Saturday, 21 April 2012

RAKYAT ASING TIDAK LAYAK UNDI



JPN nafi dakwaan Facebook pemastautin sementara dapat MyKad biru -
SHAH ALAM: Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan khabar angin bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengeluarkan kad pengenalan pemastautin sementara berwarna biru kepada warga asing bagi melayakkan mereka mengundi.
Isu yang menjadi perbualan hangat di laman sosial Facebook itu turut mendakwa kad pengenalan berkenaan tertera kod berlambang segi tiga berwarna hijau, selain pemiliknya diberi tempoh tertentu untuk memperbaharui kad pengenalan mereka.
Kad pengenalan pemastautin sementara berwarna hijau dan pada kad itu ada empat segi tiga berwarna hijau bagi membezakan ia lain daripada kad pengenalan warga negara. Kad pengenalan ini dikeluarkan berkait peraturan 5 (3) (C) (2) JPN. – Jainisiah Mohd Noor, Pegawai Perhubungan Awam JPN
Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisiah Mohd Noor, berkata gambar disiarkan di Facebook terbabit adalah palsu kerana kad pengenalan pemastautin sementara berwarna hijau.
“Kad pengenalan pemastautin sementara berwarna hijau dan pada kad itu ada empat segi tiga berwarna hijau bagi membezakan ia lain daripada kad pengenalan warga negara. Kad pengenalan ini dikeluarkan berkait peraturan 5 (3) (C) (2) JPN,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jainisiah berkata, tindakan itu dipercayai didalangi pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyebar dan mempengaruhi orang ramai.
Seorang lelaki, Rahman Salim, 40, yang membaca laporan terbabit dalam sebuah laman Facebook, berkata pihak berkuasa perlu segera memberi penjelasan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan orang ramai.
“FB ini dengan jelas menunjukkan kad pengenalan yang berwarna biru, tetapi tertera di bawah nama pemiliknya dengan status sebagai pemastautin tetap. Saya bimbang jika orang ramai terpengaruh dengan dakwaan palsu ini,” katanya.
Sementara itu, tinjauan dalam laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati dakwaan yang dihebahkan dalam Facebook tidak benar kerana SPR tidak pernah menukar warna kad pengenalan pemastautin sementara.
Carian dan semakan nombor kad pengenalan pemastautin sementara yang tertera dalam Facebook itu juga menunjukkan pemiliknya bukan seorang pengundi dan rekodnya tiada di dalam daftar pemilih.
- BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment