Sunday, 1 July 2012

5 JUTA POUND UNTUK KERETA KLASIK BENTLEY

Kereta klasik Bentley keluaran 1929 ini dilelong melebihi 5 juta pound di Sussex, semalam. - AGENSI


LONDON 30 Jun - Sebuah kereta klasik Bentley dilelong pada harga melebihi 5 juta pound (RM25 juta), rekod jualan lelong tertinggi yang pernah dicatat dalam sejarah Britain.

Kereta Bentley keluaran tahun 1929 itu dijual pada harga 5.04 juta pound (RM25.1 juta) dalam acara lelong pada Festival Goodwood of Speed dekat Sussex semalam, sekali gus mengatasi rekod jualan sebelum ini yang dipegang oleh sebuah kereta klasik Rolls-Royce keluaran tahun 1924 yang dilelong pada harga 3.5 juta pound (RM4.5 juta) pada 2007.

Firma lelong Bonhams, bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pembeli yang membida kereta itu melalui panggilan telefon.

Kereta klasik berwarna merah itu pernah dimiliki dan digunakan dalam perlumbaan oleh pelumba legenda Britian, Sir Henry 'Tiger Tim' Birkin yang mencipta rekod pusingan terpantas di Litar Brooklands Outer pada 1931 dengan kelajuan 220 kilometer sejam.

Birkin meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan pada satu perlumbaan pada 1933 dan kereta miliknya itu kemudian dibeli oleh seorang ahli horologi, George Daneils.

Model Bentley tersebut yang hanya mempunyai satu tempat duduk dan tiada ruang menyimpan barangan, merupakan antara koleksi peminat kereta, Daniels yang dilelong pada festival itu.

Hanya 54 model Bentley sedemikian dikeluarkan. Ia mempunyai daya pecutan 0 hingga 95 kilometer sejam dalam tempoh lapan saat. - AGENSI

No comments:

Post a Comment