Wednesday, 18 July 2012

KONSTABEL MAUT TERJUN MENARA TELEKOMUNIKASI



Hiasan - Tokyo Skytree...menara telekomunikasi tertinggi di dunia


SEPANG: Seorang anggota polis maut selepas terjun dari menara komunikasi yang terletak dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, pada ketinggian kira-kira 60 meter.


Ketua Polis Daerah Sepang DSP Zaldino Zaludin berkata kejadian berlaku kira-kira 10 pagi semasa Konstabel Mohd Urin Subaiton, 27, yang sedang mengikuti kursus motosikal B2 di IPD itu, meminta diri untuk keluar ke tandas. 


Beliau berkata beberapa minit kemudian, beberapa pegawai dan anggota di IPD itu melihat Mohd Urin, yang bertugas di Balai Polis Sungai Buloh, memanjat tangga menara komunikasi setinggi kira-kira 80 meter itu, dan mereka cuba memujuknya supaya turun.

Konstabel yang berasal dari Semporna, Sabah, dan menyertai pasukan polis lebih dua tahun lalu, sebaliknya bertindak menanggalkan kasut serta stokinnya, dan terus terjun, katanya pada persidangan media di IPD di sini.



Zaldino berkata siasatan awal menunjukkan Mohd Urin tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan disiplin atau masalah peribadi, namun dia dipercayai mengalami kemurungan sejak kebelakangan ini.


Beliau berkata allahyarham yang mengalami kecederaan di bahagian kepala serta kaki, meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat. - Bernama

No comments:

Post a Comment