Saturday, 12 May 2012

PART 2 - SURAT TERBUKA TAMRIN TUN GHAFAR UNTUK YAB PERDANA MENTERI...





Berdasarkan kepada konsep ketelusan dan keterbukaan YAB Dato’ Sri sendiri, saya berpendapat wajar YAB Dato’ Sri membuktikan konsep tersebut dengan bersetuju terhadap permintaan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat dan merungkai keseluruhan kemelut skandal tersebut memandangkan sudah begitu banyak cakap-cakap dan dakwaan dilemparkan berkaitan isu ini.

Bak kata Saudara Aspan Alias dalam blognya Aspan Alias @ blogspot.com, jika isteri Datuk Salleh hanya seorang bidan kampung atau guru sekolah, mungkinkah syarikat mereka begitu mudah mendapat pinjaman sebanyak RM250 juta selama 20 tahun tanpa perlu membayar semula sehingga di tahun kelima. Faedah yang dikenakan pula hanya 2% saja jika dibandingkan dengan pinjaman perumahan dan kenderaan kakitangan awam sebanyak 4%, sehingga ada yang mengatakan secara sinis, nilai lembu lebih tinggi daripada kakitangan awam.

Tidak kurang juga rasa hampa sebahagian besar ahli-ahli perniagaan dan anak-anak muda yang baru melangkah ke dunia perniagaan, mereka amat susah mendapat pinjaman walaupun setakat RM50 ribu sama ada dari bank-bank mahupun dari agensi kerajaan. Berbagai syarat seperti cagaran dan penjamin mesti disediakan. Biasanya mereka terpaksa menunggu berbulan-bulan lamanya hanya untuk mendapat keputusan. Faedah yang dikekakan pula tidak kurang 10%. Tanya mereka, “di manakah keadilan sebenarnya.”

Dalam masa yang sama, Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim sendiri berpendapat isu ini amat menyukarkan Wanita UMNO peringkat akar umbi menjalankan kerja bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

Seperti kata Kamilia, “kami Wanita UMNO dianggap sebagai lembu ke mana-mana kami pergi”. Malangnya atas sebab-sebab perhubungan silam dengan Datuk Seri Shahrizat yang hanya YAB Dato’ Sri sendiri saja tahu telah menyebabkan YAB Dato’ Sri mengambil pendekatan di mana hubungan peribadi mengatasi kepentingan parti.

Hanya dengan penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja yang bebas dan adil saja yang berupaya mengembalikan keyakinan rakyat. Malahan saya percaya selepas Suruhanjaya Diraja ini menjalankan tugasnya dan disusuli dengan tindakan yang bersesuaian oleh pihak berkuasa, tiada sebab lagi untuk rakyat terus meragui UMNO dan kerajaan yang ada sekarang.

2. ISU CINCIN US24 JUTA DAN PERBELANJAAN MEWAH

YAB Dato’ Sri,

Melalui jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz di Parlimen yang mengesahkan kewujudan cincin bernilai US24 juta yang begitu diheboh-hebohkan suatu ketika dahulu. Berbagai kenyataan berhubung isu cincin berlian itu diberikan, menambahkan lagi kesangsian rakyat:-

1. Kenyataan Pertama

Ekoran terpaparnya di kaca-kaca internet borang deklarasi kastam KLIA yang menunjukkan cincin bernilai US24 juta itu adalah kepunyaan isteri YAB Dato’ Sri dan apabila dicabar supaya mengambil tindakan undang-undang, kenyataannya ialah tidak perlu membuang masa.

2. Kenyataan Kedua

Cincin tersebut dibawa masuk ke Malaysia adalah untuk menyertai Pameran Barang-Barang Kemas di Kuala Lumpur.

3. Kenyataan Ketiga

Pengesahan Menteri di Parlimen bahawa cincin tersebut telah dipulangkan kepada Jacob & Co yang berpusat di New York.

Begitu juga dengan dan pembelian pelbagai jenis barangan mewah sebagaimana yang dilaporkan di media yang dikaitkan dengan isteri dan keluarga YAB Dato’ Sri, ia sekaligus menebalkan lagi kesangsian rakyat terhadap kekayaan peribadi YAB Dato’ Sri sekeluarga. Baru-baru ini timbul pula berita YAB Dato’ Sri membelanjakan wang rakyat lebih RM400 ribu untuk jamuan majlis pertunangan anak perempuan dan hampir RM80 ribu untuk sambutan hari jadi YAB Dato’ Sri sendiri.

Sudah timbul cakap-cakap di warung dan kedai kopi bahawa hanya dalam tempoh 3 tahun saja kekayaan keluarga YAB Dato’ Sri telah melebihi kekayaan Imelda Marcos.

Persoalan yang bermain di hati rakyat ialah bagaimanakah kekayaan itu diperolehi. Dalam hal ini YAB Dato’ Sri tidak seharusnya hanya berdiam diri atau sekadar meminta pihak lain membuat penafian tanpa sebarang fakta dan angka. Selain keperluan bersuara sendiri dan mengemukakan bukti untuk menangkis segala dakwaan yang ditimbulkan itu, ada yang menyarankan agar YAB Dato’ Sri berani bersumpah di mana-mana masjid bahawa segala perbelanjaan dan kemewahan yang dimiliki adalah diperolehi secara halal, milik yang sah dan tidak ada satu sen pun hasil dari pengambilan wang rakyat.

Dalam hal ini, saya tidak mahu memberi komen, terserahlah kepada YAB Dato’ Sri sendiri. Tetapi jika ini dapat dilakukan, sudah tentu keyakinan rakyat dapat dipulihkan dan memberi kelebihan untuk YAB Dato’ Sri dalam menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

3. ISYTIHAR HARTA

Sesuai dengan semangat keterbukaan yang menjadi teras kepada mana-mana kerajaan di kebanyakan negara sekarang ini, saya juga ingin mencadangkan agar YAB Dato’ Sri, menteri kabinet dan pegawai tinggi kerajaan mengisytiharkan harta dan kekayaan masing-masing untuk pengetahuan rakyat.

Di Amerika Syarikat, malah di Indonesia pun, calon-calon Presiden dikehendaki mengisytiharkan harta dan kekayaan masing-masing serta keluarga sebelum mereka menawarkan diri menyertai pilihanraya. Sekiranya perkara yang sama dapat dilakukan oleh YAB Dato’ Sri sebelum pilihanraya ini, ia tentunya suatu berita gembira bagi rakyat dan mereka akan dapat menilai sama ada seseorang pemimpin itu terlibat dengan rasuah atau sebaliknya.

Dalam hal ini, saya amat berkeyakinan jika amalan mengisytiharkan harta dan kekayaan oleh anggota kabinet dan pegawai tinggi kerajaan termasuk keluarga mereka untuk pengetahuan rakyat dapat dijadikan teras pentadbiran YAB Dato’ Sri, ia akan mampu melonjakkan sokongan rakyat dalam menghadapi pilihanraya umum ini serta boleh dijadikan garis panduan bagi pemimpin akan datang sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri.

4. SEMANGAT MELAYU DAN DASAR EKONOMI

Kebimbangan utama orang Melayu dan rakyat beragama Islam terhadap UMNO sekarang ialah perjuangannya yang dilihat semakin menipis terhadap kepentingan Melayu, Islam dan seperti sudah melupakan semangat Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dahulu. Melalui dasar 1Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato’ Sri, rata-rata berpendapat bahawa ia tidak seharusnya terlalu dikompromikan terutamanya dalam pengagihan kek ekonomi, pemberian biasiswa, perlaksanaan kouta Bumiputera dan sebagainya.

Sejak DEB diperkenalkan pada sekitar tahun 1970-an oleh Tun Abdul Razak, BN terus mendapat sokongan kuat daripada rakyat dalam pilihanraya demi pilihanraya sehinggalah tahun 2004. Walaupun Tun Razak tidak mempunyai slogan seperti 1Malaysia tetapi rakyat berbilang kaum hidup berharmoni dan hormat menghormati antara satu sama lain. Hak-hak istimewa orang Melayu seperti kouta dalam perniagaan dan biasiswa tidak terjejas, di samping hak rakyat asing yang lain terus berkembang dengan pesat. Agama rasmi negara iaitu Islam tidak dihina dan dimomok seperti yang dilakukan sekarang oleh rakan kongsi BN sendiri iaitu MCA.

Ramai yang berpendapat Allahyarham Tun Razak, ayahanda YAB Dato’ Sri telah memberi harapan kepada rakyat khususnya orang-orang Melayu tetapi harapan itu dihancurkan oleh anaknya sendiri iaitu YAB Dato’ Sri sendiri. Kata Datuk Ariff Sabri dalam blognya Sakmongkol AK47, NAJIB BUKAN TUN RAZAK… ini membawa makna yang amat jauh dan dalam.

Hanya pada tahun 2008 BN kehilangan 4 negeri selain Kelantan dan juga hilang majoriti 2/3. Ini berlaku kerana seperti kata Tun Mahathir, pimpinan BN pada ketika itu amat lemah dan lalai, ditambah pula wujudnya sikap rakus “budak-budak tingkat 4”.

Malangnya, sejak setahun dua ini rata-rata rakyat, termasuk ahli-ahli UMNO dan BN sendiri mengkritik kepimpinan hari ini yang disifatkan lebih teruk dari yang baru lepas. Ini tidak termasuk perbincangan hangat orang ramai mengenai perilaku isteri YAB Dato’ Sri sendiri yang dikatakan lebih teruk dari “budak-budak tingkat 4”. Pendek kata, rakyat rata-rata mengikuti perkembangan semasa.

Isu terbaru yang diperkatakan kebelakangan ini ialah bagaimana Tabung Haji boleh menjual ladang kelapa sawitnya di Indonesia seluas 83,000 hektar dengan anggaran pendapatan RM3 juta sehari kepada sebuah syarikat bukan Melayu. Perkara ini perlu dijelaskan terutama siapakah yang memberi kelulusan penjualan itu kerana jika benar, ia merupakan pengkhianatan kepada orang-orang Melayu khususnya pencarum-pencarum Tabung Haji.

Saya penuh yakin bahawa kedudukan Melayu dan Bumiputera di negara ini telah difahami oleh semua pihak dan tidak akan menimbulkan apa-apa masalah jika ia diuruskan dengan ketegasan serta kebijaksanaan.

Dalam hal ini, YAB Dato’ Sri bukan saja harus kembali kepada jati diri sebagai orang Melayu dan penganut Islam tetapi sebagai Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri juga tidak harus lupa Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang menuntut antara perjuangan UMNO ialah berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

BERSAMBUNG KE PART 3................

No comments:

Post a Comment