Tuesday, 17 July 2012

SEJARAH BETING BERAS BASAH



BETING Beras Basah yang terletak di Bagan Datoh, Perak berhampiran dengan muara Sungai Perak adalah kawasan pantai pasir yang kadangkala timbul dan kadangkala tenggelam apabila air pasang.

 

Ia dikaitkan dengan Sultan Perak pertama yang menjejakkan kaki di sini. Setiap kali pertabalan Sultan Perak, sultan terbabit mestilah menghilir Sungai Perak dari Kuala Kangsar hingga ke Beting Beras Basah.

Menurut catatan sejarah, ketika Sultan Mahmud Shah menjadi Sultan Kampar, Indonesia, negeri Perak masih belum mempunyai raja.

Justeru, mesyuarat pembesar Perak ketika itu bersetuju sebulat suara supaya Tun Saban dan Nakhoda Kassim pergi ke Kampar, Indonesia mengadap Sultan Mahmud Shah, mengemukakan permohonan supaya puteranya dilantik sebagai ketua kerajaan Perak.

Ini kerana ketika pemerintahan Kerajaan Melayu Melaka, Perak adalah di bawah naungan negeri itu dengan Beruas dijadikan ibu negeri.

Sultan Mahmud Shah kemudian melantik cucunya, Raja Mudzaffar sebagai Sultan Perak. Raja Mudzaffar adalah anak Raja Ahmad yang berkahwin dengan puteri Onang Kening anak Raja Kelantan.

Raja Mudzaffar kemudian dikurniakan alat kebesaran, iaitu sebilah pedang Cura Si Manja Kini, sebilah keris, sebuah cap yang berlorek perkataan “Sultan Muhamad Shah Dzil Allah Fil-Alam”, nobat dan surat Chiri.

Selepas menerima arahan, Raja Mudzaffar pun bersiap dan menunggu masa yang baik untuk berangkat meninggalkan Kampar.

Pada masa sama, Tun Saban pulang ke Perak dan menyediakan 77 ekor gajah yang sarat dengan pelbagai persembahan daripada penduduk Hulu Perak lalu menunggu ketibaan Raja Mudzaffar di Kuala Sungai Perak.

Tidak lama kemudian, Raja Mudzaffar belayar bersama isterinya, Tun Terang, anak lelakinya, Raja Mansur dan pengiring termasuk Megat Teraweh Ibni Daulat Pagar Ruyong.

Beliau singgah di Siak dan Kelang untuk menziarahi keluarganya. Ketika di Kelang beliau bertemu Nakhoda Tumi, iaitu orang Manjung yang selalu berulang-alik berniaga dari Perak ke Kelang. Nakhoda Tumi kemudian membawa Raja Mudzaffar ke Perak.

Akhirnya bahtera yang dinaiki rombongannya tiba di Beting Beras Basah di kuala Sungai Perak. Dengan takdir Tuhan, bahteranya tersangkut pada beting terbabit. Walaupun pelbagai usaha dilakukan, bahtera itu masih tetap tersangkut pada beting berkenaan. Sebaik beliau melihat masalah itu, beliau terus berkata, “Sekongkong tanah Minangkabau selilit Pulau Perca dilengkong ular saktimuna perpisahan beta di Selat Melaka. Jika sah beta Raja berdaulat lepaskan sekalian malapetaka.”

Kata-katanya itu kemudian disahut Tuan Saban bersama rakyat yang menunggu di situ dengan teriakan “Daulat Tuanku” sebanyak tiga kali. Selepas teriakan itu, bahtera yang tersangkut di beting terbabit kemudian bergerak masuk ke muara.

Bermula dari situ, Beting Beras Basah terus menjadi tempat penting kepada bakal Sultan Perak sebelum pertabalan. Bakal sultan mesti menjejakkan kaki di Beting Beras Basah.

Baginda akan mencelup kaki dan mukanya ke Beting sekali gus menandakan selamat berangkat sampai, dan diikuti dengan doa selamat oleh kadi daerah atau seorang alim ulama yang terdahulu dititah mengiringinya.

BETING BERAS BASAH

Beting Beras Basah terletak di Kuala Sungai Perak, Daerah Hilir Perak. Mengikut sejarah, di sinilah bermulanya Sultan Perak yang pertama berangkat masuk ke Negeri Perak.

Di zaman munculnya Kerajaan Beruas dan Manjung terdapat juga beberapa daerah di Perak yang memerintah secara persendirian. Di Temong misalnya terdapat seorang perempuan yang dikenali sebagai Tok Temong dan di Hulu Perak terdapat seorang lelaki bernama Tun Saban anak Bendahara Tun Perak Melaka. Begitulah keadaannya sebelum wujud kesultanan Perak.

Kesultanan Perak bermula pada kurun ke-16, apabila putera kedua Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir, setelah Negeri Melaka dikalahkan oleh Portugis pada T.M 1511 dilantik menjadi Sultan Perak yang pertama pada tahun 1528. Putera tersebut bernama Raja Mudzaffar Shah. Menurut cerita lisan yang diperolehi daripada Almarhum Sultan Idris Almutawakkil Alallah Shah Ibni Almarhum Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-33, Orang-orang Perak telah menyuruh Tun Saban menjemput Raja Mudzaffar untuk dirajakan di Perak. Waktu bakal Sultan ini mudik Sungai Perak, bahtera kenaikan Baginda telah tersangkut di Beting Beras Basah yang terletak di Kuala Sungai Perak. Raja Mudzaffar telah berseru: 
"Sekongkong Tanah Minangkabau
Selilit Pulau Perca
Di lengkong ular Saktimuna
Perpisahan Beta di selat Melaka
Jika Sah Beta Raja berdaulat
Lepaslah sekalian malapetaka"
Selepas seruan Baginda diucapkan. bahtera kenaikan Baginda itu bergerak, dan Orang-orang Besar dan beribu-ribu rakyat Negeri Perak yang menyambut Baginda menyebut "Daulat Tuanku" tiga kali berturut-turut. Kemudian Baginda diarak mudik Sungai Perak hingga ke tempat yang bernama Tanah Abang dan disitulah Baginda ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama.


SENARAI SULTAN YANG MEMERINTAH NEGERI PERAK


No comments:

Post a Comment