Saturday, 28 January 2012

ULAMAK DIPINGGIRKAN DARI HARAKAH.... MULA MASUK UTUSAN MALAYSIA.....

Dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.....

MyMassa nak kongsi sesuatu yang menarik dalam liputan Utusan mengenai Ustaz Ismail Kamus.

Bila dah masuk Utusan, adakah PAS akan ambil tindakan terhadap Ustaz Ismail Kamus pula selepas ini?

*Geng-geng ulama semakin tak dapat tempat di Harakah sampai terpaksa masuk Utusan. Apa dah jadi dengan Harakah sejak diresapi Anwarinas? - MyMassa

BILA ISLAM DITERAJUI SEKULARIS SOSIALIS..... LUAHAN PROF. MADYA DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Prof. Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah – Pengganti Hasan Ali hanya diberikan portfolio adat istiadat Melayu, Belia dan Sukan sahaja dalam rombakan exco di Selangor. Portfolio Islam, Infrastuktur dan Kemudahan Awam diambilalih oleh pemimpin tertinggi Selangor ultra kiasu. Agak terkejut juga apabila pemimpin kanan PAS yang dilantik menggantikan Hasan Ali, tidak lagi diberikan amanah berkaitan dengan Islam, sedangkan PAS dan Islam sudah sinonim.
Menurut kata ultra kiasu tersebut, perlantikan dan rombakan exco ini telah dipersetujui oleh kepimpinan PAS. Nampaknya PAS terus tunduk kepada ultra kiasu. Sebelum ini, presiden PAS menegaskan, parti itu tidak pernah tunduk kepada kehendak atau tekanan mana-mana pihak termasuk parti komponen Pakatan Rakyat terutamanya DAP seperti yang didakwa. Beliau berkata, Pakatan Rakyat sentiasa mengamalkan konsep terbuka dan segala masalah diselesaikan dengan baik. Persoalan saya, apakah benar?
Saya amat yakin perubahan ini dibuat kerana ultra kiasu amat takut jika PAS diberikan jawatan exco yang lama, sudah tentu akan berulang peristiwa lama. Persoalan arak, rumah urut, dakyah Kristian dan perkara berkaitan Islam akan menjadi kontroversi seperti yang pernah dilakukan oleh Hasan Ali. Untuk menyelamatkan keadaan, pemimpin sekular sosialis telah mengisi posisi tersebut.
Saya tidak menjadi masalah jika portfolio Islam diberikan kepada orang yang sekurang-kurang mempunyai sedikit asas Islam. Misalnya, bacaan dan pemahaman al-Quran dan Islamnya baik, walaupun tidaklah mencapai makam ustaz atau berlatar belakangkan pengajian Islam. Atau carilah sekurang-kurang yang pro kepada Islam. Tetapi bukan kepada yang sekular sosialis. Pada saya, tidak kena pada tempat dan tidak adil. Saya amat hairan dan pelik kenapa PAS membenarkan keadaan ini berlaku? Apakah benar dakwaan mengatakan PAS sudah menjadi semakin liberal disebabkan oleh parasit-parasit yang wujud?
Mungkin akan ada yang bertanya, Zahid Hamidi (Menteri Pertahanan) juga pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), sedangkan latar belakang bukanlah pengajian Islam. Jawapan saya, latar belakang Zahid Hamidi dan Hasan Ali amat berbeza dengan pemimpin ultra kiasu Selangor itu. Mereka berdua boleh memahami dan membaca al-Quran, menjadi imam dan menyampaikan khutbah dengan baik. Cuba bertanya kepada pemimpin ultra kiasu Selangor tersebut, adakah beliau juga sedemikian? Saya bimbang nanti makmum lintang pukang lari mendengar sahaja ayat-ayat suci al-Quran dialunkan ketika menjadi imam atau berkhutbah.
Lebih mengejutkan lagi, tidak ada seorangpun pimpinan PAS yang memuji Hasan Ali atau mengenangkan jasa beliau semasa berada dalam PAS dan ketika menjadi Exco Selangor. 999 kebaikan yang dilakukan Hasan Ali dilupakan begitu sahaja, hanya kerana satu ‘kesalahan kecil’ yang dilakukan. Inikah akhlak Islam? Orang PAS selalu bercakap pasal akhlak, adab dan tata susila. Namun, bila masuk bab politik, semua perkara tersebut hilang entah ke mana.
Pemuda PAS mengingatkan Hasan Ali supaya jangan menjadi kuda tunggangan UMNO. Veteran PAS mengibaratkan Hasan Ali sebagai buah busuk yang akan gugur sendiri dan banyak lagi perkara-perkara negatif yang dilemparkan kepada Hasan Ali, hanya kerana Hasan Ali, bukan lagi orang PAS.
Nampaknya, orang PAS sahaja yang baik, orang lain tidak? Kenapa ketika Hasan Ali berada di dalam PAS, yang buruk-buruk langsung tidak disebut? Habis manis sepah dibuang. Adakah ini cara PAS bertindak? Selama ini PAS selalu melabelkan UMNO sebagai kotor. Hatta, mereka yang menulis dalam media arus perdana ‘pro Umno’ pun dikatakan kotor. Semua yang dilakukan oleh UMNO-BN kotor, yang bersih hanyalah pakatan ultra kiasu ini. Sebab itu, saya tertarik dengan rasional Nasharudin Mat Isa yang juga berharap tidak timbul polemik di kalangan anggota PAS yang menganggap orang yang menyatakan pendapat dalam media pro UMNO ingin menjadi anggota UMNO. Mereka sudah tidak ada ruang di medan lain, seperti Harakah, Roket dan Keadilan? Jika adapun, hanya cacian dan makian.
Di manakah akhlak kita sebagai umat Islam Islam? Lupakahkita pada akhlak Rasulullah? Jika lupa, biar saya ingatkan! Shofwan bin Umayyah dan bapanya Umayyah, amat memusuhi Rasululullah SAW. Ketika Rasulullah memasuki Makkah dalam peristiwa Fath Makkah (Penaklukan kota Makkah), ramai orang Quraisy ketakutan dan melarikan diri. Mereka takut kalau Rasulullah akan membalas dendam atas perbuatan mereka selama ini. Shofwan bin Umayyah melarikan diri menuju ke Jeddah dan bercadang ke Yaman, menyeberangi lautan. Shofwan merasakan lebih baik mati di tengah lautan daripada mati di tangan Rasulullah. Sedangkan, Rasulullah memaafkan semua orang yang sejak lama memusuhinya. Bahkan, Rasulullah turut memberi mereka ganjaran. Namun, Shofwan tetap berkeras untuk melarikan diri.
Pada masa yang sama, Umayr bin Wahb berjumpa Rasulullah lalu berkata; ‘Wahai Nabi Allah, sesungguhnya Shofwan sudah melarikan diri darimu. Saat ini ia akan menyeberangi lautan dan ia akan bunuh diri di sana. Maka, berilah ia ‘jaminan keamanan’. Rasulullah berkata, ‘Dia akan aman’. Umayr berkata, ‘Wahai Rasulullah, berikan padaku tanda ‘jaminan keamananmu’. Maka, Rasulullah memberikan imamah (serban yang melilit di kepala) yang dipakainya ketika itu. Lantas, berangkatlah Umayr menuju Jeddah, menyusul Shofwan. Umayr berhasil menemukan Shofwan, yang saat itu akan menaiki kapal. Umayr berkata, ‘Wahai Sofyan, demi ayah dan ibuku sebagai tebusannya. Ingatlah dirimu. Jangan kau celakakan dirimu sendiri! Aku datang kepadamu dengan membawa ‘jaminan keamanan dari Rasulullah’. Umayr menunjukkan serban Rasulullah kepada Shofwan.
Shofwan berkata, ‘Tapi aku khuatir dengan keselamatan diriku’. Umayr berkata, ‘Dia (Rasulullah) lebih lembut dan mulia dari yang kau kira’. Shofwan membatalkan niatnya melarikan diri, lalu bersama Umayr ia kembali ke Makkah, mendatangi Rasulullah. Tatkala tiba, Shofwan berkata, ‘Inikah orang yang telah engkau berikan jaminan keamanan?’ Rasulullah menjawab; Ya, benar’. Shofwan berkata, ‘Kalau begitu, beri aku waktu dua bulan untuk menentukan sikap (apakah masuk Islam atau tidak?)’. Rasulullah menjawab, ‘Engkau aku beri waktu empat bulan’. Begitulah akhlak Baginda terhadap musuh-musuhnya. Rasulullah tidak menekan Shofwan untuk mengambil keputusan dengan cepat, namun memberinya waktu lebih lama dari yang diminta.
Pendek kata, Rasulullah tidak bongkak dengan kemenangannya. Rasulullah tidak mengambil kesempatan dengan kuasa yang ada pada Baginda untuk membalas perlakuan buruk para musuhnya. Tidakkah kita semua rindu kepada sifat Baginda SAW wahai kepimpinan PAS? Rasulullah pernah memberikan peringatan bahawa: seorang mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya. Jika begitulah lunaknya Rasulullah, wajarkah kita lakukan perkara ini kepada mereka yang sebangsa dan seagama?
Kepada semua yang menyambut Tahun Baru Cina, ucapan dari saya Kong Xi Fa Chai.
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

PENDEDAHAN PENGASAS ABIM.... BERPUTUS ARANG DENGAN ANWAR IBRAHIM...???

Sanusi Junid : Haji Ismail Mina, Pendedahan Seorang Pengasas ABIM..

