SAMARAHAN – Seorang pelajar perempuan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menghadapi detik paling mencemaskan dalam hidupnya apabila dijadikan tebusan selama sejam oleh seorang lelaki Indonesia yang menghadapi masalah hutang kelmarin.
Kejadian pukul 5.15 petang berhampiran Koperasi Kolej Cempaka, kampus tersebut di sini itu menyebabkan Wan Nor Hayati Wan Mahmud, 22, dari Kelantan trauma apabila diacu pisat lipat oleh suspek.
Bagaimanapun, pelajar tahun tiga jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Gunaan dengan Kepujian (Pengurusan Seni) universiti tersebut tidak dicederakan.
Polis yang tiba sebaik menerima maklumat kemudian telah membuat rundingan dengan suspek sebelum lelaki itu bersetuju melepaskan mangsa.
Difahamkan, suspek dari Lempur Danau, Jambi Indonesia berusia 30 tahun tersebut datang ke negara ini pada Sabtu lalu untuk mencari pekerjaan.
Sebaik tiba di Kuching, suspek telah tinggal di rumah kongsi bersama seorang rakannya yang bekerja sebagai buruh binaan di dalam kawasan kampus tersebut.
Sebelum kejadian, suspek dikatakan telah menerima panggilan dari kampung mengatakan anak dan isterinya telah ditahan dan diugut ah long kerana hutang yang dibuatnya.
Suspek yang berang apabila majikan tidak mengizinkannya pulang kemudian nekad menggunakan jalan mudah untuk dihantar pulang dengan menjadikan mangsa sebagai tebusan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Zulkifli Hassan berkata, semasa menahan mangsa, suspek memberitahu pelajar itu supaya ‘jangan bimbang saya takkan cederakan kamu, panggil polis saya banyak lakukan dosa.’
Katanya, sebaik tiba, pihaknya tidak mengambil masa yang lama untuk membuatkan suspek menyerah diri dan melepaskan tebusan.
“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian tetapi tidak menolak kemungkinan suspek berbuat demikian kerana masalah keluarga di kampungnya.
“Kita juga percaya suspek berbuat demikian untuk mendapat perhatian polis supaya dihantar pulang,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Zulkifli, suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah.
Sementara itu, Wan Noor Hayati memberitahu, dia tidak dapat melupakan saat-saat cemas ketika ditawan selama sejam.
Katanya, sebelum kejadian, dia sedang berjalan bersama rakan, Siti Nurfarawahida Abdul Rahim, 22, untuk ke kelas sebelum suspek menerpa dari belakang.
“Saya cuba leraikan pelukan lelaki tersebut dengan cara memukul menggunakan payung tetapi bukan sahaja gagal malah, pelukan itu semakin kuat. Ketika itu saya hanya memikirkan mengenai nyawa saya melayang,” cerita anak ketiga daripada lima beradik itu yang masih trauma ekoran kejadian tersebut.
Tambahnya, dia ada bertanya mengapa dia dijadikan sasaran tetapi suspek tidak menjawab. Dia bagaimanapun bersyukur apabila dilepaskan sebaik polis tiba.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unimas, Mohd. Fadzil Abd. Rahman berkata, pihaknya telah memaklumkan mengenai kejadian tersebut kepada keluarga mangsa.
No comments:
Post a Comment