Wednesday, 17 October 2012

MASJID BERSEJARAH TERBAKAR DI ALEPPO



KEBAKARAN berlaku di Masjid Umayyad di Aleppo pada Sabtu lalu.

ALEPPO - Pertempuran yang berlaku antara tentera Syria dengan para penentang Presiden Bashar Al-Assad telah memusnahkan Masjid Ummayad yang didirikan pada abad ke-13, kata seorang koresponden agensi berita AFP kelmarin.
Kebakaran akibat pertempuran memusnahkan permaidani antik dan perabot kayu yang digunakan untuk menghiasi masjid berkenaan pada Sabtu lalu.
Tiga helai rambut dan sebatang gigi Nabi Muhammad SAW yang terdapat di dalam masjid tersebut telah dicuri.
Bashar dilaporkan mengarahkan pembentukan sebuah panel untuk memantau kerja-kerja pemuliharaan masjid tersebut, lapor agensi berita SANA.
Menurut seorang wartawan AFP, pihak tentera menguasai sepenuhnya kawalan di masjid tersebut.
Bagaimanapun, katanya, para penentang berada di sekitar masjid berkenaan.
Para penentang turut menembak mati seorang jurutera, Mohammed Marwan Jarada yang mengiringi satu jawatankuasa pakar ke masjid tersebut untuk menyaksikan kerosakan kelmarin.
Kehadiran para penentang di sekitar Masjid Ummayad menyebabkan sukar untuk memindahkan jurutera tersebut yang cedera di kaki.
Sementara itu, jet-jet tentera Syria melakukan serangan udara di bandar Idlib dan Aleppo, utara negara tersebut.
Bagaimanapun, para aktivis yang menyokong para penentang berkata, serangan tersebut adalah yang paling buruk sejak minggu lalu.
Dalam perkembangan yang sama, Utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Lakhdar Brahimi mendesak supaya gencatan senjata diadakan bagi menghormati ketibaan Hari Raya Aidiladha.
Brahimi turut meminta supaya pihak berkuasa Iran membantu memastikan gencatan tersebut berjaya dilakukan.
Lebih 30,000 orang terbunuh ekoran pertempuran yang berlaku antara kumpulan penentang dengan tentera Syria sejak Mac tahun lalu.
Para penentang itu mahu menggulingkan Bashar yang didakwa gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara. - Agensi

No comments:

Post a Comment