Thursday, 16 February 2012

BN LULUSKAN 3 ANGGOTA GABUNGAN YANG BARU.....

Gabungan Wawasan Generasi Felda antara tiga pertubuhan diluluskan menjadi anggota bergabung Barisan Nasional (BN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.








Najib, yang juga pengerusi BN berkata, dua lagi pertubuhan yang diluluskan ialah Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.








Tiga pertubuhan itu merupakan antara 11 permohonan yang diterima oleh BN untuk menyertai gagasan itu sebagai anggota bergabung, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam semalam.




Najib berkata, permohonan lapan lagi pertubuhan sedang diproses dan ditapis Jawatankuasa Pengurusan BN.


Beliau berkata, mesyuarat malam semalam turut dimaklumkan bahawa program latihan dan penerangan yang disusun atur telah berjalan lancar, serta lawatan yang dibuat oleh beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mendapat sambutan sangat menggalakkan di peringkat negeri-negeri.


Begitu juga dengan tinjauan mesra yang dilakukan di beberapa negeri, kata Perdana Menteri.


Mengenai Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan, Pahang pada 26 Februari ini, Najib berkata, setiap pihak mempunyai hak untuk berhimpun mengikut Akta Perhimpunan Aman.


"Buat apa nak atasi (perhimpunan ini), masing-masing ada hak untuk berhimpun di bawah Akta Perhimpunan Aman, jadi berhimpunlah atas undang-undang yang sedia ada.


"Buat apa kita nak bertindak, kita ada program kita sendiri, kita punya perhimpunan pun lagi ramai, lagi besar. (Biarlah) dia buat hal dia, kita buat hal kita,” katanya.


Mengulas laporan bahawa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah menyatakan hasratnya untuk tidak meletak jawatan, Najib berkata: “Tidak, belum dibincangkan lagi. Ia adalah hak mutlak Perdana Menteri”. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment