Tuesday, 4 September 2012

KENAIKAN HAD UMUR PERSARAAN HANYA BERI KESAN POSITIF SEKIRANYA KAKITANGAN TNB KEKAL PRODUKTIF


Semalam kerajaan mengumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang berse...tuju melanjutkan had umur persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 60 tahun.

Susulan itu timbul reaksi pelbagai dari kakitangan syarikat pembekal tenaga terbesar negara itu..

Noor Asyikin Md Zin, 27, Eksekutif Perancangan Sumber Manusia dan Perjawatan dan Bahagian Penjanaan TNB berpendapat, dengan peningkatan umur persaraan serta pertambahan kadar caruman KWSP, ia mampu memberi kehidupan yang lebih baik selepas pesara berumur 60 tahun.

“Saya 100% bersetuju. Namun ia bergantung kepada tahap kesihatan pekerja itu sendiri. Sekiranya masih mampu untuk berkhidmat, apa salahnya. Orang lama lebih banyak pengalaman. Namun begitu, syarikat juga memerlukan idea-idea daripada tenaga kerja muda,” katanya.

Bagi En. Mad Nizam Bin Abu Bakar, 40, yang merupakan Penolong Pengurus Jabatan Pengurusan Sumber Manusia TNB, berpendapat, peningkatan umur persaraan dikalangan kakitangan TNB mempunyai baik dan buruknya.

“Saya bersetuju dengan kenaikan persaraan nanti, jumlah dana KWSP pastinya akan bertambah dan kami semua dapat mengecapi alam persaraan yang lebih selesa. Tetapi ia bergantung kepada jabatan mana pekerja itu berkhidmat.“

Contohnya jika pekerja itu adalah juruteknikal yang memerlukan beliau untuk memanjat tiang atau kerja-kerja berat, saya rasa pada usia 55 tahun ke atas, tahap stamina seseorang itu pastinya sudah menurun. Segalanya bergantung kepada profesion individu tersebut,” katanya.

Bagi Nik Alfiah Bt Abdul Halim, 33, Eksekutif Bahagian Pengurusan Rancangan dan Pembangunan Manusia TNB berpendapat, dengan kenaikan kadar caruman KWSP majikan, pesara dapat menikmati hari tua yang lebih selesa.

“Dengan kos kehidupan yang agak tinggi ketika ini, saya rasa ada baiknya, umur persaraan dipanjangkan. Ini kerana, ada di antara kita apabila pada usia 50 tahun, anak mereka masih di bangku sekolah atau masih mengikuti pengajian di IPTA atau kolej swasta.

“Semua ini perlu diambil kira. Ada juga yang masih berhutang dengan pihak bank, dan apabila wang caruman KWSP meningkat, dapat juga pesara tersebut melangsaikan hutang piutang yang ada,” ujarnya.

Berdasarkan kajian Jobstreet.com baru-baru ini, 72 peratus daripada responden menyokong gesaan untuk menaikkan umur persaraan daripada 55 tahun, dengan kebanyakkan mereka (34 peratus) menyatakan mereka memilih untuk bersara pada umur 60 tahun.

Sebanyak 15 peratus menyatakan mereka memilih untuk bersara pada usia 65 tahun, manakala 12 peratus berkata mereka lebih suka jika tiada umur maksimum ditetapkan bagi persaraan.

Sebanyak 84 peratus berkata, adalah perlu untuk menaikkan umur persaraan berikutan peningkatan jangka hayat akan memberikan bebanan lebih tinggi kepada simpanan, manakala 73 peratus berkata langkah itu akan memastikan pengekalan pekerja mahir, khususnya dalam profesion yang memerlukan banyak pengalaman.



By  :  Faida Rahim

No comments:

Post a Comment