Monday, 16 July 2012

'MINI MONET' BAKAL BERGELAR JUTAWAN...

Hiasan

LONDON  - Seorang kanak-kanak Britain berusia sembilan tahun yang digelar sebagai 'Mini Monet' bakal menjadi jutawan tidak lama lagi selepas 24 hasil lukisannya dijual dengan harga 250,000 pound (RM1.3 juta) dalam tempoh hanya 15 minit.

Kieron Williamson, berasal dari Norfolk dekat utara England, memperoleh hasil jualan lumayan tersebut selepas lukisannya dijual menerusi bidaan yang dibuat melalui panggilan telefon dan Internet.

Kanak-kanak itu mula melukis semasa melancong bersama keluarganya ke Devon dan Cornwall pada 2008 dan sebelum itu dia hanya mewarnakan gambar dinosaur yang dilukis oleh ibu bapanya.

Namun sejak itu, dia menjadi pelukis sensasi yang terkenal di seluruh dunia selepas hasil lukisannya dibeli dengan harga berpuluh-puluh ribu pound.

Kesemua 24 lukisan yang dijual baru-baru ini termasuk dua lukisan landskap yang bernilai 34,950 pound (RM172,041) setiap satu dan lukisan pastel yang hanya memerlukan masa beberapa minit untuk disiapkan, dijual dengan harga 6,000 pound (RM29,534) hingga 7,000 pound (RM34,457).

Kali pertama hasil seni Williamson dijual di pasaran adalah pada 2009. Sebanyak 19 lukisannya yang bernilai 14,000 pound (RM68,914) habis dijual dalam satu acara lelongan yang diadakan secara tertutup.

Tiga bulan kemudian, 16 lukisannya dijual dengan nilai keseluruhan 17,000 pound (RM83,682 ) dalam tempoh 14 minit semasa kali kedua dia menyertai pameran di Galeri Picturecraft.

Dia kemudiannya meraih 106,260 pound (RM523,063) pada November lalu selepas 12 lukisannya dijual dalam tempoh 10 minit 50 saat. - AGENSI

No comments:

Post a Comment