Monday, 17 December 2012

KERJA PEMBANGKANG MURAHAN DI MALAYSIA.....


BAGAIMANAKAH menjelaskan dengan kata-kata yang tepat tentang perilaku politikus dan media parti pembangkang yang memutarbelit dan memanipulasi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sehingga baginda melahirkan rasa dukacita?

Mereka yang membaca wawancara Sultan Selangor dengan Mingguan Malaysia sempena hari keputeraan baginda minggu lalu itu nyaris kehilangan kata-kata. Begitu sekali buruknya manipulasi dan putar belit mereka.

Portal propembangkang, Malaysiakini (9 Disember) yang memetik wawancara Sultan Selangor itu menyiarkan berita bertajuk Sultan Selangor benci dituduh 'orang UMNO'. Seperti lazimnya, para tentera siber portal dibiayai Yahudi ini kemudian berpusu-pusu mempromosi 'Sultan benci UMNO' yang sengaja dikelirukan itu.


Harakahdaily pula yang bermegah dengan slogan 'tepat dari sumber' bagai berada dalam alam mimpi membawa jauh laporan itu daripada fakta sebenar. Laporan analisis pengarang beritanya pada 12 Disember bukan sekadar memperlekeh UMNO tetapi cuba untuk menempelak institusi raja.

Sia-sialah kritikan dan teguran para perwakilan dalam Muktamar Pas baru-baru ini yang mahu akhbar parti itu lebih fokus dengan perjuangan dan hala tujunya. Tentu sekali hal ini bukan contoh yang baik kepada imej Islam dalam parti itu, jika pun ia masih ada.

Bertambah malang apabila Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Rani Osman membenarkan dirinya dipergunakan dalam putar belit itu. Beliau dipetik sebagai berkata, pihaknya berharap semua pihak khususnya UMNO tidak lagi cuba mempengaruhi sultan untuk kelihatan bias yang akhirnya persepsi negatif dilemparkan kepada baginda.

Apakah Rani mahu menyatakan bahawa sultan mudah dipengaruhi? Mudahnya mereka membuat rumusan walhal Sultan Selangor dengan jelas menyatakan baginda tidak menyebelahi mana-mana parti sama ada UMNO, Pas, PKR mahupun DAP.

Baginda dan kerabat sendiri tidak dibenarkan untuk mengundi. Dalam penganugerahan darjah kebesaran, semua ahli politik yang layak mendapat peluang.

Semasa memberikan kritikan atau teguran, baginda tidak menyebut pun secara terbuka pihak atau individu berkenaan. Begitu sekali baginda melakukan kawalan diri agar tidak dilihat memihak kepada kepentingan tertentu. Jika benar dikata benar, jika salah dikata salah.

Peranan baginda melangkaui politik. Baginda adalah payung rakyat, agama dan negeri. Itulah juga yang selalu ditekankan setiap kali wawancara dengan Mingguan Malaysia selama empat tahun berturut-turut sempena keputeraan baginda.

Perpaduan rakyat dan kemajuan negeri sentiasa menjadi keutamaan. Malangnya seruan perpaduan dan kemajuan itu, yang kebetulan turut disuarakan oleh pemimpin UMNO, menyebabkan baginda ditohmah sebagai orang UMNO.

Tohmahan itulah yang Sultan Selangor benci, bukan baginda benci UMNO seperti yang cuba digambarkan oleh politikus dan media milik parti pembangkang.

Sepatutnya politikus dan media pembangkang mencermin diri. Siapa yang makan cili, dia terasa pedasnya, siapa yang makan nangka, dia yang terkena getahnya. Tiada salahnya jika silap, mohon maaf dan menghindari daripada mengulanginya lagi.

Tetapi mungkin sudah begitu tabiat mereka, melempar batu sembunyi tangan. Angkara mereka, orang lain yang mahu disalahkan.

Dalam hal ini, mungkin kita boleh bertanya siapakah gerangan yang membawa kerosakan akidah dan kehancuran kerajaan? Siapakah yang memecahbelahkan umat Islam dengan fatwa kafir dan doa kehancuran? Siapakah yang kian gencar mempromosi fahaman liberalisme dan pluralisme?

Lebih terperinci lagi, siapakah yang memutarbelit titah Sultan Selangor di luar istana sebaik sahaja dibenarkan menghadap baginda? Siapakah yang terus menerus cuba bermain politik di masjid?

Siapakah yang selalu ditegur sehingga baginda berasa duka cita umpamanya dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri dan perarakan malam Hari Kemerdekaan? Jika boleh dirumuskan, kontroversi yang tercetus sudah tidak terhitung lagi.

Atau boleh ditanyakan siapa Ahli Parlimen yang mengaku secara terbuka rapat dengan Sultan Selangor, tetapi hakikatnya jauh panggang dari api. Dari segi protokol, bagaimanakah seorang awam boleh membuat sidang media dan mengaku kenal rapat dengan sultan?

Aneh, Semua ini datang daripada politikus dari parti yang mengaku memperjuangkan nilai-nilai baik tetapi sanggup pula mendabik dada kenal dengan orang itu dan ini.

Barangkali Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih tahu tentang hal-hal bersangkutan dengan istana ini. Itupun jika beliau mahu berlaku jujur. Berilah nasihat yang sebaiknya kepada rakan-rakan pemimpin dan media kawalan mereka ini.

Putar belit terbaharu yang dilakukan oleh politikus dan media kawalan pembangkang ini terhadap titah Sultan Selangor tentu ada sebabnya. Yang dibimbangi, bukan UMNO yang mahu diserang tetapi institusi raja itu sendiri.

Yang amat ditakuti, ada agenda tersirat. Hal yang demikian kerana institusi raja masih mempunyai kuasa untuk menahan malah menjadi batu penghalang kepada nafsu besar kumpulan tertentu untuk menguasai negara ini. Dan, kepada mereka yang masih belum faham, baca dan telitilah wawancara Sultan Selangor dengan Mingguan Malaysia itu...... Zulkefli Hamzah.

***** Pembangkang bukalah minda.... luas-luaskanlah pengetahuan dengan menambahkan bahan bacaan bermutu dan tidak mengecualikan Utusan Malaysia.  Jangan seperti katak di dalam kaca, yang terkongkong mindanya hanya dengan membaca Harakah yang lebih fokuskan keuntungan dan strategi marketing UBAT KUAT UNTUK LELAKI....!!!!!

No comments:

Post a Comment