Wednesday, 17 October 2012

REZEKI MEWAH DARI TIMBUNAN SAMPAH...!!!


Rezeki Dari Sampah, Jumpa Emas Di Timbunan Sampah Sarap
PERSIARAN GURNEY – Terjumpa rantai emas dalam timbunan sampah mungkin satu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh seorang pemungut barangan terpakai, Boon Siew Chin, 65, dari Tanjung Tokong di sini.
Siew Chin yang melakukan pekerjaan itu selama 12 tahun, berkata, ia adalah barangan berharga pertama dijumpainya di Pantai Persiaran Gurney.
“Setiap pagi saya akan ke sini untuk kutip botol, kotak dan juga barang-barang yang boleh digunakan semula, tetapi pada hari yang bertuah itu saya terjumpa kotak kecil dalam selut dan sampah.
“Selepas membukanya saya amat terkejut kerana ada rantai emas dan saya segera membawanya ke kedai emas untuk bertanyakan jika ia tulen atau tidak, rupa-rupanya memang emas tulen,” katanya.
Rezeki dari punca pendapatannya itu pernah dianggap gila oleh sesetengah sanak saudaranya kerana biasanya orang mengutip siput ataupun kerang di tepi-tepi laut ketika air surut, berbeza bagi Siew Chin yang lebih suka mengutip sampah.
Siew Chin memaklumkan rutinnya bermula setiap pagi iaitu seawal jam 7 pagi sehinggalah 10 pagi ketika air sedang surut.“Ini kerja yang saya buat kalau orang tidak panggil saya untuk cat rumah atau baiki paip air. Kalau datang sini memang saya boleh punggah dua guni botol.
“Botol yang saya kutip ini banyak di permukaan selut. Daripada air laut telan botol ini, lebih baik saya ambil dulu dan jual. Boleh buat duit,” tambahnya.
Pantai di sepanjang Persiaran Gurney merupakan tempat paling popular dikunjungi orang ramai, khasnya pada waktu malam.
Malangnya apabila pada waktu siang keadaan lautnya kelihatan begitu kotor dan menjijikkan, dengan selut dan taburan sampah yang dibuang orang ramai.

No comments:

Post a Comment