Sunday, 27 May 2012

SIAPA ARTIS TABUR JANJI PASLU DI IPOH..???



“Pekerja dijanjikan habuan lumayan seperti sebuah banglo atau kereta bernilai bawah RM100,000 jika berjaya menunjukkan prestasi cemerlang ketika bekerja,” kata Ahmad, 35, yang mendakwa ditipu seorang artis tanah air apabila tidak dibayar gaji dan imbuhan lebih RM10,000.

Berpengalaman lebih lima tahun dalam pengurusan acara, Ahmad berkata, dia antara 10 mangsa pelakon lelaki berkenaan yang membintangi sebuah siri drama komedi popular di stesen televisyen tempatan.

Menurutnya, sejak bekerja dengan artis itu Disember tahun lalu, dia kerap ditipu dengan pelbagai janji palsu, namun sikap profesional terhadap kerja membuatkan dia masih bersabar walaupun gaji dijanjikan belum dibayar sehingga kini.

“Kalau diikutkan, saya bekerja dengan syarikat milik artis itu untuk menjayakan satu festival di Taiping, awal Mac lalu. Namun, beberapa hari sebelum program bermula, saya diberhentikan kerja tanpa alasan munasabah.

“Sepatutnya artis itu atau wakil syarikat berbincang dengan saya terlebih dulu dan menyelesaikan beberapa perkara dijanjikan seperti keuntungan yang hendak diagihkan, termasuk gaji melebihi RM10,000,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, program itu ternyata indah khabar daripada rupa apabila artis berkenaan yang bertindak sebagai pengarah teknikal gagal melaksanakan tugas dengan berkesan.

“Dia yang dibantu seorang lagi artis komedi popular tanah air turut mendakwa program berkenaan mendapat tajaan ratusan ribu ringgit selain sokongan dan kerjasama sebuah kementerian dengan majlis pelancaran disempurnakan wakil kerajaan negeri.

“Selain tidak membayar gaji pekerja, beberapa program dijanjikan seperti konsert membabitkan artis terkemuka tanah air juga tidak ditunaikan,” katanya.

Dia mendakwa, beberapa program lain yang diadakan sempena festival itu seperti pertandingan memancing turut berdepan masalah apabila penganjur langsung tidak menyerahkan hadiah kepada pemenang.

Lebih memburukkan keadaan, seorang rakannya yang membekalkan makanan secara katering untuk program itu turut menjadi mangsa apabila terpaksa melunaskan sendiri kos keseluruhan bernilai RM56,000.

Menurut Ahmad, dia membuat aduan kepada Pejabat Tenaga Kerja Perak dan agensi itu akan membuat susulan dengan artis berkenaan dalam masa terdekat.

Katanya, sebelum ini Pejabat Tenaga Kerja Perak memanggil artis terbabit untuk memberi keterangan, namun difahamkan dia gagal hadir.

“Saya harap kes ini mendapat pertimbangan sewajarnya kerana saya tidak mahu perkara sama berulang kepada orang lain. Ada antara mereka baru merasai suasana bekerja dan sudah tentu mereka mahu merasa wang gaji daripada hasil titik peluh sendiri.

“Saya juga terkilan dengan sikap artis itu yang langsung tidak menjawab apabila dihubungi menerusi telefon bimbit. Kemudian seorang daripada kami bertemunya tapi dia buat tidak tahu, seolah-olah tiada apa berlaku,” katanya.

Dia berharap mangsa lain tampil mengemukakan bukti membabitkan penyelewengan artis itu. Selain mengemukakan masalah kepada Pejabat Tenaga Kerja Perak, dia mempertimbangkan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang jika perkara itu tidak diselesaikan.

“Saya tidak kisah sangat soal wang... cuma bimbang jika perkara ini tidak dipandang serius, ia akan berlaku kepada orang lain pula pada masa akan datang.

“Sepatutnya sebagai majikan serta menjaga reputasi sebagai artis, dia harus mencari jalan penyelesaian sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, seorang kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Maulad, 20, ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka pengalaman pertama menempuhi alam pekerjaan menjadi igauan buatnya apabila tidak dibayar gaji.

“Ini kali pertama saya bekerja... apabila ditanya soal gaji, semua senyap, seolah-olah tiada apa berlaku. Saya masih memegang kunci pejabat, namun selepas membuat tinjauan di situ, semua barang dan dokumen penting milik syarikat dipindahkan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment