PENUTUP
YAB Dato’ Sri,
Kemarahan rakyat, terutamanya generasi muda ialah kerana UMNO dan para pemimpinnya didapati sudah menyimpang jauh daripada landasan perjuangan asal sehingga amalan rasuah, skandal, boros dan berbelanja mewah menjadi darah daging. Sebagai orang UMNO, saya amat malu mendengar label baru terhadap parti kita iaitu “UMNO itu rasuah dan rasuah itu UMNO” umpama aur dan tebing serta lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan.
Oleh kerana marah yang teramat sangat, ada pula yang mengatakan “mengundi UMNO dan BN serupalah memberi talian hayat untuk pemimpin-pemimpinnya terus merompak kekayaan negara.
UMNO adalah umpama sebuah bantera yang di suatu ketika dahulu banyak berjasa. Nakhoda demi nakhoda dan anak-anak kapal pula ketika itu telah berjaya mengemudikan bahtera tersebut ke destinasi yang dirancang dengan selamat. Malangnya oleh kerana dek telan zaman, bahtera tersebut mulai reput, bocor dan kain layarnya pun mulai koyak dan berlubang-lubang. Anai-anai pula bermaharajalela. Tambah pula nakhoda dan anak-anak kapalnya pula tak ubah seperti cerita “The Pirates of the Carribbean”. Makin hari makin teruk keadaannya, tak ubah seperti warga emas yang menghidap seribu satu macam penyakit yang tidak mampu lagi diubati dan menunggu masa saja untuk ditalkinkan.
Terharu benar rasanya melihat bahtera yang dibina begitu indah dan gagah oleh pejuang-pejuang yang telah pergi sedang melalui proses putaran alam yang serupa. Inilah keadaan UMNO/BN hari ini.
Ada yang berhujah mengapa tidak kita ahli-ahli UMNO membantu menyelamatkan kapal (UMNO) yang hampir tenggelam ini.
YAB Dato’ Sri,
Sebagai contoh, beberapa kali apabila Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk membantu menyelamatkan UMNO, usaha murni beliau itu telah disekat dengan pelbagai cara dan helah; dengan ‘nasihat’ dari Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada pemimpin-pemimpin bahagian UMNO, dengan menabur pelbagai janji dan akhirnya dengan membeli mereka. Akhbar-akhbar pula begitu bermurah hati memberi ruang yang seluas-luasnya menghina beliau dengan kata-kata kesat dan sinis seolah-olah beliau adalah pengkhianat bangsa. Pemimpin UMNO Kelantan pula begitu lantang mengatakan beliau adalah pemimpin ‘has been’, tidak relevan dan berbagai lagi.
Tetapi apabila menghadapi pilihanraya keil Galas, akhbar-akhbar yang sama menyiarkan di muka hadapan puji-pujian pemimpin UMNO khasnya pemimpin-pemimpin UMNO Kelantan yang pernah mengkritik beliau di satu ketika dahulu. Kata mereka, Tengku Razaleigh ialah pemimpin berkaliber yang paling layak mengetuai jentera pilihanraya UMNO/BN di sana sehingga ada pula yang mencadangkan beliau dinamakan sebagai calon. Pendek kata kuli tangan Tengku Razaleigh menjadi haus kerana ciuman ahli-ahli UMNO ketika itu. Begitu melangitnya pujian sehingga beliau sendiri merasa ‘syok’.
Menang saja pilihanraya kecil itu tidak ada sepatah pun ucapan terima kasih kepada beliau dari pemimpin-pemimpi UMNO. Sekali lagi beliau dipinggirkan. Apabila beliau melancarkan AMANAH, Timbalan Perdana Menteri terus mempersoalkan tindakan itu.
Sekarang oleh kerana nak merampas semula Kelantan dari Pas, sekali lagi Tengku Razaleigh akan digunakan. Tiba-tiba saja Perdana Menteri akan memberi penghormatan kepada beliau dengan melawat Gua Musang pada 4hb Mei ini.
Tidak hairanlah jika sekiranya berbagai jenis projek dan bantuan segera akan dihulurkan di sana seperti membaikpulih atau membina sekolah-sekolah, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Bentong dan lain-lain lagi. Sudah ada cakap-cakap sekeping replika cek bernilai RM5 juta akan disampaikan untuk membina semua sebuah masjid. Memang segala bantuan dan projek-projek baik untuk rakyat, hanya mereka mempersoalkan mengapa ketika hampir pilihanraya baru nak diberi. Mengapa tidak dilakukan setahun dua dulu.
Tidak mustahil juga jika sekiranya Perdana Menteri pada pada hari lawatan itu (4hb Mei) akan mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh dipilih semula sebagai calon BN Gua Musang.
Begitu juga nasib Tun Mahathir tidak berapa lama dulu. Walaupun pernah memimpin UMNO dan negara selama lebih 22 tahun, apabila saja tidak berjawatan UMNO tidak pedulikan beliau lagi. Nak jadi wakil Bahagian Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung UMNO pun tak dapat. Yang sedihnya bak kata Tun Mahathir, beliau dikalahkan dengan hanya RM200 saja yang diberi kepada setiap perwakilan, ditambah pula dengan sabotaj dari pemimpin UMNO Pusat, Negeri dan Bahagian. Sekali lagi media cetak dan elektronik tlah digunakan untuk membelasah Tun Mahathir. “Itulah UMNO!!!” kata mereka yang bersimpati dengan beliau.
Nasib yang sama juga pernah dilalui oleh Tan Sri Isa Samad. Dengan komplot yang didalangi oleh beberapa pemimpin UMNO Pusat dan Negeri, beliau akhirnya diaibkan oleh ‘mahkamah’ UMNO; dipecat bukan sahaja sebagai Naib Presiden UMNO bahkan juga sebagai Menteri Kabinet.
Oleh kerana mahukan kemenangan selepas UMNO/BN kalah di beberapa pilihanraya kecil sebelum itu, UMNO TERPAKSA ‘menjilat ludahnya’ sendiri dengan memilih beliau sebagai calon pilihanraya kecil Bagan Pinang. Bayangkan kedudukan beliau kini jika tidak ada pilihanraya kecil itu.
Begitulah juga dengan keadaan arwah ayahanda saya Tun Ghafar. Menunggu selama hampir 3 bulan nak berjumpa seorang Menteri Besar UMNO yang kebetulan pernah bertugas dibawahnya sebelum itu. Selepas gagal, beliau membuat temujanji berjumpa dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di Kota Bharu. Hanya dalam tempoh 2 hari saja mereka dapat bertemu di pejabat Tuan Guru. Bukan itu saja, Tuan Guru menawarkan kereta kerajaan kepada beliau walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan, tambah pula mereka berlainan parti. Itulah beza pemimpin UMNO dengan Pas.
Selepas keluat kabinet tidak ada sesiapa pun pemimpin UMNO yang ambil kisah tentang beliau sama ada kesihatan mahupun masalah kewangannya yang sehingga kini beberapa orang ahli keluarga terpaksa menanggung beban yang ditinggalkan. Itulah hadiah UMNO kepada seorang pahlawan yang pernah disanjung.
Itulah juga sikap (attitude) sebahagian besar ahli-ahli khasnya pemimpin-pemimpin UMNO. Justeru, bagaimanakah UMNO hendak diselamatkan?
Pandangan dan teguran orang-orang lama dipandang sepi malah ada diantaranya dianggap musuh parti. Akibatnya ada yang dipecat dan ada pula yang dinasihatkan keluar parti seperti Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir tanpa mengambil peduli sumbangan mereka yang begitu banyak kepada UMNO. Tidak hairanlah ramai pengasas dan pejuang UMNO sepertu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn (bapa Datuk Hishammuddin) mati di luar UMNO. Malah Tun Mahathir sendiri pernah keluar UMNO.
Sebenarnya UMNO tidak salah, yang salah ialah pemimpin-pemimpinnya.
