Tuesday, 10 April 2012

DAULAT TUANKU : PERTABALAN SPB YANG DIPERTUAN AGONG MALAYSIA KE 14


Upacara Pertabalan Yang Di Pertuan Agong baru ke 14 Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Sultan Kedah) telah berlangsung pagi ini (13 Disember).



Sultan Abdul Halim 84 tahun, diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah.

Baginda menaiki takhta pada 14 Julai, 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah.

Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an.






Tuanku Halim mempunyai tiga orang anak dari perkahwinan baginda  dengan Sultanah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman – kembar Tunku Soraya dan Datuk Seri DiRaja Tunku Sarina, 51, dan Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz, 45.

Tunku Sarina mangkat pada tahun 1991 manakala Sultanah Bahiyah mangkat pada tahun 2003 pada usia 73 tahun.   Tuanku Halim berkahwin dengan Sultanah Haminah Hamidun pada bulan Disember 1975 dan diisytiharkan sebagai Sultanah pada bulan Januari 2004.



Pertama kali dalam sejarah, Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14 ini ditabalkan  buat kali kedua selepas menjadi Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-5 pada tahun 1970-1975 semasa berusia 43 tahun.





Baginda menyatakan kegembiraan kerana telah berkhidmat pada tahun  70-an apabila Tun Abdul Razak menjadi  perdana menteri dan kini baginda  kembali bertakhta untuk kali kedua semasa anak Tun Abdul Razak, Datuk Seri Najib  pula menjadi  perdanan menteri.

Dengan pertabalan Yang Di Pertuan Agong baru ke 14 ini, maka Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah akan memegang tampuk pemerintahan Malaysia bagi tempoh 5 tahun manakala Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.






Upacara bermula pada 11.15 pagi dengan Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-227 (Khas) sempena Istiadat Melafaz Sumpah Memegang Jawatan dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan oleh baginda di Balairong Seri.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.





Istiadat hari ini merupakan istiadat seumpamanya yang pertama kali diadakan di Istana Negara yang baru dibina bercirikan binaan Islam dan tradisional Melayu di kawasan seluas 96.52 hektar, yang mula beroperasi pada 15 November  lepas.




Kompleks Istana Negara yang baru ini terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. Secara rasminya, istana baru ini digunakan pada 15 November 2011 bagi menggantikan Istana Negara di Jalan Istana sebagai tempat bersemayam kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Istana ini telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011.




Istana ini menelan belanja sebanyak RM812 juta dengan Maya Maju Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama yang dilantik dengan kontrak bernilai RM650 juta, manakala pembinaan lebuh raya bertingkat menuju ke gerbang masuk istana pula dilakukan oleh Ahmad Zaki Sdn. Bhd. pada nilai RM130 juta.











DAULAT  TUANKU

dipetik dari http://www.dapursinar.com/ (Terima Kasih)

No comments:

Post a Comment