Wednesday, 22 August 2012

MALAYSIA BOLEH : MISI MENENTANG ARUS SEJUK SELAT INGGERIS


SEPANG  - Seramai 15 perenang dan krew berlepas ke Dover, United Kingdom malam ini untuk melakukan persediaan terakhir sebelum memulakan Ekspedisi Renangan Perpaduan Selat Inggeris 1Malaysia (RPSI 1Malaysia) pada 16 September ini.

Penganjur program itu, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, aktiviti di Dover akan menumpukan kepada ujian ketahanan sejuk dan latihan renang selama enam jam yang akan mengukuhkan lagi stamina perenang.

``Latihan ini adalah penting sebagai persediaan untuk menghadapi pelbagai cabaran termasuk suhu air sekitar 16 hingga 18 darjah celsius dan arus Selat Inggeris yang deras.

``Setiap perenang juga perlu bersedia untuk berdepan dengan pelbagai keadaan luar jangka seperti cuaca yang tidak menentu," katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Dover di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Akmar Hisham Mokhles yang juga penasihat ekspedisi tersebut turut hadir untuk memberi kata-kata semangat kepada kumpulan pertama perenang dan krew terbabit.

Dalam pada itu, Akmar Hisham berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merupakan penaung program mendoakan kejayaan ekspedisi tersebut yang diadakan sempena Hari Malaysia.

Kumpulan perenang dan krew RPSI 1Malaysia yang kedua dijangka bertolak ke Dover pada 24 Ogos ini untuk menyertai latihan bersama. - Utusan.

No comments:

Post a Comment