Monday, 27 August 2012

PUASA SUNAT ENAM BULAN SYAWAL



عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ حَدَّثَهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى الله قَالَ : ” مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوّالٍ . كَانَ كَصِيَامِ الدّهْرِ “
Abu Ayyub al-Ansari r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian mengikutinya dengan enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa selama setahun [Sahih Muslim : 1991]
Dalil di atas terang bagaikan mentari menunjukkan kepada kita bahawa merupakan satu sunnah untuk umat Islam melaksanakan puasa sunat selama enam hari dalam bulan Syawal.
Terdapat banyak faedah melakukan puasa enam di bulan Syawal. Al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyenaraikan beberapa faedah tersebut:
1) Mendapat pahala puasa setahun
أن صيام ستة أيام من شوال بعد رمضان يستكمل بها أجر صيام الدهر كله كما سبق
Berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal selepas Ramadhan akan melengkapkan pahala puasa menjadi seperti pahala puasa selama setahun penuh sebagaimana telah disebut pada hadis di atas
2) Menyempurnakan kekurangan pada puasa Ramadhan
 أن صيام شوال و شعبان كصلاة السنن الرواتب قبل الصلاة المفروضة و بعدها فيكمل بذلك ما حصل في الفرض من خلل و نقص فإن الفرائض تجبر أو تكمل بالنوافل يوم القيامة كما ورد ذلك عن النبي صلى الله عليه و سلم من وجوه متعددة و أكثر الناس في صيامه للفرض نقص و خلل فيحتاج إلى ما يجبره و يكمله من الأعمال
Puasa dalam bulan Syawal dan Sya’ban umpama solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu. Ia akan menyempurnakan kekurangan yang ada pada amalan fardhu tersebut. Sesungguhnya amalan-amalan fardhu akan diperbaiki atau disempurnakan oleh amalan-amalan sunat pada hari kiamat kelak sebagaimana yang ada dalam pelbagai hadis-hadis nabi s.a.w. Kebanyakan manusia mempunyai kekurangan dan kecacatan pada amalan fardhu mereka yang mana ia memerlukan kepada pembaikan dan penyempurnaan melalui amalan-amalan (sunat)
3) Petanda puasa Ramadhan diterima Allah
 أن معاودة الصيام بعد صيام رمضان علامة على قبول صوم رمضان فإن الله إذا تقبل عمل عبد وفقه لعمل صالح بعده كما قال بعضهم : ثواب الحسنة الحسنة بعدها فمن عمل حسنة ثم اتبعها بعد بحسنة كان ذلك علامة على قبول الحسنة الأولى كما أن من عمل حسنة ثم اتبعها بسيئة كان ذلك علامة رد الحسنة و عدم قبولها
Melaksanakan puasa sunat selepas bulan Ramadhan merupakan satu petanda bahawa puasa Ramadhan kita diterima Allah. Sesungguhnya apabila Allah s.w.t menerima amalan seseorang, Dia akan menjadikannya tetap melakukan kebaikan selepas itu. Sebahagian ulama berkata: Ganjaran kepada kebaikan adalah kebaikan selepasnya. Sesiapa yang melakukan kebaikan, lalu mengikuti selepasnya dengan kebaikan yang lain, ia merupakan petunjuk amalan kebaikan yang pertama diterima Allah. Begitu juga jika seseorang melakukan kebaikan, kemudian diikuti dengan melakukan kejahatan, ia merupakan petanda kebaikan yang pertama tadi tertolak dan tidak diterima Allah.
4) Tanda bersyukur kerana berjaya beribadat di bulan Ramadhan
أن صيام رمضان يوجب مغفرة ما تقدم من الذنوب كما سبق ذكره و أن الصائمين لرمضان يوفون أجورهم في يوم الفطر و هو يوم الجوائز فيكون معاودة الصيام بعد الفطر شكرا لهذه النعمة فلا نعمة أعظم من مغفرة الذنوب [ كان النبي صلى الله عليه و سلم يقوم حتى تتورم قدماه فيقال له : أتفعل هذا و قد غفر الله لك ماتقدم من ذنبك و ما تأخر ؟ فيقول : أفلا أكون عبدا شكورا ]
Puasa Ramadhan akan memastikan pelakunya mendapat keampunan untuk dosa-dosa yang telah dilakukan. Mereka yang berpuasa mendapat ganjaran mereka pada hari raya, dan hari tersebut merupakan satu kurniaan kepada mereka. Oleh itu melaksanakan puasa selepas hari raya merupakan satu bentuk kesyukuran untuk nikmat tersebut. Sungguh tiada nikmat yang lebih besar daripada nikmat diampuninya dosa-dosa yang telah dilakukan. Rasulullah s.a.w sering bangun mendirikan solat di waktu malam sehingga bengkak-bengkak kakinya, lalu dikatakan kepada baginda s.a.w: Kenapa engkau lakukan semua ini sedangkan Allah telah mengampuni dosa mu yang lalu dan yang akan datang. Jawab baginda s.a.w: Adakah salah aku menjadi hamba yang bersyukur?
كان بعض السلف إذا وفق لقيام ليلة من الليالي أصبح في نهاره صائما و يجعل صيامه شكرا للتوفيق للقيام و كان وهب بن الورد يسئل عن ثواب شيء من الأعمال كالطواف و نحوه ؟ فيقول : لا تسألوا عن ثوابه و لكن اسألوا ما الذي على من وفق لهذا العمل من الشكر للتوفيق و الإعانة عليه
Sebahagian generasi salaf (tiga generasi awal Islam) apabila mereka berjaya bangun malam (untuk beribadah), mereka akan bangun pagi dan berpuasa pada siangnya. Puasa itu dijadikan sebagai tanda kesyukuran di atas petunjuk  yang membolehkan mereka bangun (beribadah) di waktu malam. Pada suatu hari, Wahab bin al-Warid ditanya tentang pahala untuk amalan seperti tawaf dan sebagainya. Lalu dia menjawab: Jangan kalian tanya tentang pahalanya. Sebaliknya tanyalah apa yang patut dilakukan oleh orang yang berjaya melakukan ibadah tersebut sebagai tanda bersyukur di atas petunjuk dan bantuan (Allah) untuk melaksanakan (ibadah tersebut). [Ringkasan daripada kata-kata Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lathoif al-Ma’arif m/s 190-191]

Tatacara Melakukan Puasa Enam
Puasa enam di bulan Syawal boleh dilakukan pada bila-bila masa di bulan Syawal.
Imam an-Nawawi rahimahullah berkata:
قَالَ أَصْحَابُنَا : يُسْتَحَبُّ صَوْمُ سِتَّةِ أَيَّامٍ مِنْ شَوَّالٍ ، لِهَذَا الْحَدِيثِ قَالُوا : وَيُسْتَحَبُّ أَنْ يَصُومَهَا مُتَتَابِعَةً فِي أَوَّلِ شَوَّالٍ فَإِنْ فَرَّقَهَا أَوْ أَخَّرَهَا عَنْ شَوَّالٍ جَازَ
Ulama-ulama Syafiiyyah berkata: Disunatkan untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. Berdasarkan hadis ini (hadis Abu Ayyub al-Ansari) mereka berkata: Disunatkan melaksanakan puasa tersebut berturut-turut pada awal Syawal. Seandainya seseorang melakukannya secara berasingan (tidak berturut-turut) atau melewatkannya ke akhir Syawal, maka ia tetap dibenarkan. [al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, http://www.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?flag=1&bk_no=14&ID=4035]
Hendaklah mengqadha puasa Ramadhan terlebih dahulu
Sewajarnya seseorang yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, hendaklah dia menyempurnakan dahulu puasa Ramadhan tersebut. Walaupun terdapat khilaf ulama’ di dalam hal ini, akan tetapi mendahulukan qadha’ itulah yang terbaik. Ini berdasarkan hadis di atas yang menunjukkan bahawa puasa Ramadhan itu perlu disempurnakan dahulu barulah kita mendapat pahala puasa setahun penuh apabila ditambah dengan puasa enam hari di bulan Syawal.
Sa’id bin al-Musayyib r.h.m pernah ditanya berkaitan puasa Zulhijjah, beliau menjawab :
لَا يَصْلُحُ حَتَّى يَبْدَأَ بِرَمَضَانَ
Tidak sewajarnya ia dilakukan kecuali selepas dia sudah mula (mengqadhakan) puasa Ramadhan [Sahih al-Bukhari, Kitab Puasa, Bab Bilakah Qadha Puasa Ramadhan]
Khusus mengenai puasa sunat Syawal, al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan:
فمن كان عليه قضاء من شهر رمضان فليبدأ بقضائه في شوال فإنه أسرع لبراءة ذمته و هو أولى من التطوع بصيام ستة من شوال فإن العلماء اختلفوا فيمن عليه صيام مفروض هل يجوز أن يتطوع قبله أو لا
Sesiapa yang mempunyai hutang puasa Ramadhan, hendaklah dia memulakan dengan melakukan qadha puasa tersebut dalam bulan Syawal. Sesungguhnya ini akan mempercepatkan pembebasan dirinya daripada kewajipan yang ada, dan ia lebih utama daripada melakukan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal. Ilmuan Islam berbeza pendapat tentang mereka yang mempunyai hutang puasa wajib, adakah dibenarkan atau tidak untuk melakukan puasa sunat sebelum melaksanakan hutang-hutang puasa wajib tersebut.
 و على قول من جوز التطوع قبل القضاء فلا يحصل مقصود صيام ستة أيام من شوال إلا لمن أكمل صيام رمضان ثم أتبعه بست من شوال
Untuk pendapat yang menyatakan dibolehkan untuk melakukan puasa sunat sebelum qadha puasa wajib. Pahala (puasa setahun) untuk puasa sunam enam hari di bulan Syawal tidak akan diperolehi melainkan untuk sesiapa yang menyempurnakan dahulu puasa Ramadhannya kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal.
و من بدأ بالقضاء في شوال ثم أراد أن يتبع ذلك بصيام ستة من شوال بعد تكمله قضاء رمضان كان حسنا لأنه يصير حينئذ قد صام رمضان و أتبعه بست من شوال
Sesiapa yang memulakan dengan mengqadha puasa Ramadhan dalam bulan Syawal, kemudian dia mahu meneruskan dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal selepas menyempurnakan qadha’nya, maka itulah yang bagus.  Ini kerana dengan cara itu dia telah menyempurnakan puasa Ramadhan dan diikuti dengan enam hari di bulan Syawal. [Ringkasan daripada Lathoif al-Ma’arif m/s 192]
Tidak sempat puasa sunat kerana qadha puasa?