“Jika UMNO tidak berubah UMNO akan diubah” – itulah kata-kata YAB Dato’ Sri yang juga merupakan doanya di Perhimpunan Agung UMNO tidak lama dulu.
Ramai berpendapat pemimpin-pemimpin hari ini hanya pintar dengan slogan dan retorik. Mereka mula turun padang mendekatkan diri dengan rakyat ketika memerlukan sokongan rakyat sahaja. Rakyat didendangkan dengan janji-janji manis seolah-olah merekalah pejuang rakyat sebenar. Cara mereka memujuk rakyat tak ubah seperti ayah memujuk anaknya dengan memberi gula-gula. Tiba-tiba rakyat diberi saguhati RM500, penuntut diberi RM200 dan RM100.
Tetapi sebahagian besar rakyat masih terus dalam keadaan susah oleh kerana kos sara hidup (cost of living) terus meningkat setiap hari. Kadar jenayah dan rasuah semakin buruk tetapi dalam masa yang sama pemimpin-pemimpin dan juak-juaknya tidak segan-segan merompak khazanah negara. Mereka tidak peduli undang-undang kerana itu semua adalah dibawah cengkaman mereka. Tambahan pula mereka yakin sebahagian besar rakyat terutama orang-orang Melayu khususnya di luar bandar mudah dipengaruhi dengan propaganda yang dipasak bertubi-tubi melalui akhbar dan stesen radio serta tv.
Saya mengaku di zaman Pemuda dahulu, saya juga terlibat dengan jayanya menanam perasaan takut orang-orang Melayu bahawa tanpa UMNO Melayu akan hilang kuasa dan tanpa kuasa masa depan orang-orang Melayu akan gelap-gelita. PAS pula digambarkan sehingga kini parti yang hanya bercakap tentang akhirat semata-mata dan tidak berjuang membangunkan ummah. Sehingga hari ini propaganda kononnya DAP akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu dan Raja-Raja terus dibisik-bisikkan. Tanya mereka, siapakah hari ini yang bertanggungjawab mengenepikan hak-hak istimewa Bumiputera dan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, jika bukan UMNO. Begitu juga bukankah pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri yang memberi lesen kepada rakan kongsinya, MCA acapkali menghina agama suci kita dengan mengatakan pelabur-pelabur akan lari dan rakyat akan menderita jika Pas memerintah negara ini berlandaskan hukum Islam. MasyaAllah! PKR pula digambarkan dengan berbagai skandal seolah-olah pemimpin UMNO/BN adalah “maksum” – tidak tercemar dengan sebarang maksiat dan skandal.
Masa berlalu, zaman pun berubah namun UMNO/BN tetap dengan propaganda yang usang itu. Rakyat kini terutama golongan muda sedar dengan helah itu semua.
Sekiranya kepercayaan dan keyakinan rakyat dapat dikembalikan yang mana sebahagian besarnya adalah melalui apa yang saya sarankan melalui surat ini, saya penuh yakin UMNO dan BN masih mampu mencipta detik gemilangnya.
Sebelum terlupa, ada juga kawan-kawan lama kita berdoa dan berharap agar perbicaraan kes rasuah “Kapal Selam Scorpene” milik negara di Mahkamah Perancis tidak akan membabitkan YAB Dato’ Sri atau mana-mana ahli keluarga. Ia juga diharap tidak ada kaitan dengan kes pembunuhan Altantuya yang masih diperkatakan.
Meskipun surat ini untuk tatapan YAB Dato’ Sri tetapi sekiranya selepas 14 hari daripada surat ini dihantar dan didapati tiada respon daripada YAB Dato’ Sri untuk memulihkan keadaan dan memperbaiki kerosakan dalam negara sebagaimana yang disebutkan diatas, saya merasakan tidak mempunyai pilihan lain selain menyerahkan kepada rakyat untuk menilai dan menghakiminya dengan memberi ruang kepada seramai mungkin rakyat turut sama membaca surat ini.
Dengan rakyat turut sama membaca surat ini setelah ianya tidak mendapat respon daripada pihak YAB Dato’ Sri, saya beranggapan saya sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ahli UMNO dan rakyat Malaysia. Selebihnya saya serahkan kepada rakyat untuk menentukan sama ada mereka mahu terus menyokong kepimpinan YAB Dato’ Sri dan UMNO atau sebaliknya.
Saya tidak akan terperanjat jika sesudah surat ini tersebar luas, ramai ‘hero-hero’ UMNO terutama di kalangan mereka yang sedang menyiapkan diri untuk dipilih atau dipilih semula sebagai calon, akan “menyerang” saya.
Tidak kurang juga “mualaf-mualaf” UMNO/BN iaitu mereka yang baru “bertaubat” setelah memaki hamun UMNO/BN bertahun-tahun lamanya dianugerahkan pangkat dan kemewahan dan masih menunggu lebih banyak lagi “durian runtuh” akan bertindak sebagai “askar upahan” memaki hamun saya pula seperti apa yang mereka lakukan terhadap rakan seperjuangan mereka di suatu ketika dahulu.
Saya yakin ada diantara askar upahan ini akan mendesak pemecatan saya daripada UMNO. Umum tahu askar upahan dan mualaf politik ini tidak lebih seperti “harimau sarkas” yang sentiasa lapar menunggu diberi habuan. Harimau sarkas ini terpaksa disuap kerana mereka tidak pandai mencari makan sendiri. Sekiranya habuan tidak diberi dengan cukup dan memuaskan, mereka juga akan membaham tuannya sendiri. Nasihat saya kepada YAB Dato’ Sri agar berwaspada dengan specis harimau sarkas ini.
Terserahlah kepada YAB Dato’ Sri sama ada mahu menerima tekanan daripada mereka itu tetapi saya membuat keputusan menulis surat ini dan berucap di khalayak ramai adalah kerana saya tidak mahu dituduh seperti “lembu” yang boleh dicucuk hidung.
Ada kawan-kawan mengingatkan tidakkah saya takut tindak balas (reaction) dari pemimpin-pemimpin UMNO terhadap saya dan ahli keluarga. Kata mereka lagi, pemimpin-pemimpin UMNO boleh menyekat rezeki, mengaibkan di muka pengadilan, membankrapkan dan malah dengan kuasa yang diberi oleh rakyat, mereka boleh buat apa saja.
Kepada Allah saya berserah; Dialah Yang Maha Adil lagi Maha Berkuasa. Dari Dia kita datang dan kepada Dialah kita semua akan kembali. Allahu Akbar!!!
Adalah menjadi harapan saya agar YAB Dato’ Sri dapat meluangkan masa membaca dan meneliti surat ini demi survival UMNO dan BN di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Sekian, terima kasih.
TAMRIN TUN ..
Hari ini 12/05/12 baru aku baca artikel bertajuk Surat Terbuka Tamrin… ini. Ini menunjukkan bukan saja aku baru menjenguk dunia politik Malaysia di alam maya ini, tetapi juga di alam nyata. Dan sudah pastinya aku mentah dengan selok belok dan putar belit yang selari dengan dunia politik yang aku anggap kotor selama ini. Jika ada yang mengikuti komen-komen aku sebelum ini, pastinya mereka mengata aku penyokong UMNO /BN. Tetapi sejarah juga mengatakan aku memangkah PR di PRU12 yang lalu. Walau bagaimana pun sekali lagi aku nyatakan di sini bahawa aku menyokong UMNO/BN walaupun sekadar pengundi atas pagar.
ReplyDeleteAku terpanggil membuat komen ini kerana yang sentiasa tersemat di dalam hati aku ialah mencari kebenaran, kebersihan dan ketelusan. Mungkin kata-kataku itu akan terpesong dari niat, jadi aku harap ada yang akan betulkannya, aku hanya seorang manusia yang daif dan mentah. Dan aku cuba sentuh mana-mana pandangan yang Saudara Tamrin utarakan yang aku fikir perlu dan mampu aku ulas saja, mengikut pandangan peribadi aku. Jika ada isu agung yang aku tinggalkan, maafkan aku.
1. Yang pertama dan menarik perhatian aku ialah Memorial Tun Ghafar Baba di Peringgit, Melaka. Jika sudah dijanji, sudah diluluskan peruntukannya, sudah pula diperingat dan dituntut oleh si anak, saya percaya ianya juga perlu ditunai dan dilaksanakan secepat mungkin.
2. Isu NFC.
Mungkin betul apa yang diperkatakan oleh Saudara Tamrin, juga keluhan Datuk Kamilia. Mungkin isu ini perlu ditangani secara serius dan menyeluruh, bukan sekadar menanti perbicaraan di mahkamah. Tidak perlu menunggu keputusan seperti kes DS Anwar yang didapati tidak bersalah kerana keraguan bukti, tetapi arang masih terconteng di muka.
3. Isu harta.
Di sini bukan saja DS Najib dan menteri kabinetnya saja yang harus membuat perishtiharan harta, tetapi setiap calon yang akan bertanding di PRU13 nanti. Tidak perlu menunggu ketika DS Anwar hendak mengangkat sumpah menjadi PM, misalnya, baru hendak dipertikai aset yang dia ada.
4. Pinjaman PTPTN.
Bolehkah hutang dihapuskan begitu mudah? Adakah trend itu yang akan kita amalkan selepas ini? Mungkinkah cukup sekadar memberi pengecualian kepada yang cemerlang akademiknya? Mungkin boleh diturunkan sedikit lagi pencapaian CGPA mereka, atau berikan peratus pengecualian, misalnya 25% yang terbaik diberikan pengecualian. Mungkin juga 50%. Tetapi biarlah berpada-pada agar kesungguhan dan ketekunan pelajar ditahap yang tinggi.
Macam mana nak kurangkan beban pemiutang PTPTN ni? Tunggu cadangan aku, dalam proses.
bersambung...
5. Kebebasan penjawat awam menjalankan tugas.
ReplyDeleteKetelusan dan keberasingan kuasa mana-mana jabatan, agensi, suruhanjaya dan apa juga bentuk organisasi sepatutnya tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak, baik parti pemerintah maupun pembangkang. Saya hairan apabila banyak agensi kerajaan menjalankan kerja-kerja kepartian, dan jentera parti pula berfungsi bagaikan agensi kerajaan. Dan saya hairan juga mengapa banyak PBT yang dikatakan membawa kesusahan kepada rakyat apabila bertukar pemerintah negeri. Kenapa Majlis Fatwa Kebangsaan, Majlis Peguam Malaysia, dan beberapa pertubuhan professional lain dituduh berat sebelah. Yang pastinya semua yang terlibat ini bersalah, tidak matang dan tidak bijak dalam menjalankan tugas. Hentikan semua itu jika jujur dengan niat untuk jadikan negara kita bersih dari segala penyelewangan.
6. Senarai Pengundi.
Aku dah bagi cadangan kat sini kelmarin. Waktu tu nanti kita boleh tengok hantu cakap Indonesia, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja atau Filipina ada ke tak.
http://pilihan-anda.blogspot.com/2012/05/buang-masa-layan-pembangkang-yang-bodoh.html
7. Isu Perkauman.
Tidakkah kita bangga dengan bangsa Melayu, Cina dan India? Salahkan jika kita dari ibubapa yang berbangsa Melayu? Bertambah salahkah jika kita dilahirkan dari ibubapa yang berlainan bangsa? Salahkah setiap bangsa kita punyai keperluan yang berbeza? Salahkah UMNO, MCA dan MIC wujud untuk menjaga kepentingan bangsa masing-masing. Kenapa agaknya Saudara Tamrin persoalkan kepada UMNO tidak mengemukakan calon Cina atau India? Tidakkah beliau sedar selama ini penyokong MCA dan MIC menyokong calon UMNO, begitu juga sebaliknya. Kesemua calon UMNO,MCA dan MIC dan juga lain-lain parti komponen adalah di bawah Barisan Nasional, mendokong satu hasrat. Pakatan Rakyat pula mengibarkan bendera masing-masing, malah ada yang bergaduh untuk merebut kawasan, merebut kerusi EXCO. Malah tidak kelihatan pun sifat hotmat menghormati antara mereka dalam memperkata sesuatu isu, terutama yang berkaitan dengan agama. Jika kita masih tidak puas hati dengan integrasi kaum di Malaysia ini, laksanakan saja sistem persekolahan satu bahasa. Junjung apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan negara kita. Agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Tukar juga nama-nama individu Cina, India, Sikh, Murut, Kadazan dan lain-lain sepertimana yang terjadi di Indonesia dan Thailand.
