Thursday, 5 January 2012

MISTERI ETNIK - PART III

LAUT IBARAT NYAWA MASYARAKAT PORTUGIS

SEJAK DULU.... 



Bot nelayan perkampungan Portugis

Medan selera tarikan utama pelawat

Masyarakat Portugis tidak dapat dipisahkan dengan hasil laut. Sejak sekian lama, kebanyakan mereka mencari rezeki sebagai nelayan. Sehingga kini, jika Kampung Portugis dikunjungi, masih ramai penduduk ke laut setiap pagi. Ada yang tertumpu di pinggir pantai mengutip hasil ternakan dan ada yang seharian di tengah laut menangkap ikan.

Bagi yang menternak hidupan laut seperti kerang dan tiram, operasi lebih banyak tertumpu di pantai dan sesekali ke laut untuk mencari benih ternakan. Kelangsungan cara hidup ini sejak dulu menjadi rutin, meskipun kampung mereka sudah dikelilingi Bandar Raya.

Menambahkan kebergantungan kepada hasil laut apabila Medan Selera Kampung Portugis dibuka. Medah selera yang menghidangkan makanan laut dikunjungi setiap hari terutama hujung minggu. Ia sekaligus memotivasikan nelayan untuk terus ke laut kerana tangkapan pasti ada pembelinya. Medan selera itu pula terkenal di Melaka kerana menyediakan menu enak dan paling utama, makanan yang segar.


belangkas




Pelbagai hasil laut segar dijual di Kampung Portugis
Ada yang menggandakan rezeki dengan menjual hasil laut terus kepada pengunjung medan selera. Di kaunter pertama medan selera, tersusun rapi pelbagai kerang, siput, tiram dan belangkas dengan saiz yang luar biasa sebagai tarikan pelancong. Paling menarik, ia baru ditangkap. Pasti segar dan enak rasanya! 

Namun, kini sudah ramai yang menceburi bidang profesional dan bekerja dengan kerajaan. Tidak kurang yang membuka perniagaan sendiri dalam bidang hartanah dan pembinaan. Perunding hartanah, Joseph Santa Maria, 49, berkata selepas 10 tahun Kampung Portugis dibentuk, konsep ekonomi masyarakat itu banyak perubahan. Paling ketara sejak 25 tahun dulu apabila restoran pertama dibuka oleh Michael Theseira, sekaligus pencetus kepada transformasi ekonomi.

“Tanpa bantuan, dia buka satu gerai kecil. Ramai orang datang sampai kereta terpaksa beratur panjang. Ada yang sanggup tunggu giliran untuk makan kerana masakannya menggunakan hasil laut segar. Selepas melihat dia berjaya, ramai mengambil langkah buka restoran, antaranya San Pedro.

Dalam dua tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM2 juta untuk membina medan selera di tepi laut dan ia nyata menambah impak terhadap transformasi kerana semakin ramai minat berniaga, sekaligus meningkatkan kualiti hidup dan ekonomi masyarakat kami.

Jumlah pelancong juga semakin meningkat. Ramai gemar ke Kampung Portugis kerana ada budaya asal dari Portugal seperti tarian yang menjadi tarikan,” katanya.

Menurutnya, mungkin sudah menjadi cara hidup orang Portugis yang rajin dan tekun bekerja. Justeru, mereka yang bermodal dan kreatif menjual sendiri hasil tangkapan laut kepada pelanggan atau mencari jalan lain untuk menambah pendapatan.


Medan selera menyediakan menu lazat untuk pelbagai kaum
Ketika penulis mengunjungi restoran San Pedro yang dikendalikan Papa Joe, beberapa pelancong sedang menjamu selera. Tepat jam 8 malam, persembahan tarian Portugis disajikan enam remaja. Ia menambahkan kemeriahan di restoran itu. Nyata pengunjung begitu gembira ditambah kemampuan Papa Joe bermain gitar mengiringi tarian itu. Sukar dibayangkan semua itu berlaku dalam kampong yang sarat dengan aktiviti budaya dan ekonomi.

Pembukaan syarikat NS Electronic pertengahan 1960-an turut menjadi punca transformasi kerjaya. Ramai anak Portugis ditawarkan kerja sebagai operator kilang, pegawai serta penyelia. Ia membuka mata orang Portugis untuk beralih ke sektor lain.

“Ramai juga anak Portugis membuka kilang sendiri. Kami lihat betapa susahnya generasi sebelum ini terpaksa membanting tulang ke laut. Peluang untuk menceburi bidang lain terutama dalam perkilangan membuka mata masyarakat ini untuk berubah.

Ramai mula nampak pentingnya pendidikan. Dulu, orang Portugis lemah belajar. Paling tinggi sampai Tingkatan Tiga. Kini nyata berbeza, pendidikan berjaya mengubah taraf hidup orang Portugis,” kata Joseph.

Namun, tidak boleh dinafikan, laut tetap sinonim dalam masyarakat Portugis seperti padi dengan orang Melayu. Meskipun pelbagai peluang kerjaya terhidang terutama ketika Melaka bergelar Bandar Raya Bersejarah, ke laut tetap menjadi kerja nombor satu. Malah, masyarakat itu ada perayaan khusus untuk nelayan dikenali sebagai San Pedro yang menunjukkan kecintaan mereka terhadap laut dan kerja sebagai nelayan.

Walaupun ramai bekerja kilang atau mempunyai kilang sendiri, mereka masih ke laut selepas bekerja. Usaha di laut seperti melanggai dan menangkap ikan sebagai kerja separuh masa tetapi ada kalanya mendapat pulangan lebih kerana harga ikan yang mahal.

Bagi mereka yang berjaya dan mempunyai kilang besar pula, kebanyakannya memiliki bot sendiri, sekadar untuk memenuhi keinginan ke laut menangkap ikan.

Nelayan mencari udang geragau untuk dibuat belacan

Semakin ramai penduduk Kampung Portugis menternak hasil laut di pesisir pantai

“Paling meriah ketika musim geragau. Hampir semua penduduk ke pantai dan penuh halaman rumah dengan geragau dijemur. Ia untuk dibuat belacan dan kebanyakan rumah menghasilkan stok belacan setahun dan ada yang menjualnya. Belacan terbaik adalah di Melaka tetapi belacan Portugis terbaik di Melaka,” katanya.

Jus mangga muda pelengkap hidangan

Medan Selera Kampung Portugis benar-benar memberi impak kepada peningkatan taraf hidup masyarakat Portugis di Melaka. Peningkatan jumlah pengunjung, terutama pelancong menceritakan bagaimana orang Portugis memperoleh manfaat dalam konteks ekonomi. Tentu ada sebabnya mengapa lokasi menjamu selera itu begitu digemari pengunjung.

Selain masakannya menggunakan hasil laut yang segar, gerai di lot terakhir medan yang diusahakan Joseph De Costa, 67, turut menjadi tarikan utama. Perniagaannya sekadar menjual jus mangga muda yang dicampur buah asam begitu memikat selera. Unik dan kreatif, itu antara ciri utama perniagaan orang Portugis yang turut dipraktikkan Joseph.

Entah apa rahsianya. Cuma menggunakan buah mangga muda, ia sudah mampu memikat selera. Tidak cukup setakat segelas, biasanya pengunjung minum sehingga tiga gelas. Penulis ketika pertama kali mencuba, minum sehingga tiga gelas.

Selama 40 tahun menetap di Kampung Portugis, kesempatan berniaga di medan selera itu lapan tahun dulu mengubah hidup Joseph yang sebelumnya seorang nelayan. Ia bermula daripada idea anaknya yang membuka gerai makan di depan rumah yang menjual kentang goreng dan air limau.

“Saya tengok depan rumah ada banyak mangga. Terdetik mahu mencuba resipi baru. Biasanya orang buat jus guna mangga masak, saya cuba yang muda. Rasa sendiri dan tawarkan kepada pelanggan tetap. Nampak ramai yang suka dan saya cuba pula buat ketika pesta San Pedro. Berkerumun orang, tandanya ramai orang suka.”

“Permulaannya hanya 20 kilogram manga sehari. Kini, permintaan terlalu tinggi sampai tiada mangga lagi nak buat. Nasib baik ada beberapa lading mangga bekalkan kepada saya. Itupun tidak cukup,” katanya.

Menceritakan keunikan makanan di medan selera itu, Joseph berkata, selain menggunakan hasil laut segar, masakan mereka juga sedap dan pelbagai. Pelanggan boleh merasai pelbagai menu terutama sotong, ikan dan ketam dengan resipi berbeza seperti masak mentega, lada hitam, halia dan masam manis.

Pelanggan kebanyakkannya bukan orang Melaka. Selain pelancong, ramai pelanggan dari seluruh pelosok negara, malah perniagaan jus mangga miliknya turut mempunyai peminat hidangan warga Singapura yang menelefon setiap kali mahu mengunjungi Melaka.

“Sekali mereka datang, bukan sedikit yang dibeli. Tidak ramai tetapi minum sampai 30 gelas. Selalunya mereka telefon minta saya simpan 20 gelas. Mereka juga bungkus bawa balik. Kenapa orang Portugis pandai berniaga makanan, ia kerana sejak kecil mereka sudah belajar memasak. Dulu, lelaki saja ke laut dan perempuan memasak. Sekarang, lelaki ke laut, perempuan memasak hasil tangkapan itu di kedai makan. Bertambahlah pendapatan mereka.”

“Mereka pula kebanyakannya hanya pandai berniaga makanan. Tidak ramai, malah mungkin tiada yang berniaga produk lain. Itu mungkin kerana peluang diberikan kerajaan Melaka untuk berniaga di sini,” katanya.

Menu enak dan segar

Menariknya, pelbagai kaum mengunjungi medan selera itu. Meskipun orang Portugis kebanyakannya Kristian, mereka jaga peka terhadap pelanggan Muslim dengan hanya masak masakan halal dan mengupah pekerja Melayu. Ia menyebabkan pelbagai kaum dapat dilihat di situ dan yang pasti, paling ramai ialah pelancong asing dan orang dari luar Melaka.
SUMBER : LAMAN SERI

No comments:

Post a Comment