Monday, 19 November 2012

SAMIRA IBRAHIM.... SATU NAMA PALING DIGERUNI DI MESIR


Samira Ibrahim, nama paling ditakuti di Mesir ketika ini. Gadis berusia 25 tahun itu selayaknya dinobatkan sebagai gadis paling berani di negara pimpinan Mohammed Mursi.
Keberanian beliau menentang dominasi golongan Adam, terutama kerakusan tentera Mesir yang sering memperlakukan golongan hawa semahunya wajar dicontohi oleh wanita pada dekad ini.


Tragedi 6 Februari, boleh dikatakan mengukir sejarah apabila beliau tampil buat pertama kalinya ke muka pengadilan bagi  mengheret tentera negara itu untuk menuntut hak terhadap tuduhan rogol setelah dipaksa menjalani ujian keperawanan.
“Saya mahu lakukan revolusi terhadap tekanan melampau kepada golongan wanita di negara ini. Mereka mengkhianati rakyat dan negaranya sendiri,” katanya dalam satu temu bual di radio Netherlands.
Pada 9 Mac 2011, Samira termasuk 16 gadis lain ditahan di dataran Tahrir, Kaherah ketika perarakan hari wanita antarabangsa. Empat hari dilaluinya di penjara tentera, adalah mimpi buruk dalam hidupnya apabila beliau bersama tahanan lain diperlakukan seperti pelacur, diseksa menggunakan renjatan elektrik dan digelar wanita sundal oleh petugas di penjara.



Mereka dipaksa berbogel sambil disaksikan ketua penjara dan petugas lainnya dengan alasan sebagai pemerhati ketika ujian keperawanan dilakukan oleh doktor tentera, Ahmed Adel.
Bertitik tolak dari kes itu, Samira bangkit menuntut haknya dengan membawa kes itu ke pengadilan atas tuduhan rogol dan pada 27 Disember 2011, hakim Mahkamah Persekutuan mengeluarkan arahan terhadap larangan ujian terbabit.

Dibuang kerja akibat menentang

Sungguhpun kes itu selesai tetapi perjuangan Samira sebenarnya masih hijau. Aura beliau berjaya meresapi ke tubuh seluruh golongan wanita di negara itu. Beliau yakin kemenangan kes terbabit sekadar menutup aib rejim tentera Mesir apabila ujian keperawanan itu ditafsirkan sebagai ‘pemeriksaan bertujuan mulia’ oleh mahkamah tentera ketika hujahan dibacakan di Mahkamah Persekutuan Kaherah pada 25 Oktober tahun lalu.
Mengikut perundangan di Mesir, pelanggaran ini tidak dapat dikenakan hukuman kerana tiada bukti kukuh terhadap kewujudan ujian keperawanan yang dikatakan wajib dijalani oleh semua tahanan.
“Awalnya mereka mengakui terdapat ujian keperawanan. Namun tuduhan itu ditafsirkan sebagai hanya mengeluarkan kata-kata kesat berbaur lucah,” kata Samira.

Beliau berkata, ini membuktikan pihak tentera melindungi pelakunya kerana mendakwa mereka hanya berdiri dan melihat sahaja.
Kemarahan dan kekesalan Samira tidak dapat dibendung apabila beliau nekad mengheret pihak tentera ke muka pengadilan antarabangsa.

Kelantangan bersuara membuatkan dirinya diiktiraf oleh aktivis dunia sekali gus menjadikannya sebagai gadis paling berani di Mesir.

Protes demi protes dilakukan bagi menuntut hak wanita sehingga mempunyai penyokong paling ramai di Mesir, New York dan Arab Saudi.
Keberanian itu juga membuka mata dunia sehingga beliau tersenarai sebagai 100 wanita paling berpengaruh di dunia oleh majalah Times.

Namun kehidupannya kini berubah apabila beliau yang dahulunya bekerja sebagai pengurus pemasaran dibuang kerja gara-gara keberanian menentang pihak tentera kerajaan.
Tetapi perkara itu sedikit pun tidak melemahkan semangatnya malah beliau mendapat sokongan dari keluarganya terutama ayahnya yang juga aktivis berhaluan kiri.

”Adik-beradik saya wajar digelar pahlawan. Kami tabah selepas ayah diperlaku kejam dan pernah dipenjarakan ketika pemerintahan Presiden Hosni Mubarak,” katanya.

Pengaruh di Facebook

Sejak tercetusnya revolusi itu, perseptif terhadap golongan wanita tidak lagi dipandang enteng. Sungguhpun beliau dianggap sebagai pemecah tradisi adat konservatif di negara itu, namun wanita Mesir kini bijak menggunakan kewarasan dan keberanian dalam membezakan hak, tuntutan dan maruah.
Medium media sosial digunakan untuk menyalurkan maklumat dan perbincangan terhadap hak golongan wanita malah beliau sendiri menggalakkan wanita untuk lebih bersikap terbuka dalam melayari maklumat di internet dan berhubung dengan masyarakat antarabangsa.
Tindakannya itu turut disokong oleh golongan lelaki yang rasional terhadap hak-hak wanita dunia.


No comments:

Post a Comment