Friday, 28 September 2012

DI ANTARA YANG MENARIK UCAPAN BAJET 2013


Berikut adalah petikan menarik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013 bertema “Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati” di di Dewan Rakyat pada Jumaat.
1.”Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada hari ini tampak muluk-muluk dan indah, tetapi sebenarnya merupa racun berbisa”.
2 “Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan kebenaran, biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dongengan lipurlara, sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara terhadap segala permasalahan rakyat”.

3.”Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan perkara mudah. Ia memerlukan keihklasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca”.
4. ” Hakikat Rakyat telah memberi mandat kepada kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959 bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh kerajaan sedia ada”.
5. “Oleh itu, Bajet 2013 dirangka bertemakan ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’”.
6.”Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletak kepercayaan kepada kami di sepanjang ketika”.
7. “Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu Felda Global Venture Holdings (FGVH) dengan nilai RM9.9 bilion dan IHH Healthcare Berhad dengan nilai RM6.3 bilion telah diterbitkan. Terkini, Astro akan disenaraikan pada Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan yang besar”.
8. “Kerajaan amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan sosio-ekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat”.
9. “Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar, pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi”.
10. “Kerajaan akan melaksanakan projek perintis Taska OKU bagi enam kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi Down Syndrome, Autisme, penglihatan, pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran”.
11. “Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari estet-estet, yang tidak memperoleh keputusan yang baik dalam peperiksaan dan tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaaan”.
12. “Sesungguhnya, kerajaan ini adalah kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat. Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan masa depan orang ramai”.
13. “Hakikatnya, jika kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia akan hancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung akibat sepertimana yang berlaku di sesetengah negara”.
14. “Gula yang diambil secara berpatutuan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan, ia mampu menjadi racun”.
15. “Sebaik manapun dasar yang telah digubal pihak kerajaan, tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara, sama ada yang berada di peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat”.
16. “Menurut hukum, hutang wajib dibayar. Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan”.
17. “Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan mendorong negara tercinta ini ke arah pencapaian wawasan nasional.
18. “Dengan izin Allah S.W.T. dan dengan sokongan dan dokongan rakyat Malaysia, Insya-Allah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi, menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi”.
19. “Pujangga bermadah, bumi mana tidak ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. Kita akur kerajaan BN tidak bebas daripada kekhilafan. Tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak mempunyai ketawadu’uan untuk mengakui kesilapan, sebaliknya mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.
20. “Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya menghakimi kerajaan BN dengan amal perbuatan, bukannya retorik. Marilah bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan.
21.”Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global”.
SUMBER : BISWARDI
***Dapatkan teks penuh ucapan Bajet 2012.... DI SINI

No comments:

Post a Comment