Thursday, 5 July 2012

SANGGUP MATI DEMI FUGU..!!!




SETIAP tahun ada saja rakyat Jepun dimasukkan ke hospital dan adakalanya meninggal dunia selepas menikmati sajian ikan buntal. Walaupun tahu bahaya yang bakal dihadapi, kerajaan Jepun masih belum mengeluarkan peraturan tegas dalam penyediaan hidangan ikan beracun itu.


Penggemar ikan buntal berkata, rasa mencucuk yang dirasai pada bibir selepas mengunyah daging ikan buntal disebabkan kandungan neurotoksin (kompleks protein beracun) itulah yang menjadi tarikan utama untuk terus menikmati hidangan laut itu. 


Ia tetap menjadi buruan walaupun ramai sedar rasa kebas akibat tetrodotoksin (protein racun yang kuat kesannya dan masih tidak ditemui penawarnya) boleh membawa kepada kelumpuhan dan masalah pernafasan.

Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA), memakan ikan buntal boleh menyebabkan kematian dalam tempoh empat hingga enam jam dan ‘mangsa mungkin sedar walaupun lumpuh sepenuhnya dan dalam sesetengah kes, mangsa boleh memahami percakapan orang sebelum meninggal dunia’.




Bagaimanapun, pengunjung di restoran milik Shigekazu Suzuki boleh menikmati makanan mereka dengan hati tenang apabila memilih sajian ikan beracun itu yang mempunyai rupa hodoh dari tangki ikan yang diletak berhampiran dapur.


 


Suzuki antara sekumpulan tukang masak eksklusif di Tokyo yang menjalani latihan dan mendapat lesen khas bagi membolehkan mereka menghidangkan ikan buntal dikenali sebagai fugu di Jepun.

“Tidak mudah untuk orang yang tiada lesen membersihkan fugu,” kata Suzuki yang ditemui di cawangan restorannya ‘Torafugu-tei’ di Ginza, sambil dia mengeluarkan organ beracun daripada ikan buntal yang baru disiang.

“Saya tidak pernah makan (organ) ikan ini sebab takut,” sambungnya lagi sambil menggenggam ovari ikan buntal yang berwarna kekuningan bahagian paling beracun dan membuangnya ke dalam periuk keluli berkunci.

Menurut Suzuki, dia mengambil masa lima tahun untuk lulus dalam peperiksaan lesen fugu yang turut merangkumi ujian teori dan praktikal bagaimana untuk mengenal pasti bahagian beracun pada ikan buntal.

Peraturan ketat akan mengurangkan risiko kematian pada orang yang makan sajian ikan buntal tetapi laporan mengenai nelayan yang meninggal dunia selepas makan ikan buntal yang disiang sendiri semakin banyak.

Malangnya, laporan seperti itu gagal memberi peringatan kepada pelanggannya kerana ada segelintir yang meminta untuk dihidangkan bahagian yang diharamkan.
Biasanya, tukang masak tidak mengendahkan permintaan seumpama itu.

Pada Disember lalu, kerajaan Metropolitan Tokyo membatalkan lesen yang diberikan kepada seorang tukang masak di restoran dua bintang Michelin selepas dia menghidangkan hati ikan buntal kepada pelanggan yang ‘teringin’ hendak merasa organ beracun ikan buntal. Pelanggan itu pulih selepas beberapa hari dirawat di hospital.

“Sesetengah orang memang hendak sangat merasa bahagian yang berbahaya ini kerana mereka fikir rasanya mungkin sangat sedap. Ada yang jatuh sakit (selepas makan ikan buntal) tetapi ramai yang seperti kami, tidak mahu ambil risiko,” kata Mahiro Shin, 33, pelanggan Torafugu-tei.

Satu set hidangan fugu di Torafugu-tei berharga kira-kira 5,000 yen (RM189) tetapi harga di sesetengah restoran eksklusif di Tokyo boleh mencecah sehingga puluhan atau ratusan ribu yen.

Bagaimanapun, bak kata seorang pelanggan, Yohei Watanabe, keunikan pada ikan bermusim itu menyebabkan ia terus diminati.

“Harganya memang lebih mahal berbanding ikan biasa tetapi ia berbaloi,” katanya.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun, tahun lalu saja seramai 17 orang jatuh sakit selepas makan ikan buntal dan seorang meninggal dunia.

Di bawah sistem peraturan sekarang, semua restoran di kawasan Metropolitan Tokyo yang didiami lebih 13 juta penduduk itu hanya boleh menghidangkan fugu jika mereka mempunyai tukang masak yang dilatih khas bekerja di restoran berkenaan.

Tetapi ada satu perkara yang mengejutkan ramai pemerhati iaitu apabila pihak berkuasa tempatan di Tokyo mengumumkan rancangannya untuk melonggarkan
peraturan berkenaan.

Dari Oktober tahun lalu, pengusaha restoran dibenarkan membeli fugu yang siap disiang dan dihiris sama ada dipek atau dibekukan, asalkan ia datang daripada tukang masak berlesen.

Fugu yang tidak disiang dengan betul masih diharamkan di semua restoran yang tidak mempunyai tukang masak berlesen.

Sejak dulu lagi pengguna di Tokyo membeli isi fugu dari tempat lain di Jepun melalui Internet, kebanyakannya dari wilayah Kyusu di selatan yang memang terkenal dengan keenakan makanannya.

“Kami sudah memutuskan bahawa penilaian semula peraturan ini tidak akan menyebabkan peningkatan kepada kejadian keracunan fugu,” kata pegawai kerajaan
di Metropolitan Tokyo.

Chef Suzuki berkata, dia tidak bimbang wujudnya persaingan apabila peraturan baru itu berkuat kuasa kelak.

“Dengan adanya peraturan baru ini, lebih banyak restoran boleh menghidangkan fugu, jadi semakin ramai pelanggan boleh menikmatinya. Ia juga secara tidak langsung akan meningkatkan kewaspadaan dan kepekaan orang ramai mengenai budaya makan fugu.

“Malah kami tukang masak akan terus berhati-hati dalam penyediaan sajian fugu,” kata tukang masak berusia 44 tahun itu. - AFP


No comments:

Post a Comment