Baitulmaqdis merupakan sebuah kota yang
terletak di dalam wilayah Palestin dan diiktiraf sebagai kota ketiga
paling suci bagi umat Islam selepas Mekah dan Madinah. Dalam kalangan
masyarakat antarabangsa, kota ini lebih dikenali dengan nama Jerusalem
yang bermaksud ‘tempat yang aman untuk didiami’.
Catatan sejarah menunjukkan kota ini
telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan
antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang.
Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu
Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan
masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi
yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.