Sunday, 10 June 2012

'CAH KETING' KAWAN, PUNCA BN KALAH 2008...???


Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yakin Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO, mempunyai peluang baik untuk merampas kembali Kelantan daripada Pas dengan syarat unsur-unsur 'cah keting' yang selalu menjadi amalan golongan yang kecewa, dibuang sepenuhnya.




Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu, kebanyakan pemimpin UMNO terutama ketua bahagian yang tidak terpilih sebagai calon akan mensabotaj mereka yang menjadi pilihan parti dan akhirnya mengakibatkan kekalahan.


Beliau berkata, pemimpin UMNO tidak boleh mementingkan diri sendiri, sebaliknya perlu memberi pertolongan serta sokongan padu kepada rakan lain yang terpilih sekali pun muka baru.


"Perkara ini sangat penting, saya sebagai veteran UMNO berharap dalam pilihan raya akan datang, orang UMNO sedar diri. Biarlah sesiapa sahaja yang naik pun, jangan kerana kita tidak menjadi calon, maka kita 'cah keting' sedangkan kita sepatutnya memberi sumbangan dan pertolongan.


"Harus diingat dalam proses pilihan raya bukan penyokong UMNO sahaja yang jadi pemilih atau pengundi, tetapi orang lain juga adalah pemilih termasuk penyokong Pas dan golongan atas pagar.


"Jadi (untuk menarik undian mereka) kita kena pilih calon yang boleh menang termasuk muka baru yang layak," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi Sri Nilam Bhd. Ke-38 di sebuah hotel di sini hari ini.


Tengku Ahmad Rithauddeen yang juga Yang Dipertua Koperasi Sri Nilam berkata, penerimaan rakyat Kelantan kepada UMNO kali ini didapati lebih memberangsangkan dan berharap keadaan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan pemilihan calon yang baik.


"Saya rasa calon baru penting, kita memerlukan muka baru, orang yang ada kebolehan, dan ada kepercayaan, orang yang mempunyai rekod bagus dalam membantu dasar kerajaan dan tidak mempunyai sikap pentingkan diri sendiri," katanya.


Dalam perkembangan lain, beliau yang merupakan bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) selama 12 tahun berharap UDA Holdings Bhd. (UDA) lebih berperanan menyediakan ruang niaga untuk peniaga Melayu Islam termasuk membantu mereka memiliki bangunan sendiri terutama di kawasan bandar.


"Badan seperti UDA berperanan besar untuk membantu bumiputera khususnya dalam menyediakan ruang sewa dengan harga berpatutan dan saya harap ia ditingkatkan lagi.


"Kita bukan saja perlu menaikkan bilangan Melayu Islam yang terlibat dalam perniagaan, bahkan membantu lebih ramai Melayu memiliki bangunan sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment