Tuesday, 9 October 2012

ADAB DI MEJA MAKAN DI MAJLIS RASMI



Tidak banyak yang mengetahui atau menitikberatkan adab makan di meja makan semasa majlis rasmi. Perlakuan ketika makan melambangkan taraf dan hubungan sosial dan perangai sebenar seseorang individu.


Individu yang mempunyai adab yang baik di meja makan lazimnya dilabel sebagai seorang yang dibesarkan dengan penuh tatasusila dan dihormati. Seseorang yang nampak gelojoh, tidak sabar dan tidak mempedulikan orang lain dianggap sebagai seorang yang tiada didikan dan kurang ajar.
Adab meja makan merangkumi banyak aspek, daripada cara anda menerima jemputan dan memaklumkan kepada hos, cara berpakaian, ketibaan anda di majlis, cara anda mengendalikan sudu dan garpu, cara anda melayan pelayan, perbualan anda semasa makan, etika sebelum, semasa dan selepas makan, dan sebagainya. Antara adab meja makan yang saya paling kurang mahir ialah cara menggunakan pisau, garpu dan sudu. Walau bagaimanapun, saya selalu menggunakan tips di bawah untuk membantu saya ingat sudu dan garpu yang sepatutnya digunakan ketika makan. 
Menggunakan pisau, garpu, sudu dan kadang-kadang, tangan!
 Penggunaan pisau, sudu dan garpu sinonim dengan makanan ala barat. Jenis makanan yang dihidangkan lazimnya mengandungi daging atau ayam yang disediakan dalam saiz besar yang perlu dipotong sebelum makan. Sebagai contoh, steak, lamb chop, grilled chicken dan sebagainya.
Sekiranya terdapat lebih daripada satu sudu dan garpu yang perlu digunakan, anda perlu tahu sudu yang sepatutnya digunakan untuk makan, sudu untuk sup, sudu untuk pencuci mulut dan begitu juga garpu. Ada garpu untuk daging dan ada untuk salad. Jika anda keliru, jangan bimbang. Lazimnya, juadah yang dihidangkan adalah mengikut kedudukan sudu dan garpu. Gunakan sudu atau garpu yang terletak paling hujung atau jauh sekali dan bergerak ke arah dalam.
Sebagai contoh, appetizer akan dihidangkan dahulu, seperti sup, jadi gunakan sudu yang paling kanan. Begitu juga salad, gunakan garpu yang paling kiri. Namun, trend yang digunakan sekarang ialah sudu atau garpu akan diberikan mengikut juadah yang akan dihidangkan. Jadi, anda hanya perlu mengikut sahaja!
Pisau hendaklah dipegang dengan tangan kanan dan garpu dengan tangan kiri. Hal ini kerana banyak orang yang memotong dengan tangan kanan. Jadi, keadaan ini semata-mata untuk keselesaan. Lain pula sekiranya anda kidal, anda boleh memotong dengan tangan kiri.
Cara memakan steak dengan betul ialah anda menggunakan garpu yang dipegang dengan tangan kiri untuk memegang daging dan memotong dengan pisau. Potong kecil beberapa ketul daging dan letakkan pisau anda melintang di atas bahagian depan pinggan dengan bahagian tajam menghadap ke dalam. Tukar garpu ke tangan kanan dan makan perlahan-lahan. Jangan gelojoh.
Sudu dan garpu hendaklah dipegang secara mendatar dengan mengimbanginya di antara jari hantu dengan jari telunjuk, dan distabilkan oleh ibu jari. Sudu dan garpu yang telah digunakan tidak boleh diletakkan di atas meja kerana akan mengotorkan alas meja. Sudu dan garpu juga tidak boleh diletakkan di dalam mangkuk atau di dalam gelas kerana tidak stabil. Sudu atau garpu hendaklah diletakkan di tepi piring yang digunakan untuk mengalas mangkuk. 
Kenali jenis-jenis makanan yang boleh dimakan menggunakan utensil yang sesuai atau dengan tangan
1. Sup – harus menggunakan sudu yang disediakan bagi sup. Sudu tersebut agak dalam dan bulat bentuknya. Sup mesti dihirup perlahan-lahan. Jangan sampai mengeluarkan bunyi kerana perbuatan tersebut tidak sopan.
