Friday, 21 December 2012

MAHKAMAH TINGGI BATAL SAMAN PENEROKA TERHADAP PM... ALHAMDULILLAH!


TEMERLOH - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan saman fitnah yang difailkan lapan peneroka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung ucapan beliau ketika mengumumkan ‘durian runtuh’ Felda Global Ventures Holdings (FGV), di Felda Jengka Lapan, 8 Mei lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir di kamar beliau selepas membenarkan permohonan Najib yang diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun untuk membatalkan saman tersebut.

Peguam itu memberitahu pemberita, selepas membaca keseluruhan ucapan Perdana Menteri, Hakim Akhtar berpendapat ucapan tersebut tidak berbaur fitnah.

Sebaliknya ujar Mohd. Hafarizam, mahkamah memutuskan ucapan itu dan perkataan yang digunakan, suatu bentuk kiasan yang tidak merujuk atau ditujukan kepada mana-mana pihak.


WARGA Felda Wilayah Jengka mengaminkan doa kesyukuran selepas Mahkamah Tinggi Temerloh membatalkan saman lapan peneroka terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak di Temerloh, Pahang, semalam. - BERNAMA

Pada 7 Ogos lalu, lapan peneroka dari Wilayah Jengka memfailkan saman terhadap Najib di Mahkamah Tinggi di sini berhubung ucapannya yang didakwa mengaibkan dan menghina mereka.

Pihak plaintif terdiri daripada Samad Yusof dan Idris Mat Sah dari Jengka 14 serta Syed Jamaluddin Syed Muhamad dari Jengka 17.

Lima lagi peneroka yang turut berbuat demikian ialah dari Jengka 15 iaitu Alias Ibrahim, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd. dan Rakiah Sulong.

Pihak plaintif mendakwa ucapan di hadapan kira-kira 40,000 orang itu antara lain membawa maksud mereka adalah pengkhianat, tidak bermaruah, tidak jujur dan tidak setia dalam perjuangan.

Mereka menyatakan, ucapan itu juga telah disiarkan di media massa dan media elektronik dan mereka menuntut ganti rugi am, khas, teruk, faedah dan juga kos.

Perdana Menteri yang dinamakan sebagai pihak defendan pula, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 24 September lalu atas alasan writ saman itu, suatu penyalahgunaan proses mahkamah kerana plaintif tiada kuasa tindakan terhadap defendan, selain tidak merujuk dan/atau mempunyai kaitan kepada defendan.

Dalam keputusan tersebut juga menurut Mohd. Hafarizam, mahkamah mendapati plaintif tidak mempunyai kuasa tindakan selain tiada kaitan dengan saman yang difailkan oleh mereka.

Writ saman tersebut juga menurut hakim itu, mengaibkan defendan, remeh atau menyusahkan dan adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah selain kegagalan pihak plaintif yang mandatori dan menjadikan tuntutan mereka harus dibuang.

Sehubungan itu, Hakim Akhtar membatalkan saman itu dan memerintahkan plaintif membayar RM3,000 setiap seorang kepada pihak defendan.

Peguam Mohd. Harris Abdullah yang mewakili lapan peneroka berkata, pihaknya perlu berbincang dengan anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tersebut.

No comments:

Post a Comment