Thursday, 29 December 2011

INI DIA PEMBELA PALING AGONG, ANWAR...!!!!!!!!!

Human Rights Watch : Gugurkan Kes, Kerana 

Anwar Meliwat Suka Sama Suka

George Soros Penaja Human Rights Watch
New York – Human Rights Watch (HRW) berkata kerajaan Malaysia perlu menarik balik undang-undang warisan era penjajah yang mengkategorikan sebagai jenayah sebarang perlakuan seksual di antara manusia sejenis.
Menurut badan tersebut pihak berkuasa perlu menggugurkan kes jenayah terhadap ketua pembangkang dan bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang kini sedang menunggu keputusan mahkamah berikutan perbicaraan yang bermula pada Februari 2010.
“Kerajaan Malaysia menggunakan undang-undang liwat yang ketinggalan zaman bagi tujuan memfitnah pembangkang dan mereka yang mengkritik,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights watch bagi rantau Asia.
Phil Robertson (kanan) beri anugerah 'kebebasan media' kepada Zunar di Thailand
“Sama ada Anwar Ibrahim benar-benar melakukan liwat secara suka sama suka atau tidak, ia tidak relevan sama sekali. Kini tiba masanya untuk menolak undang-undang tersebut dan mengakhiri sandiwara politik lawak yang mempromosikan diskriminasi berlandaskan orientasi seksual dan membinasakan kehidupan orang lain.”
Pada 28 Jun, 2008, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang pada waktu itu berusia 23 tahun dan bertugas sebagai pembantu Anwar, telah membuat laporan polis mengadu bahawa Anwar dengan paksa telah melakukan liwat ke atasnya dua hari sebelum itu.
Pertuduhan kemudian ditukar menjadi liwat suka sama suka, setelah pihak berkuasa mendapati Anwar yang berusia 60 tahun dan mengalami sakit belakang, tidak mampu secara fizikal memaksa seorang anak muda seperti itu diliwat tanpa izin. Pihak pengadu berjaya mengelakkan diri daripada pertuduhan kerana dia telah membuat laporan insiden tersebut, selain menegaskan dia memerlukan perlindungan.
Anwar dibicarakan di bawah Seksyen 377 Kanun Jenayah Malaysia yang melarang “perhubungan jenis di luar tabii.” Undang-undang tersebut merupakan warisan peninggalan pemerintahan penjajah British yang digubal pada pertengahan kurun ke-19. Jika didapati bersalah yang dituduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Berikutan itu, tokoh-tokoh terkemuka Komanwel yang turut dianggotai Malaysia, mendesak supaya negara itu memansuhkan undang-undang liwat semasa sidang kemuncak CHOGM di Brisbane, Australia baru-baru ini.
Sebagai sebuah negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia telah bersetuju untuk “mempertahankan sebaik-baiknya usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.” Langkah membatalkan undang-undang liwat itu akan dilihat sebagai konsisten dengan janji Malaysia sebagai negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia, kata Human Rights Watch.
Pada 1994, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, yang merupakan badan kepakaran Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengawasi hak-hak politik dan sivil memutuskan bahawa undang-undang liwat tersebut melanggar hak privasi dan berbentuk diskriminasi.
Prinsip-prinsip Yogyakarta (Yogyakarta Principles), yang merupakan satu set prinsip perundangan antarabangsa mengenai pelaksanaan undang-undang berhubung sebarang perlanggaran hak asasi manusia berdasarkan orientasi seksual dan identiti jantina, menggesa semua negara ahli supaya, “memansuhkan segala undang-undang yang menganggap sebagai jenayah aktiviti seksual sejenis secara suka sama suka di kalangan orang dewasa.”
Satu laporan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikeluarkan pada 11 November yang akan dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia pada Mac 2012, mencadangkan supaya negara-negara anggota Bangsa-Bangsa Bersatu “memansuhkan undang-undang yang mengkategorikan pelaku homoseksual sebagai penjenayah bersabit perlakuan seksual sejenis secara suka sama suka.”
Dalam konteks ini, keperluan peradaban budaya atau sebarang desakan pengecualian berasaskan sosial tidak boleh mengatasi atau menolak standard-standard hak asasi manusia antarabangsa.
Program Tindakan dan Deklarasi Vienna yang diterima secara konsensus pada Persidangan Dunia Mengenai Hak Asasi Manusia pada 1993 memperuntukkan bahawa, “Adalah menjadi tanggung jawab sesebuah negara, tanpa mengambil kira sistem politik, ekonomi atau budaya untuk mempromosi dan melindungi semua bentuk hak asasi manusia dan kebebasan asas.”
Dalam kenyataan beliau sempena Hari Hak Asasi Manusia 2010, Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon telah menolak sebarang diskriminasi berdasarkan orientasi seksual serta identiti jantina, dan berkata bahawa, “Di mana berlaku ketegangan di antara sikap budaya dan hak asasi manusia sejagat, hak tersebut perlu diutamakan.”
Ini kali kedua Anwar Ibrahim ditangkap bersabit dakwaan melakukan liwat. Dalam perbicaraan liwat sebelum ini yang membawa kepada hukuman penjara sembilan tahun ke atas beliau pada tahun 2000, apa yang jelas hak beliau telah dicerobohi.
Sewaktu ditangkap pada 20 September, 1998, Anwar dibelasah oleh Ketua Polis Negara pada waktu itu hingga menyebabkan kecederaan teruk di bahagian muka. Di antara perlanggaran hak pada waktu itu termasuk ketiadaan ruang untuk mendapatkan bantuan peguam, selain berlakunya intimidasi dan ugutan terhadap para peguam beliau, dan beberapa masalah serius berhubung bahan-bahan bukti yang dikemukakan pihak pendakwa.
Hukuman bersabit kesalahan itu dibatalkan pada 2004.
Robertson berkata, “undang-undang menghukum perlakuan seksual suka sama suka di antara orang dewasa sejenis merupakan pencerobohan hak privasi dan peribadi.
“Tindakan hukuman sebegitu hanya mewujudkan situasi dalam mana diskriminasi dan penyalahgunaan kuasa dibenarkan berlaku. Kesemua hak-hak individu dalam hal ini tidak akan dapat dihapuskan begitu saja dengan cara berpandukan peradaban budaya, tradisi atau pun pegangan kepada prinsip agama.” – hrw.org

No comments:

Post a Comment