Monday, 23 January 2012

TELUSKAH GUAN ENG..???


 Ketua Menteri, Lim Guan Eng didesak menjelaskan kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar isu tanah Tan Hak Ju setelah Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 11 Januari lalu mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi.


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan yang dibuat itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak terbabit dengan sebarang skandal rasuah.


Menurutnya, Guan Eng sepatutnya berterima kasih kepada BN kerana keputusan Mahkamah Rayuan itu memihak kepada kerajaan.


Katanya, sebagai sebuah kerajaan yang telus, Guan Eng hendaklah membuat kenyataan dan menceritakan perkara yang sebenarnya kepada rakyat agar rakyat mengetahuinya.


"Guan Eng juga perlu membayar RM500,000 dan dia kena bertanggungjawab untuk membersihkan nama kerajaan BN terdahulu yang dituduhnya mengamalkan rasuah," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan pelajar cemerlang di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (SMKTBM) di sini hari ini.


Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN negeri, Datuk Dr. Teng Hock Nan mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang menarik balik perkataan penipuan dan skandal berkaitan isu tanah itu seperti yang dikeluarkan dalam Kertas Putih di Dewan Undangan Negeri (DUN).


Hock Nan berkata, Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 11 Januari lalu telah mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi agar kerajaan membayar RM40 juta kepada Hak Ju.


Sebaliknya, kerajaan hanya perlu membayar RM500,000 sahaja kepada Hak Ju sebagai bayaran kos yang ditanggung sepanjang perbicaraan kes itu.


Sehubungan itu, Musa yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam berkata, Guan Eng jangan bermain politik semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.


"Inilah kerja kerajaan DAP yang hanya suka memutar belit isu dan mencari kesalahan dengan memburuk-burukkan kerajaan terdahulu," katanya.

No comments:

Post a Comment