Sunday, 16 September 2012

NICOL TEWAS DI NEGARA SENDIRI......


Selepas tujuh kali berturut-turut mengungguli kejuaraan CIMB Terbuka Malaysia, penguasaan Datuk Nicol David akhirnya tersekat selepas mengalami kekalahan mengejut kepada bintang muda Mesir, Raneem El Weleily di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.

Nicol, 28, yang bergelut sejak hari pertama kejohanan akhirnya tidak mampu menyembunyikan kelemahannya apabila tunduk 10-12, 13-11, 9-11, 2-11 kepada Raneem, 23, yang semakin mempamerkan peningkatan sejak melonjak ke rankingNo. 2 dunia, awal bulan ini.

Biarpun menerima sokongan padu penonton dan mempunyai beberapa motivasi untuk memenangi perlawanan semalam, namun Raneem berjaya memerangkap Nicol menerusi drop dan voli drop yang cantik.

Selepas mengharungi tiga set yang sengit, Raneem menunjukkan kawalan rali yang baik di set keempat, malah mendahului 5-0, 10-2 sebelum menamatkan saingan dengan 11-2. Keseluruhannya, pertarungan hanya berlangsung selama 36 minit.

Kemenangan Raneem membolehkan dia melakar sejarah sebagai pemain wanita Mesir pertama menjuarai Terbuka Malaysia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1975.

Malah, dia juga melengkapkan keunggulan pemain-pemain negaranya selepas terdahulu Tarek Momen melakar kejutan ke atas pilihan kedua juga dari Mesir, Mohamed El Sorbagy 12-10, 6-11, 12-10, 8-11, 14-12 untuk mengungguli saingan lelaki.

"Ini merupakan detik paling hebat dalam karier saya sebagai pemain skuasy. Bulan ini saya berjaya melonjakkan diri ke ranking kedua dunia buat kali pertama dan hari ini, saya berjaya menjadi pemain wanita Mesir pertama muncul juara Terbuka Malaysia.

"Tambah hebat lagi, saya mengalahkan Nicol David di depan penyokongnya sendiri. Ia adalah kemenangan pertama saya ke atas Nicol dan untuk mencapai kejayaan ini, saya perlu memberikan persembahan paling konsisten dan terbaik," ujar Raneem yang turut mengecewakan Low Wee Wern pada separuh akhir kelmarin.

Bagi Nicol, juara dunia enam kali ini bukan saja kekalahan pertamanya pada Terbuka Malaysia yang telah dijuarai sejak 2005, malah kalah buat kali pertama kepada Raneem daripada lapan pertemuan mereka.

Nicol juga kempunan melakar rekod baru 63 kejuaraan Jelajah Wispa (Pemain Profesional Wanita).

Nicol kini berkongsi rekod 62 gelaran bersama legenda New Zealand, Susan Devoy dan Sarah Fitz-Gerald dari Australia.

Kekalahan kepada Weleily turut meleburkan rekod tanpa kalah pemain No. 1 dunia itu dalam 39 perlawanan berturut-turut.

Kekalahan terakhir Nicol sebelum ini adalah kepada Kasey Brown dari Australia pada Oktober, 2011.

"Sudah tentu kekalahan sesuatu yang mengecewakan tetapi saya harus akur pemain lain sudah semakin meningkat dan Raneem menunjukkan peningkatan yang besar sejak akhir-akhir ini. Memang mustahil saya boleh menang semua perlawanan tetapi saya telah memberikan yang terbaik hari ini.

"Kekalahan saya pasti tidak menggembirakan penyokong tempatan, tetapi saya rasa dari sudut positif, persaingan kini sudah semakin kompetitif. Ia juga bagus untuk skuasy, malah amaran kepada saya bahawa saya perlu bekerja lebih kuat untuk mengekalkan kedudukan," ujar Nicol.

No comments:

Post a Comment