Hulu Selangor: Lebih 10 kenderaan dan deretan kedai serta gerai makan menggelongsor jatuh ke lereng bukit sedalam kira-kira 20 meter akibat kejadian tanah runtuh di Taman Idaman, Serendah di sini.
Dalam kejadian jam 1 pagi tadi, hanya seorang penungggang motosikal dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, patah kaki sejurus jalan dilalui sepanjang hampir 50 meter runtuh mendadak, kini dirawat di Hospital Selayang.
Runtuhan tersebut berlaku kira-kira dua meter dari rumahnya dan kejadian tersebut menyebabkan laluan utama yang menghubungkan Taman Desa Melo, Desa Anggerik, perkampungan orang asli terputus serta terpaksa dilencongkan ke laluan lain.
Kejadian menyebabkan kenderaan milik penduduk yang diparkir di kiri kanan jalan turut bergolek ke bawah bukit selain ditimbus tanah runtuh.
Susulan kejadian itu seramai 53 anggota penyelamat dan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Bukit Jelutong dan Rawang dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi bagi mengawal keadaan serta menghalang penduduk menghampiri lokasi tragedi.
Difahamkan, anggota penyelamat turut menggunakan unit anjing pengesan untuk memastikan tiada mangsa yang terperangkap dalam runtuhan.
Sehingga kini anggota bomba masih meneruskan usaha memantau kawasan runtuhan selain memeriksa lokasi tebing runtuh bagi mengesan sekiranya terdapat mangsa yang terperangkap.
Berdasarkan tinjauan mStar Online, polis telah menutup sekitar kawasan runtuhan dan mengarahkan penduduk taman itu untuk berpindah ke lokasi selamat untuk pemeriksaan lanjut ekoran kebimbangan berlakunya runtuhan susulan.
Difahamkan, lokasi tersebut merupakan bekas kawasan perlombongan dan terdapat aliran air di bawah tanah yang dipercayai menjadi punca runtuhan.
No comments:
Post a Comment