Friday, 11 November 2011

MAHAL... MURAH... KEDAI 1 MALAYSIA



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menyifatkan dakwaan bahawa harga produk di Kedai Rakyat 1Malaysia (Kedai Rakyat) lebih mahal daripada harga pasaran adalah tidak berasas kerana perbandingan yang dibuat adalah salah.


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dakwaan itu yang dibuat oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua adalah satu pembohongan dan cubaan mengelirukan rakyat.

“Dia telah membuat perbandingan yang salah kerana membandingkan harga produk Kedai Rakyat dengan produk Carrefour Big Savers yang mempunyai perbezaan daripada segi kualiti. Dia sepatutnya membandingkan harga produk Kedai Rakyat dengan produk yang berjenama dan bukannya dengan produk yang tidak berjenama di pasaran,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin dan Pengurus Perhubungan Awam Carrefour, Salmieah Mohd. Zin.

Tony yang merupakan Setiausaha Publisiti DAP sebelum ini menyatakan bahawa harga dan kualiti produk Kedai Rakyat tidak seperti yang digambarkan.





Menurut Ismail Sabri, perbandingan perlu dilakukan ke atas produk yang mempunyai persamaan daripada segi berat, pembungkusan dan kandungan khasiat.

“Kita kena banding epal dengan epal dan kalau kita banding epal dengan durian, memang harganya jauh berbeza kerana durian lebih mahal. Semalam dia bandingkan produk teh Ceylon Kedai Rakyat dengan teh hitam Carrefour, memanglah teh Ceylon lebih mahal kerana kualitinya berbeza dengan teh hitam. Selain itu, dia juga bandingkan produk pencuci pinggan Kedai Rakyat 400 gram berharga RM1.90 dengan produk Carrefour 350 gram yang berharga 99 sen sedangkan produk sama bagi 400 gram di Carrefour dijual dengan harga RM2.15,” jelasnya.

Menurut Ismail Sabri, itu semua adalah pembohongan Tony kerana pembangkang sengaja memainkan isu tertentu untuk menutup kelemahan memandangkan mereka gagal mencari alternatif bagi membantu pengguna.

“Mereka (pembangkang) semakin bimbang dengan usaha kerajaan dalam membantu rakyat apabila Kedai Rakyat dan Menu 1Malaysia semakin mendapat sambutan daripada peniaga serta rakyat,” ujarnya.
















No comments:

Post a Comment