Friday, 26 October 2012

AWAS !!! PEMILIHAN CALON PRU 13 BUKAN MENERUSI EJEN....!!!


KOTA KINABALU  - Ahli politik yang ghairah untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diingatkan berwaspada dengan kegiatan satu sindiket penipuan menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.





Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, modus operandi sindiket itu adalah mendakwa sebagai ejen unit khas penyenaraian calon PRU-13 Pejabat Perdana Menteri dan mewajibkan ‘bakal calon’ yang dipilih itu membayar sejumlah wang.

“Mangsa ketika ditemui akan dipengaruhi oleh ejen itu serta diminta memasukkan sejumlah wang melalui kiriman bank kepada anggota sindiket berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini semalam.

Tambah Hamza, seorang ahli perniagaan berusia 52 tahun nyaris menjadi mangsa kepada sindiket itu apabila dia yang curiga terhadap tawaran tersebut segera membuat laporan di Balai Karamunsing pada 18 Oktober lalu, kira-kira pukul 8 pagi.

“Mangsa yang cuba diperdaya bernasib baik kerana belum membuat pembayaran. Siasatan awal mendapati suspek mendakwa dia merupakan ejen yang didatangkan dari unit khas Perdana Menteri kononnya dipertanggungjawabkan untuk menyenaraikan nama calon-calon PRU-13 di Sabah.

“Sehingga kini belum ada tangkapan dibuat namun kes ini disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan atas cubaan menipu," katanya.

Sehubungan itu, Hamza mengingatkan orang ramai terutamanya ahli politik agar tidak terpedaya dengan mana-mana individu yang menawarkan khidmat sedemikian.

Menurutnya, pemilihan calon untuk bertanding pada PRU-13 hanya diketahui dan akan diumumkan oleh Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang dan bukan menerusi ejen seperti itu.

Utusan

No comments:

Post a Comment