan merujuk kepada fakta sejarah dan bukannya melakukan kesimpulan berasaskan kepada pandangan peribadi atau ada kepentingan politik tersendiri.
“Fakta sejarah tidak pernah menipu malahan secara jelas bahawa tragedi tersebut tercetus ekoran perarakan yang dibuat oleh parti pembangkang selepas berjaya memperolehi kerusi yang banyak dalam pilihan raya pada tahun terbabit sehinggakan mereka ini melakukan provokasi dan menghina bangsa lain di Ibu Kota.
“Tragedi 13 Mei 1969 ini menjadi sejarah pahit dan tauladan kepada rakyat dan kerana itu jugalah maka kerajaan sedar bahawa perpaduan adalah kunci utama dalam kesejahteraan sebagaimana digariskan dalan gagasan 1Malaysia untuk dimanifestasi dengan masyarakat negara ini atas kerukunan kesatuan dalam kepelbagaian.”
Katanya, antara faktor lain yang menyumbang kepada peristiwa 13 Mei adalah Pilihan Raya Umum pada 10 Mei 1969 ekoran keterbukaan kerajaan yang membenarkan parti-parti politik berkempen secara terbuka yang kemudiannya dimanipulasi oleh pembangkang sehingga mewujudkan sentimen kebencian dalam masyarakat.
Dilaporkan dalam pilihan raya tersebut, secara teknikal parti pembangkang iaitu DAP telah menang besar lantas pada 11 dan 12 Mei 1969 mereka telah meraikan kemenangan dengan berarak di Kuala Lumpur dan Kampung Baru yang didiami lebih 30,000 orang Melayu termasuklah rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris.
Menurut rujukan oleh Ramlah Adam (dipetik oleh Ramlah Adam dalam Democartic Action Party,1969, Dap General Elactions Manifesto, Out Triple objektif Toward a Malaysian Malaysia), DAP berarak sambil mengeluarkan kata-kata yang menghina orang Melayu seperti Melayu sudah jatuh, Kuala Lumpur sekarang Cina punya, ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu halau semua Melayu.
Pada ketika ini dikatakan mereka telah berarak dengan mengikat penyapu kepada kenderaan mereka sebagai lambang kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan.
Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambang mereka akan ’menyapu’ (menyingkir) orang-orang Melayu ke laut sementara dalam masyarakat Melayu pula penyapu mempunyai konotasi yang negatif (sial). Lebih teruk lagi, dilaporkan ada yang mencaci dan meludah dari atas lori ke arah orang Melayu di tepi-tepi jalan.
Ekoran tragedi tersebut, bukan hanya darurat diisytiharkan malah angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan selain 211 kenderaan musnah.
– MediaUMNO

No comments:

Post a Comment