Mungkin aku silap, mungkin pandangan aku kabur dan mungkin pemikiran aku singkat kerana pengetahuan aku cetek, tetapi hingga ke saat ini aku tidak nampak ada seorang tokoh lain (tolong tunjukkan jika ada) yang aku ingin letakkan kepercayaan untuk memerintah Malaysia selain dari DS Najib. Mungkin banyak sekali kelemahannya, banyak yang perlu diperbaiki, dari segala segi. Mungkin banyak juga salah dan silapnya dalam mentadbir negara, tetapi aku masih mahu menaruh harapan kepadanya. Tetapi tidak bermakna dia boleh membuat sesuka hati, melanggar undang-undang negara, menganiaya rakyat jelata. Jika dia bersalah, berilah dia peluang berubah. Jika dia membuat silap, berilah dia peluang mengubah. Kita sebagai rakyat perlu menyokong dan menolong beliau membentuk negara kita menjadi maju, aman dan makmur. Namun sebagai ingatan kepada beliau, atau siapa saja yang menjadi pemerintah, aku ambil kata-kata lama, ‘Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah’. Begitu juga dengan Perdana Menteri.
sejak kecil lagi saya diajar untuk menyokong perjuangan UMNO, namun bila masuk alam universiti dan didedahkan dengan media yg bersifat berkecuali, maka 1 kesimpulan yang boleh dibuat.... UMNO selalu m'pergunakan agama dan bangsa untuk meraih kejayaan perbdi dan kronisme... Moga pru13 akn berlaku perubhan kerajaan....
ReplyDeleteSetiap parti politik yg ada di Malaysia ni pasti ada baik dan buruknya, tetapi selaku pemilih berdaftar, saya juga berhak utk memilih kerajaan mana yg bagus utk mentadbir Malaysia. Bukan mudah sebenarnya utk mentadbir sebuah negara yang mempunyai berbagai bangsa keturunan dan agama berlainan. Siapa yang tidak mahukan keamanan... mahukah anda hidup dlm negara yg kucar-kacir dan sentiasa berperang sesama rakyat kerana mahu menegakkan kebenaran masing2.???
ReplyDeleteMemang biasa kita lihat terutama dlm kempen PRU, setiap parti politik akan menonjolkan calon2 hebat mereka... dan tuduh menuduh akan berlaku.... Apakah tidak boleh berkempen secara bersih dengan tidak memburuk2kan peribadi calon2 tak kiralah calon kerajaan atau pembangkang.... Kempenlah dgn menonjolkan kebolehan utk mentadbir sebuah ADUN, Parlimen, Negeri atau Negara...
Benar, calon perlu BERSIH....dan boleh diterima oleh masyarakat....
Jangan menuduh UMNO pergunakan agama dan bangsa utk raih kejayaan peribadi dan kronisme.... Apakah PAS, PKR dan DAP tidak begitu...? Apakah mereka akan bebas dari tuduhan itu sekiranya mereka memerintah negara..?? Apakah jaminannya ke arah itu..?? Pembangkang yang ingin berkuasa akan mencari2 kesalahan pemimpin yang memegang kuasa, walau sekecil2 kesalahan pun akan diperbesar2kannya, sementara kesalahan/kekurangan dirinya sering dinafikan....
dan sebenarnya.... semua parti pun sama!!!!!!!!