Seorang Muslimah dari Jordan pernah bertanya kepada Shaikh Abdul Aziz bin Baz:
بدأت في صيام الست من شوال ولكني لم أستطع إكمالها بسبب بعض الظروف والأعمال حيث بقي عليَّ منها يومان، فماذا أفعل يا سماحة الشيخ؟ هل أقضيها؟ وهل عليَّ إثم في ذلك؟
Saya telah mula melakukan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, akan tetapi aku tidak mampu menyempurnakannya kerana sebab-sebab dan urusan tertentu hingga menyebabkan masih ada berbaki dua hari lagi. Apa yang perlu lakukan wahai sheikh? Adakah aku perlu mengqadhanya? Adakah aku berdosa untul hal tersebut?
Shaikh Bin Baz rahimahullah menjawab:
صيام الأيام الستة من شوال عبادة مستحبة غير واجبة، فلك أجر ما صمت منها ويرجى لك أجرها كاملة إذا كان المانع لك من إكمالها عذراً شرعياً؛ لقول النبي صلى الله عليه وسلم: ((إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا)) رواه البخاري في صحيحه. وليس عليك قضاء لما تركت منها. والله الموفق.
Puasa enam hari di bulan Syawal merupakan ibadah sunat dan bukannya wajib. Saudari akan mendapat pahala untuk puasa-puasa yang telah saudari lakukan, dan semoga saudari juga memperolehi pahala yang penuh seandainya perkara yang menghalang saudari daripada menyempurnakan puasa itu merupakan satu keuzuran yang diiktiraf syara’. Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w :  Seandainya seseorang itu sakit, atau bermusafir, nescaya Allah akan menulis untuknya (ganjaran) seperti amalan yang dia akan lakukan ketika bermukim dan sihat [Sahih al-Bukhari : 2791]. Oleh kerana itu, saudari tidak perlu mengqadha puasa sunat yang telah saudari tinggalkan. 
Bolehkah digabung antara puasa Qadha dan Sunat?
Terdapat perbezaan pandangan ilmuan Islam dalam hal ini, Dr. Zaharuddin bin Abdul Rahman menyatakan: Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi s.a.w pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.
Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik. Ini kerana pilihan Nabi s.a.w dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.
Malah terdapat juga hujah-hujah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-
1. Jika seseorang mengatakan boleh menggabungkan puasa qadha (yang wajib) dengan puasa Syawal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat Isyak dengan terawih, atau Subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat Jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu Subuh campur istikharah dan lain-lain.
2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (bekas ahli Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain. Ini kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajipannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam. 
Pembaca sekalian, kita sudahi pembacaan hari ini dengan merenung kata-kata al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali di bawah:
على كل نعمة على العبد من الله في دين أو دنيا يحتاج إلى شكر عليها ثم للتوفيق للشكر عليها نعمة أخرى تحتاج إلى شكر ثان ثم التوفيق للشكر الثاني نعمة أخرى يحتاج إلى شكر أخر و هكذا أبدا
Untuk setiap nikmat daripada Allah kepada hambanya, tidak kira sama ada dalam hal keagamaan mahupun duniawi, itu semua memerlukan syukur ke atas Nya. Kemudian, petunjuk Allah yang menyebabkan kita bersyukur tadi pula merupakan satu nikmat yang lain daripadanya, ia memerlukan kepada syukur yang kedua pula. Kemudian untuk petunjuk Allah yang membawa kepada syukur yang kedua tadi jua merupakan satu nikmat yang lain daripadanya, ia turut memerlukan kepada syukur yang lain lagi. Begitulah selamanya [Lathoif al-Ma’arif m/s 191]

No comments:

Post a Comment