2. Salad – gunakan garpu yang dikhaskan untuk salad. Garpu salad kecil sedikit berbanding garpu biasa. 
3. Ikan – gunakan garpu dan pisau yang dikhaskan untuk ikan. Garpu untuk ikan selalunya pendek sedikit daripada garpu untuk daging.
4. Daging – gunakan garpu utama yang disediakan.
5. Pencuci mulut – sebagai contoh agar-agar, puding, bubur dan sebagainya. Biasanya sudu untuk pencuci mulut dibawa bersama dengan mangkuk atau piring sebelum juadah pencuci mulut dihidangkan. 
6. Asparagus – asparagus boleh dimakan dengan tangan asalkan asparagus tersebut tidak disaluti apa-apa sos. Jika tidak, anda boleh menggunakan garpu yang disediakan untuk salad.
7. Kepingan daging – apabila kepingan daging nipis dibakar sehingga garing dan tidak berminyak, anda boleh menggunakan jari untuk memakannya seperti snek biasa. Hal ini kerana agak susah untuk memotong daging yang garing menjadi kepingan kecil. Anda juga tidak mahu daging tersebut terpelanting ke tempat lain semasa memotong!
8. Roti – roti mesti dipecahkan dengan tangan, jangan sekali-kali gunakan pisau. Koyak secebis yang sederhana besar dan makan dahulu sebelum mengoyak cebis yang seterusnya. Jika mentega disediakan, gunakan pisau untuk menyapu mentega tersebut pada cebisan roti sebelum anda memakannya. Sekiranya anda dihidangkan roti ban yang masih panas, anda dibenarkan memotong ban berkenaan memanjang di tengah dan menyapu mentega di rekahan tersebut bagi mencairkannya. 
9. Biskut – biskut lazimnya dimakan dengan tangan walaupun dihias dengan buah-buahan atau tuna di atasnya.
10. Jagung – sekiranya hanya butir (kernel) jagung yang dihidangkan, anda boleh menggunakan garpu untuk memakannya tetapi jika dihidangkan secara sebiji-biji, anda dibenarkan makan dengan menggunakan tangan. Sekiranya mentega disediakan, gunakan pisau untuk menyapu pada dua baris jagung dan makan dahulu dengan bersih sebelum menyapu dua baris berikutnya.
11. Kentang goreng, ayam goreng dan burger – makanan seumpama ini dikategorikan sebagai makanan ringan dan selalunya tidak dihidang di majlis-majlis formal. Makanan ini boleh dimakan dengan tangan tetapi ayam bakar atau chicken chophendaklah dimakan dengan menggunakan pisau dan garpu.
12. Sandwich – sandwich biasa yang dihidangkan tidak mempunyai filling yang terlalu tebal atau lembik dan boleh dimakan dengan tangan.
13. Buah-buahan kecil bertangkai – kadang-kadang pada juadah pencuci mulut, dihidangkan buah-buahan kecil seperti ceri, beri dan strawberi yang masih bertangkai. Anda boleh mengambil dan memakannya dengan tangan. Sekiranya anda tidak mahu menggunakan tangan, anda boleh menggunakan sudu tetapi berhati-hati, jangan pula buah tersebut melayang! Bagi gugusan buah anggur yang dihidangkan dengan tangkainya, anda boleh memotong sedikit bersama tangkainya dan letakkan di dalam pinggan anda. Jangan ambil buahnya sahaja kerana tangkai yang kosong di hidangan nampak kurang elok dan tidak menyelerakan bagi orang lain.

 NAK TAU LEBIH LANJUT.... LAYARI www.books.perintis.com.my

*** Aje ngan ye... susah sebenornya kalau dah biasa makan guna tangan tetiba kena makan dengan sudu, garpu ataupun pisau.  Kalau makan ayam goreng atau ketam, mau terpelanting ke meja sebelah ayam n ketam tu....!!! Jadi luaskan pengetahuan dengan menambahkan bahan bacaan... semoga anda semua mendapat manfaat dan ilmu....

No comments:

Post a Comment