Wednesday, 4 April 2012

APABILA SENJATA API BOLEH DIMILIKI SEMUDAH MEMBELI GULA-GULA DI KEDAI RUNCIT..!!!


AMUK : 7 MAUT DI KOLEJ AGAMA



Tujuh terbunuh dan tiga cedera apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan rambang di sebuah kolej keagamaan swasta berhampiran San Francisco, semalam.

Suspek, seorang penduduk tempatan warga Korea menyerah diri sejurus selepas serangan itu.

Menurut saksi, lelaki terbabit berdiri dalam sebuah kelas di Universiti Oikos di Oakland Timur sebelum menembak dada seorang mangsa dari jarak dekat.

Katanya, penyerang terbabit kemudian melepaskan tembakan rambang pula di kelas berkenaan.

Digambarkan sebagai “gila,” suspek terbabit kemudian menembak lagi di sekitar kolej berkenaan.

“Mangsa ditemui di beberapa lokasi apabila pihak berkuasa tiba sejurus selepas dimaklumkan melalui banyak panggilan telefon kecemasan 911,” katanya.

Sementara itu, polis belum mendedahkan jenis senjata api yang digunakan, atau berapa banyak senjata ada pada suspek.

Kira-kira 35 orang berada di dalam atau berhampiran bangunan kolej itu ketika kejadian.

Sumber berkata, 10 orang terkena tembakan dan lima daripadanya mati di tempat kejadian, manakala dua lagi di hospital. Orang ramai pula terpaksa berlindung dalam kelas atau pejabat.

Ketua Polis Oakland, Howard Jordan, berkata suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta selepas insiden itu, tetapi berjaya ditahan berhampiran pasar raya Safeway di kawasan Alameda.

“Suspek yang dipercayai penduduk Oakland menyerah diri kepada polis,” katanya.

Menurut Jordan, suspek dikatakan pernah belajar di kolej berkenaan dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah. “Dia dikenali sebagai One Goh dan berusia 43 tahun,” katanya.

Agensi berita Korea Selatan, Yonhap, melaporkan lelaki terbabit bernama Ko Won-Il dan memiliki kerakyatan AS. Laman sesawang Universiti Oikos mendakwa, mereka menawarkan pendidikan mengikut standard tertinggi dengan nilai Kristian.

“Universiti Oikos mempunyai matlamat dan misi khusus untuk menawarkan program dalam bidang kajian keagamaan, muzik dan kejururawatan,” katanya. Saksi, Lisa Resler, berkata dia sedang meninggalkan Safeway apabila melihat seorang lelaki Asia memakai topi ditahan anggota keselamatan pasar raya itu.

“Dia kelihatan keliru ketika digari,” katanya. Angie Johnson, 52, berkata seorang gadis meninggalkan bangunan itu dengan kesan darah di tangannya sambil menjerit mendakwa ditembak.

- AFP

No comments:

Post a Comment