Friday 20 March 2015

USTAZ KAZIM SAH TARIK DIRI DARI PROGRAM TV, TIDAK MAHU TERLALU MENONJOL


BATU KURAU 20 Mac - Penceramah terkenal, Datuk Mohamad Kazim Elias secara terbuka memaklumkan bahawa malam semalam merupakan kemunculan terakhirnya dalam program Forum Perdana Hal Ehwal Islam.


Menurutnya, beliau akan tetap muncul mengadakan ceramah seperti biasa di luar te­levisyen termasuk bagi rancangan 'Kalau Dah Jodoh' kerana masih terikat kontrak bersama Astro.


“Saya juga mungkin terlalu over berceramah di televisyen. Setiap saluran ada saya. Jadi saya rasa saya kena bagi peluang kepada penceramah dan ustaz lain untuk mengambil tempat saya.

“Saya akan berceramah di luar televisyen dan tidak mahu menonjol seperti dulu,” ujarnya.

Pengumuman itu dibuat pada penghujung siaran langsung terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) itu, malam semalam di Padang Astaka, Batu Kurau.

Turut diundang sebagai panel dalam program yang dipengerusikan Prof. Dr. Redhuan Tee Abdullah itu ialah Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan Datuk Mohd. Naj­muddin Elias.

Beliau sebelum ini dalam Ceramah Perdana Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208 di Kem Pasukan Gerak Am (PGA) Ulu Kinta berkata, isu-isu yang dihadapinya sejak menjadi pendakwah menyebabkan beliau hilang sema­ngat untuk terus berceramah.

Sebagai langkah awal ke arah itu, difahamkan beliau sudah mula menolak beberapa jemputan untuk menjadi tetamu beberapa program televisyen.

Buat sementara waktu ini difahamkan beliau masih terus menerima jemputan untuk mengadakan ceramah namun dikatakan akan berhenti setelah pembinaan ba­ngunan tambahan di Pusat Pengajian Al-Barakah di Manjoi, Perak, siap.

No comments: