Sunday, 26 February 2012

MENCORAK DESTINI ANAK BANGSA

IKUTI WAWANCARA MINGGUAN MALAYSIA BERSAMA PROF. DATUK DR. SAHOL HAMID ABU BAKAR

MINGGUAN: Apa matlamat Datuk melalui projek Mencorak Destini Anak Bangsa?

SAHOL: Matlamat sebenar saya melalui program ini adalah untuk membawa balik UiTM kembali ke haluan asalnya. Asal usul universiti ini yang ditubuhkan atas usaha para pemimpin UMNO selepas Kongres Ekonomi Bumiputera, bertujuan membela orang Melayu yang jauh ketinggalan. Salah satu caranya adalah mewujudkan sebuah institusi pendidikan untuk membantu mereka.

Begitu sejarah UiTM dan pada peringkat awal golongan muda dari kampung memasuki institusi ini yang kebanyakan mereka mempunyai latar belakang pendidikan sekolah yang biasa-biasa sahaja. Ini tujuan asalnya iaitu memberi peluang pelajar yang tercicir di kampung-kampung dengan latar belakang ekonomi yang daif dan miskin. Apabila institusi ini semakin berkembang dan dinaik taraf menjadi sebuah universiti, kita lihat universiti ini semakin hilang arah tuju dan terlalu bertumpu kepada keputusan peperiksaan yang baik serta berasaskan merit.

MINGGUAN :  Bagaimana masalah ini boleh timbul sekarang?

SAHOL: Sebenarnya kita tidak boleh lupa jasa kerajaan yang telah membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat melalui penubuhan pelbagai institusi pendidikan sama ada di peringkat sekolah seperti MRSM dan sekolah berasrama penuh hinggalah universiti seperti UiTM. Masalah mula timbul di sini apabila pelajar-pelajar yang mendapat peluang belajar yang lebih selesa di sekolah ini turut sama bersaing untuk memasuki UiTM. Ini membuatkan universiti ini terpaksa mengetatkan syarat kemasukan pelajar sehingga mengakibatkan pelajar di luar bandar semakin terhad tempatnya di UiTM. Ini mengakibatkan pelajar di kampung tidak berpeluang menyambung pelajaran, tercicir dan sebagainya. Bukan kerana tidak pandai. Ini kerana persaingan sengit dan peluang untuk pendidikan yang lebih baik adalah terhad.

Berbeza dengan pelajar di bandar yang boleh pergi tuisyen, suasana belajar yang selesa dan kondusif serta pelbagai lagi. Keadaan sebegini yang membuatkan pelajar di kampung jauh ketinggalan.

Maka apabila saya kembali ke UiTM maka antara perkara pertama yang saya mahu lakukan adalah menjadi seperti peringkat awal penubuhannya.

Saya juga pelajar kampung yang diberi peluang melanjutkan pelajaran di UiTM sehingga berjaya mencapai tahap sekarang. Katalah jika saya tidak diberi peluang itu, entah sekarang jadi apa, saya pun tak tahu. Mungkin berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja tetapi kemudian menjadi mat rempit dan sebagainya.

MINGGUAN  :  Apakah ini bermaksud masalah yang berlaku dahulu masih terus berlaku sekarang?

SAHOL: Kita tidak boleh nafikan orang Melayu semakin berjaya dan berkembang di negara ini. Namun hakikatnya taraf ekonomi orang bandar dan kampung masih tidak berubah.

Saya berani katakan bahawa orang kaya menjadi lebih kaya dan orang miskin sebaliknya. Keadaan ini yang berlaku di bandar kerana orang bandar menjadi semakin kaya berbeza dengan orang kampung yang tetap di takuk lama.

Saya sedih kerana terdapat orang yang sudah berjaya ini kemudian mempersoalkan kewujudan UiTM dan meminta kemasukan pelajar dibuka kepada semua kaum. Bila saya dengar orang Melayu sendiri cakap begitu saya rasa sangat marah. Kalau bangsa lain yang cakap mungkin saya boleh terima lagi tapi apabila bangsa sendiri yang menidakkan sumbangan UiTM kepada bangsanya, itu adalah melampau. Saya tidak faham kenapa orang Melayu jadi begini, mungkin kerana mereka sudah berpelajaran tinggi atau sudah lupa sejarah. Bagi mereka, mungkin ia bukan keperluan tetapi bagi orang kampung yang hidup susah, mereka tahu bahawa UiTM boleh membantu mereka keluar daripada kemiskinan dan membantu hidup lebih baik.

MINGGUAN  :  Bagaimana perancangan Datuk untuk menjayakan program ini?

SAHOL: Sebenarnya projek ini telah bermula pada 2010. Sebelum ini kita terima pelajar pintar berdasarkan merit sebagai contoh untuk belajar bidang seni bina, perlu ada sekurang-kurangnya 8A. Pelajar cemerlang ini akan tetap memasuki UiTM berdasarkan merit.

Pada masa sama, saya buat satu program untuk pelajar yang hanya mendapat kelulusan sekadar tiga kredit juga dipelawa masuk ke UiTM. Memandangkan mereka ini tidak layak mendapat bantuan PTPTN, kita cari dana untuk menampung perbelanjaan mereka. Saya tubuhkan Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa – ia hasil kutipan dan potongan gaji pensyarah, alumni UiTM, zakat dan sumbangan Syarikat Milik Kerajaan (GLC).

Apabila idea ini saya kemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau mengarahkan saya supaya menjayakan program ini. Malah beliau berjanji akan memberi bantuan seringgit untuk setiap ringgit yang saya kutip. Setakat ini pihak kami berjaya mengumpul dana sebanyak RM20 juta dan Perdana Menteri setuju menambah RM20 juta lagi. Melalui dana ini, saya gunakan untuk membantu pelajar miskin ini yang kini jumlahnya seramai 11,500 orang telah terpilih dari seluruh negara.

MINGGUAN  :  Bagaimana pula dengan proses pengambilan pelajar ini?

SAHOL: Istimewanya program ini, pelajar tidak perlu mengisi borang termasuklah melalui Internet. Sebaliknya, kami sendiri yang mencari mereka di setiap ceruk kampung. Kami redah bersama dengan pensyarah dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang kami tubuhkan, Gerakan Destini Anak Bangsa.

Saya sendiri turut sama turun padang mencari pelajar-pelajar ini. Sekali keluar sebanyak 30 buah kereta akan turut serta meredah kampung-kampung yang disasarkan. Kami akan cari pelajar yang sesuai, minta kad pengenalan dan lihat sijil peperiksaan mereka. Jika sesuai kami akan terus keluarkan surat tawaran serta-merta kepada mereka.

Namun mereka ini tidak dimasukkan terus ke program diploma UiTM. Kami tempatkan mereka di kampus-kampus untuk mengikuti program khas selama lima bulan. Program ini bertujuan meningkatkan kualiti pembelajaran mereka supaya mereka lebih bersedia apabila memasuki kampus sebenar nanti. Alhamdulillah setakat ini daripada 11,500 pelajar, sebanyak 82 peratus berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di UiTM.

MINGGUAN  :  Mampukah program sebegini diteruskan pada masa-masa hadapan?

SAHOL: Program sebegini merupakan satu usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) UiTM untuk anak bangsa. Sekurang-kurangnya kami memberi peluang kedua kepada mereka untuk berjaya dan memperbaiki taraf hidup.

Paling penting mereka ini kami berjaya selamatkan daripada masalah sosial seperti gejala rempit, penyalahgunaan dadah dan pelbagai lagi. Lebih membanggakan para pelajar yang dibawa masuk ini menunjukkan prestasi dan keputusan peperiksaan yang memberangsangkan.

Bagi saya, projek ini haruslah diteruskan pada masa-masa hadapan selagi terdapat mereka yang terpinggir untuk dibantu dan diberi harapan.

Buat masa sekarang, saya sangat berharap supaya ahli-ahli politik UMNO terutama mereka di peringkat bahagian dapat membantu kami mencari pelajar-pelajar yang memerlukan bantuan ini. Saya minta mereka hanya membantu mengenal pasti pelajar yang patut dibantu memasuki program ini manakala segala bantuan lain akan kami berikan. Matlamat kami hanya satu iaitu mahu menyelamatkan mereka daripada terperangkap dengan hidup yang tidak ada masa depan.

***Prof. Datuk Dr. Sahol Hamid Abu Bakar adalah Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak 2010.

No comments:

Post a Comment