1. Baru-baru ini rakan lama saya, sejak di waktu ABIM ditubuhkan, telah muncul di dalam media massa menjelaskan sebab beliau telah berputus arang dengan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (AI). Saya, sebagai salah seorang pengasas ABIM yang ibu pejabat pendaftaran pertamanya adalah di rumah saya di alamat No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur, turut merasa kecewa, sedih dan dukacita dengan pendedahan Haji Ismail Mina, yang saya kenal sebagai seorang yang jujur dan taqwa, dan dahulunya tersangat fanatik terhadap AI sejak awal penubuhan ABIM.
ANWAR SUDAH BERUBAH
2. Saya telah ditemui oleh ramai juga ahli-ahli ABIM lama yang kini sudah berpisah dengan AI dari segi perjuangan. Mereka jijik apabila mendengar mengenai kes maksiat sodomi dan video seks, melibatkan perempuan China, dan dirakam oleh Dato’ Eskay. Dato’ Eskay dan Nallakaruppan adalah bekas kawan baik AI. Mereka tidak pernah menjadi ahli atau menyokong penubuhan ABIM.
3. Kawan-kawan yang mengasaskan ABIM ini berpendapat kes ‘pluralisma’ agama yang diperjuangkan oleh AI bukan sekadar menyentuh soal maksiat tetapi melibatkan perkara yang lebih serious, berat dan teruk lagi, iaitu aqidah.
4. Mereka meninggalkan AI kerana mereka mengatakan AI telah berubah dan menyeleweng aqidahnya. Oleh kerana Haji Ismail Mina tidak mempunyai cita-cita politik, dengan berbagai lakonan, helah, strategi dan taktik, beliau dengan hati yang ikhlas tidak dapat menerima sebarang kompromi mengenai aqidah. Sikap begini sepatutnya ada pada semua ulamak yang meletakkan ugama di atas politik.
5. Ada antara mereka yang menyatakan bahawa hanya ahli lama dan baru ABIM yang buta sahaja yang tidak nampak perubahan pada diri AI.
6. Haji Ismail Mina dan rakan-rakannya juga tidak hairan apabila melihat tokoh seniman ugama di dalam politik membuat perubahan perjuangan dari usaha mewujudkan negara Islam kepada mewujudkan negara kebajikan, yang telah pun, dan terus, dijayakan oleh Barisan Nasional.
7. Haji Ismail Mina agak terkilan kerana dalam wawancaranya dengan media beliau telah menyebut nama saya dan Dato’ Zakaria Hashim dalam perkara penubuhan ABIM tetapi perkara itu, yang beliau anggap penting, telah tidak ditulis. Mungkin kerana media tidak mendapat pengesahan dari kami.
USTAZ OTHMAN BAKAR
8. Haji Ismail Mina dan Ustaz Othman Bakar dari Kampung Gajah, Perak adalah dua orang tokoh yang juga terlibat dalam penubuhan ABIM. Waktu AI keluar dari Universiti dan tidak bekerja dengan kerajaan AI telah mengetuai sebuah sekolah swasta yang diberi nama Yayasan Anda Akademik. Haji Ismail dan Ustaz Othman adalah 2 orang dari 10 orang yang telah meminjam wang sejumlah RM30,000-00 tiap seorang, dari The Chartered Bank di bawah skim CGC untuk membiayai perniagaan Yayasan Anda Akademik dan Percetakan Anda. ‘Anda’ di sini tidak bermaksud ‘kamu’ atau ‘engkau’ sebaliknya ialah akronim dari dua nama ‘Anwar’ dan ‘Daud.’
9. Saya telah meluluskan pinjaman bank itu kerana kemampuan Daud Seman sebagai seorang pengusaha dan persahabatan saya dengan AI. Sdr. Daud Seman telah menyatakan kepada saya bahawa dia tidak pernah menerima satu sen pun dari wang pinjaman itu. Baru-baru ini Sdr. Daud Seman telah meninggal dunia dalam satu kemalangan di jalanraya berhampiran tapak Kampung Buku di Lubuk Semilang di Langkawi. Allahyarham telah dikebumikan di Shah Alam.
10. Saya telah terlebih dulu menunggu di tempat perkuburan di Shah Alam, tetapi bila anak saya sampai di tapak perkuburan itu, setelah saya pulang terlebih dahulu, anak saya memaklumkan bahawa tidak ada seorang pun dari kawan-kawan lama dari Yayasan Anda yang hadir waktu pengkebumiannya, mungkin kerana Allahyarham Daud menjadi ahli UMNO, peminat Tun Dr. Mahathir dan berniaga di Langkawi, pulau nostalgia untuk Tun. Daud, yang dicatat sebagai ‘DA’ dalam Yayasan Anda terakhir menyatakan kepada saya bahawa dia lebih mengenal AI dan dia kecewa dengan sikap AI .
11. Antara kegemaran AI yang membayangkan sikapnya ialah kegemarannya untuk membatangkan sesuatu nama dalam bentuk akronim yang melibatkan namanya. ABIM umpamanya dikatakan sebagai Anwar Ibrahim Malaysia dan begitu juga dengan Aminuddin Baki Institute of Malaysia yang juga berakrononim ABIM.
12. Saudara Ustaz Othman Bakar pula telah lama meninggalkan AI sedangkan di waktu AI berada di dalam penjara beliau begitu fanatik dan sedih sehingga beliau seorang saja, dari antara kawan-kawan yang lain, yang tidak mahu tidur di atas tilam di katil kerana memikirkan sahabatnya AI tidur di atas lantai di penjara. Beliau hanya berubah fikiran apabila melawat AI di penjara dan mendapati AI tidur di atas katil yang bertilam. Begitulah hubungan persahabatan yang akrab antara saudara dalam Islam. Kini Sdr. Haji Othman Bakar sudah lama tidak lagi bersama AI dan beliau menjadi ahli UMNO di Perak.
PLURALITI DAN PELURALISMA
13. Haji Ismail Mina telah menjelaskan di dalam wawancaranya dengan media mengenai perbezaan antara penerimaan konsep ‘pluraliti’ dan ‘pluralisma’ dalam berugama.
14. Yang dimaksudkan dengan ‘pluraliti’ ialah pengiktirafan kewujudan berbagai ugama yang berbeza, dan tidak sama, di dunia, sementara ugama yang diterima oleh Allah s.w.t. ialah Islam.
15. Seseorang yang menganut fahaman ‘pluralisma’ dalam ugama pula ialah yang mengiktiraf semua ugama adalah sama belaka. Seseorang yang berugama Islam tidak boleh menerima konsep ini kerana ia menyebabkan individu yang menyatakan semua ugama itu sama adalah terkeluar dari Islam.
16. Seseorang yang menerima kewujudan berbagai ugama, pluraliti, ialah orang yang fikirannya selaras dengan ajaran Islam; tetapi seseorang yang menyamakan semua ugama, termasuk ugama yang baru wujud, atau yang akan wujud, yang mungkin menghalalkan zina dan sodomi antara yang sama jantina atau berlainan jantina, asalkan sama-sama setuju, adalah seorang yang terkeluar dari aqidah dan ugama Islam.
AQIDAH BUKAN HANYA AMALAN, PERAYAAN ATAU SIMBOL
17. Bila saya bertanya pada seorang belia apakah yang dia faham mengenai ‘pluraliti’ dan ‘pluralisma’ dalam ugama beliau dengan bersahaja menjawab ‘sama saja’. Saya lantas terfikir ada kemungkinan perkara yang serius begini tidak difahami oleh anak-anak muda, atau belia, kerana persepsi ugama mereka hanya sekadar melihat kepada simbol dan upacara ugama itu sahaja.
18. Bila disebut ugama Islam maka yang nampak kepada banyak belia yang bukan Islam ialah adanya azan, ada kubah mesjid, ada orang berpuasa, ada sembahyang Juma’at dan bercuti di Hari Raya Puasa dan Haji.
19. Yang dikatakan berugama Sikh bagi yang bukan Sikh pula hanya ternampak orang Benggali (sebenarnya Punjabi) yang berjanggut dan berserban, yang menutup telinga.
20. Yang berugama Kristian, bagi yang bukan Kristian, pula ada palang, gereja dan ada perayaan Krismas.
21. Yang berfahaman Confucious makan daging babi, ada To’ Kong, ada Tahun Baru China dan ada tarinaga.
22. Yang berugama Hindu, bagi yang bukan Hindu, pula ada To’ Kong, tidak makan daging lembu, ada Deepavali dan Thaipusam.
23. Oleh kerana semangat 1Malaysia sudah lama ada pada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, kepercayaan dan ugama maka anak-anak muda turut bergembira dan melawat rumah kawan-kawan dari ugama yang berbeza pada cuti Hari Raya, Deepavali, Hari Vesak, Tahun Baru China dan Krismas.
PERBEZAAN UGAMA
24. Tetapi amalan ini hanya boleh dibataskan kepada fahaman ‘pluraliti’ yang menerima kewujudan ugama yang berbeza di dunia ini. Ia tidak melibatkan aqidah. Yang menyentuh aqidah ialah melunggukkan semua ugama sebagai sama belaka.
25. Menikmati perbezaan hidangan yang berbeza dan bergembira kerana sama-sama mendapat cuti pada hari upacara berbagai ugama hanya boleh dianggap sebagai menerima wujudnya berbagai ugama tetapi tidak boleh dianggap sebagai menerima persamaan antara semua ugama.
26. Belia dan pelajar Islam hendaklah tidak terikut-ikut dan perlu mengetahui apakah yang membezakan antara ugama kita. Sebuah buku yang tebalnya hanya 63 muka yang bertajuk ‘The Concept of God in Major Religions’ karangan Dr. Zakir Naik dicetak oleh penerbit Darussalam di Riyadh pada alamat email: darussalam@awalnet.net.sa, riyadh@dar-us-salam.com halaman web: www.dar-us-salam.com telah memberi penjelasan yang lengkap dan mudah mengenai ugama yang berbeza dan tidak sama.
27. Dalam buku ini Dr. Zakir Naik menulis mengenai Hinduism, Sikhism, Zoroastrianism, Judaism, Christianity dan Islam. Semua ugama ini adalah termaklum, walau pun tidak secara aqidahnya, bagi rakyat Malaysia kecuali Zoroastrianism. Fahaman Shintoism, Budhism dan Confucianism tidak ditulis dalam buku Dr. Zakir ini.
28. Seseorang itu tidak perlu mempunyai ilmu ugama yang mendalam untuk memahami buku Dr. Zakir. Walau pun bukunya tidak tebal tetapi ianya cukup untuk golongan muda tidak dikelentong oleh pihak-pihak yang menyeleweng, berwajah ugama dan pandai bercakap.
TUGAS ABIM
29. Pada kesempatan ini ingin saya mencadangkan supaya ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia)bergerak di kalangan pelajar dan belia supaya menolak fahaman pluralisma dan menerima ide pluraliti, atau menolak ide semua ugama itu sama tetapi menerima kewujudan berbagai fahaman dan ugama di dunia ini.
30. Saya merasa terpanggil untuk menyeru ABIM berbuat demikian kerana saya terlibat dalam penubuhan ABIM dan menjadi orang kedua di dalam ABIM di waktu Professor Dr. Ghazali Nawawi menjadi Presiden ABIM yang pertama.
31. Saya teringat di waktu ABIM hendak ditubuhkan dulu sudah ada Persatuan Ulamak Malaysia, Persatuan Bekas Pelajar Timur Tengah dan Darul Arqam yang dianggotai oleh ahli-ahli yang berpendidikan ugama belaka. Tetapi ahli-ahli ABIM, kecuali beberapa orang, kebanyakannya tidak belajar di sekolah ugama. Kebanyakannya tidak belajar di Timur Tengah atau di pondok-pondok tempatan, tetapi di sekolah-sekolah aliran Inggeris, dan pengikutnya juga tidak fanatik sebagaimana pengikut Arqam yang diharamkan kemudiannya oleh Majlis Fatwa Malaysia di waktu AI sudah ada di dalam kerajaan BN dan Menteri yang bertanggungjawab mengenai ugama Islam ialah Allahyarham Tan Sri Hamid Othman.
MATLAMAT PENUBUHAN ABIM
32. Tujuan penubuhan ABIM ialah untuk mendekatkan ahli-belia kepada ugama Islam, dan apabila sudah jinak mereka terus mendalami ugama Islam bukan sahaja setakat menambah ilmu tetapi juga dengan amalan. ABIM bermatlamat menegakkan yang maaruf dan menentang yang mungkar.
33. Ada juga yang menjadi ahli ABIM kerana setelah mereka meninggalkan bangku persekolahan atau universiti mereka memerlukan platform pertubuhan belia yang lain untuk terus bergiat dalam pergerakan belia atau terus duduk dalam barisan kepimpinan Majlis Belia Malaysia.
34. Masing-masing pengasas ABIM mempunyai sebab tersendiri untuk menubuh dan menjadi ahli dan pemimpin ABIM. Walau pun bukan semua pemimpin dan ahli ABIM terdiri dari kalangan ilmuan ugama tetapi boleh dikatakan semuanya, sekurang-kurangnya pada lahir, adalah pencinta ugama belaka.
35. Melalui ABIM dan badan-badan belia yang sekutu dengannya anak-anak muda dan pelajar telah terdedah kepada kegiatan dakwah dalam berbagai bentuk dan cara. ABIMlah yang mempopularkan program ‘usrah’ di kalangan pelajar, belia dan masyarakat Islam di Malaysia.
BANK, BELIA dan KOPERASI
36. Saya telah melibatkan diri di dalam ABIM kerana minat saya untuk bersama-sama mengenengahkan konsep ekonomi dan kewangan Islam di kalangan Ummat Islam yang bersatu. Pada waktu itu saya menjadi Pegawai Bank sekaligus menjadi Setiausaha Agong dan kemudiannya Presiden MAYC dan anggota barisan pengasas Koperasi SHAMELIN Bhd. Saya giat di dalam bank, belia dan koperasi.
BADAN REVOLUSI UGAMA
37. Semuanya bermula di waktu saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar atau MCKK. Kerana kegiatan saya di surau Kolej, sejak berada di Tingkatan Satu, maka Ustaz Haji Ghazali, guru ugama dan pengarang buku ‘Suluh Ugama’ telah mencadangkan kepada Guru Besar supaya saya, pada tahun 1961, menjadi Setiausaha Badan Ugama Kolej Melayu Kuala Kangsar.
38. Untuk mendekatkan pelajar-pelajar kepada ugama saya telah merobahkan nama Badan Ugama MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar) menjadi Badan Revolusi Ugama (BRU) pada tahun 1962. Perubahan ini saya lakukan setelah saya membaca buku HAMKA bertajuk ‘Revolusi Ugama’. Buku ini telah dicadangkan oleh Dato’ saudara saya Guru Nyak Cut yang tinggal di hujung Jalan Gereja di Bandaraya George Town, Penang. Rumah kedainya bernama PETRACO. Beliau mencadangkan saya membaca buku ini setelah saya ceritakan betapa lemah pegangan ugama di kalangan pelajar dan saya bercita-cita untuk menggerakkan Badan Ugama ini untuk meningkatkan penghayatan ugama di Kolej.
MARA-MUNDUR-JANGAN
39. Selain dari kegiatan dakwah melalui Badan Revolusi Ugama (BRU) saya juga telah menaja sebuah kumpulan tidak berdaftar bernama MARA-MUNDUR-JANGAN atau singkatnya MMJ. (MARAMUNJANGAN)
MENYELESAIKAN MASALAH UMMAT MELALUI PERPADUAN HAMKA
40. Penubuhan kumpulan atau persatuan Mara-Mundur-Jangan di MCKK adalah bermatlamat untuk menyatupadukan pelajar dalam segala bidang kegiatan, khususnya ekonomi, sesuai dengan ajaran HAMKA bahawa di dalam segala bidang, termasuk ekonomi dan politik, masalah Ummat Islam boleh selesai melalui perpaduan.
41. Saya telah mendaftarkan seramai 22 orang pelajar yang bersemangat untuk berada dalam persatuan MMJ ini. Nama pelajar-pelajar ini telah saya perolehi dari Pak Arshad tukang gunting rambut di kolej. Pak Arshad yang bersemangat nasionalis itu telah mengenal pelajar-pelajar yang bersemangat Melayu yang banyak bercakap mengenai masalah Melayu apabila mereka guning rambut di kedai Pak Arshad. Merekalah yang didaftarkan untuk berada di dalam kumpulan MMJ.
42. Selain dari kegiatan menjual barang-barang keperluan pelajar seperti dakwat, sampul surat dan pensil MMJ juga mempunyai satu penerbitan yang dinamakan KATAMARA dan dicetak beberapa kali sahaja. Semua ahli MMJ mendapat gelaran Mara pada nama mereka seperti Mara Aziz Umar (kini Dato’ Wira) dan Mara Hamdan Hazizi (kini Dato’) yang menjaga perniagaan MMJ. Gelaran ‘Mara’ ini tidak dipakai lagi apabila kerajaan menukar nama RIDA kepada MARA.
43. BRU dan MMJ adalah dua badan yang ditubuhkan di MCKK. Setelah saya meninggalkan MCKK dan sebelum saya melanjutkan pelajaran di London, dengan biaya The Chartered Bank, sebagai majikan saya, saya telah bekerja dan menjalani latihan di Seremban dan sekejap transit di Kuala Lumpur.
PENUBUHAN SHAMELIN
44. Waktu di Serembanlah ide untuk menubuhkan koperasi muncul. Sahabat karib saya dalam persatuan MMJ Sdr. Dato’ Zahari Sulaiman telah bekerja di pejabat koperasi di Seremban. Kami tinggal bersama di atas kedai tukang jahit di depan kedai A. S. Dawood di Jalan Paul, Seremban. Hubungan dengan Zaharilah yang memberi idea untuk melanjutkan program Mara-Mundur-Jangan dalam bentuk koperasi. Di situlah bermulanya usaha penubuhan Koperasi Pengguna SHAMELIN yang direalisasikan setelah saya kembali dari luar negeri dan mempelajari lagi mengenai koperasi pengguna di United Kingdom, Jerman Barat dan khususnya Koperativa Forbundet di Sweden.
45. Sekembalinya saya dari Eropah barulah SHAMELIN didaftarkan oleh Ketua Pengarah Koperasi Dato’ Yop Busu dengan dibantu oleh penolongnya Pak Haji Ismail bin Abdullah menantu Pak Man Syarikat. Setelah kedai runcit SHAMELIN ditutup Pak Haji Ismail telah menganjurkan penubuhan koperasi kedai runcit milik ahli-ahli PAS.
46. Pak Haji Ismail sangat dekat dengan saya lebih-lebih lagi kerana beliau adalah ipar kepada Amiruldin yang menjadi menantu Dato’ Saudara saya Haji Nyak Gam yang anaknya Mak Cik Kalsom adalah ibu kepada Dato’ Badaruddin Amiruldin. Pak Haji Ismail dan Pak Ghani dari Maktab Kerjasama Petaling Jaya sangat yakin dengan ide penubuhan SHAMELIN dan beliau sangat kecewa dengan penutupan semua rangkaian kedai runcitnya walau pun SHAMELIN menjadi kaya dengan projek Taman Shamelin Perkasa yang terpisah dari matlamat perjuangan asal SHAMELIN.
47. Koperasi PAS juga gagal menuju matlamatnya.
48. Ahli-ahli MMJ MCKK yang terlibat dalam penubuhan SHAMELIN di peringkat awal ialah Dato’ Zahari Sulaiman dari Selama, Perak, selaku pegawai koperasi, Dr. Baharin Kasim dari Rembau Negeri Sembilan sebagai pengerusi pertama SHAMELIN, Dato’ Dr. Ramli Ujang dari Parit Terachi, Negeri Sembilan selaku Pengerusi kedua SHAMELIN dan Tuan Syed Hizam Al Baity dari Trengganu yang menjadi Bendahari. Zahari sedarjah dengan saya, Syed Hizam dan Wan Aziz dari Kuala Trengganu, juga dari Trengganu adalah senior saya setahun, adek saya dan kawannya adalah junior dua tahun sementara Pak Arshadlah sahaja seorang dewasa yang menjadi ahli MMJ.
49. Sejarah pergolakan SHAMELIN dapat saudara baca melalui jendela buku mengandungi ucapan saya berjudul ‘Dihempas Badai Dilambong Gelombang’ yang akan diulang terbit dalam blog ini nanti. Dalam ucapan itu jelas sekali perjuangan SHAMELIN ialah untuk mewujudkan satu rangkaian pemasaran kedai runcit di seluruh negara yang dimiliki oleh orang Melayu untuk dijadikan asas untuk bangsa Melayu melibatkan diri dalam bidang industri pengeluaran keperluan pengguna. Saya pernah berkata jika setiap kedai menjual hanya 10 kati biskut setiap hari maka 100 buah kedai boleh menjual sekitar 1,000 kati biskut setiap hari dan ianya membolehkan bangsa Melayu memiliki sebuah kilang biskut sendiri dan tidak bergantung kepada Khong Guan Biscuits.
50. Perjuangan membina rangkaian kedai runcit SHAMELIN telah gagal dan terhenti kerana saya dan kawan-kawan tidak ada ilmu dalam dalam bidang perniagaan sebagaimana juga peniaga-peniaga Melayu yang lain di waktu itu. Walau pun jumlah kedai runcit sudah melebihi 70 buah tetapi dengan kerugian tertumpuk sebanyak RM3 juta didera pula oleh saingan GLC Pernas Edar yang menjadi pemborong dan kemudiannya berniaga runcit juga maka SHAMELIN tidak mampu bertahan lagi. Pernas Edar juga akhirnya tertutup dengan kerugian sekitar RM100 juta. Pada waktu itu TESCO, JUSCO, GIANTS dan CARREFOUR belum wujud lagi di negara ini.
51. Kini SHAMELIN wujud sebagai sebuah koperasi yang kaya dengan projek perumahan Taman Shamelin Perkasa di Ceras. Tetapi matlamat perjuangannya sudah tiada.
52. Dengan tertubuhnya KRIM (Kedai Rakyat 1Malaysia) untuk menentang inflasi dan memastikan ada cara untuk terus membekalkan keperluan hidup kepada Umat Islam jika kedai bukan Islam ditutup untuk jangka-masa yang terlalu lama, jelaslah bahawa matlamat perjuangan SHAMELIN masih relevan.
53. Tetapi kewujudan KRIM besar bergantung kepada minat kerajaan, yang biasanya luntur selepas pilihanraya, dan kemampuan Sdr. Maideen sebagai seorang usahawan yang berjaya. Apabila pemimpin kerajaan bertukar dan jika Maideen sudah merobah prioriti atau keutamaannya saya bimbang KRIM juga akan berkubur seperti kedai SHAMELIN. Moga-moga tidak begitu. Untuk KRIM terus berjaya ianya perlu dipindahmilik kepada pengurusnya yang mampu dan ianya perlu diikat dalam satu gabungan kedai runcit yang boleh menjadi saluran pemasaran seperti yang dicita-citakan oleh SHAMELIN. Ini hanya satu cadangan jika tidak ada cadangan yang lebih baik.
54. Oleh kerana saya begitu percaya kepada perlunya wujud rangkaian kedai runcit milik orang Melayu maka melalui blog ini saya ingin menyeru kepada Dato’ Mohd Rejab Ahmad, Pengerusi SHAMELIN kini, supaya berusaha memasukkan kembali elemen perjuangan asal ke dalam SHAMELIN yang sudah kaya. Saya yakin Dato’ Mohd Rejab berkemampuan dengan dukungan kawan-kawan yang lain yang ada di sekelilingnya. Hanya dengan didukung oleh yang kaya sahaja yang tidak berkemampuan akan terbela.
55. Di masa kempen untuk menubuhkan SHAMELIN dijalankan melalui Persatuan-Persatuan Pelajar Universiti-Universiti maka pada waktu itulah saya berkenalan dengan tokoh-tokoh seperti Haji Ismail Mina, Ustaz Othman Bakar dan Sdr. Haji Abd. Halim Arshad, bekas Setiausaha Agong PAS.
56. Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengambil alih jawatan Setiausaha Badan Revolusi Ugama MCKK dari Ungku Hashim, adek bekas Timbalan Menteri Ungku Mohsein dari Trengganu, yang menjadi Setiausaha BRU selepas saya meninggalkan MCKK. Saya telah berpesan kepada Ungku Hashim supaya melantik AI sebagai penggantinya. AI juga telah menubuhkan satu unit MMJ yang dipimpinnya sendiri.
BERGIAT DALAM MAYC
57. Sdr. Taib Wahab dan pembantunya Sdr. Musa, bekas aktivis pelajar di Institut Teknologi MARA (ITM), di zaman Dato’ Ibrahim Ali menjadi pemimpin pelajarnya, telah bekerja sebagai Setiausaha Kerja MAYC di waktu Dato’ Syed Ahmad Idid menjadi Setiausaha Agong. Bila Dato’ Syed Ahmad Idid mengambil alih jawatan Presiden MAYC dari Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman, Haji Sidek Ghouse menjadi Timbalan Presiden MAYC.
58. Sidek, di waktu menjadi Timbalan Presiden MAYC juga, menjadi Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir.
59. Saya telah dilantik menjadi Setiausaha Agong MAYC atas cadangan Sdr. Taib Wahab dan Musa kerana saya, sebagaimana juga Dato’ Syed Ahmad Idid dan Haji Sidek Ghouse, bertiga kami, adalah bekas pelajar di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Sidek Ghouse adalah Penolong Ketua Rumah Syed Jan yang saya menjadi anggotanya. Dato’ Syed Ahmad Idid sebagai pengakap terkenal dengan kegiatan ‘Fraternity of Adventurers’.
KELAB BELIA MAYC BERSIFAT 1MALAYSIA
60. Berbeza dengan Pergerakan Belia GPMS yang ahlinya terdiri dari belia Melayu belaka, dan bermatlamat khusus untuk meningkatkan pencapaian Melayu dalam bidang pelajaran, Pergerakan Belia 4B yang ahlinya terdiri dari belia Melayu sahaja dan berkait rapat dengan Pergerakan Pemuda UMNO di waktu itu, dan ABIM yang gigih dalam bidang Dakwah Islamiyah dan anggotanya Melayu semuanya, MAYC adalah sebuah kelab 1Malaysia kerana ahlinya terdiri dari kelab-kelab gabungan yang ditubuhkan oleh belia berbilang bangsa dan ugama yang bergiat di dalam berbagai bidang yang diminati oleh belia.
61. Hasrat saya terus membara untuk mengenengahkan usaha menyatupadukan Umat Islam di dalam MAYC dan menyatupadukan berbilang kaum dari kalangan anggotanya dan meningkatkan kesedaran bahawa perpaduan Umat Islam, melalui MAYC, menjadi syarat untuk maju dalam bidang ekonomi.
62. Oleh kerana ahli-ahli MAYC terdiri dari berbilang bangsa dan ugama, seperti Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, tetapi bukan badan politik, agak mustahil saya mengenengahkan agenda Islam melalui MAYC. Program yang berwajah Islam hanyalah sekadar menganjur Pertandingan Membaca Al Qur’an.
KELAB BELIA YANG BERBEZA
63. Untuk kegiatan berdakwah di dalam MAYC saya telah mewujudkan jawatankuasa Angkatan Dakwah MAYC (ADAM). Sebagaimana PAS mendapati agak susah untuk menonjolkan program Islam jika berada dalam Pakatan Rakyat, yang berbilang kaum dan ugama, sehingga terpaksa merobah matlamatnya untuk mewujudkan Negara Kebajikan dan bukan Negara Syariah, saya juga menghadapi masalah yang sama di dalam MAYC di mana puluhan Kelab Gabungan dianggotai oleh bukan Islam.
ANGKATAN DAKWAH MAYC
64. Oleh kerana itulah saya bercadang, di luar MAYC, untuk menubuhkan pergerakan ADAM (Angkatan Dakwah Malaysia – dan bukan Angkatan Dakwah MAYC) kerana hukum Islam di zaman Nabi Adam a. s. adalah lebih mudah dan tidak begitu sofistikated dan sesuai sebagai permulaan bagi muda-mudi yang tidak belajar di sekolah-sekolah ugama.
65. Walau bagaimana pun saya menyeru kepada ahli-ahli MAYC supaya mengekalkan MAYC sebagai sebuah Kelab Belia 1Malaysia kerana perpaduan dan persefahaman antara kaum boleh dipupuk dari masa muda lagi. Saya teringat bagaimana persahabatan antara ahli-ahli MAYC dari berbilang kaum begitu mesra sekali.
TOKOH POLITIK DARI MAYC
66. Kekuatan MAYC di satu masa dulu sungguh membanggakan sehingga ramai bekas pemimpin MAYC saperti Tun Dr. Mahathir dari Kedah, Tengku Razaleigh Hamzah dari Kelantan, Dato’ Manan Othman dari Trengganu, Dato’ Kamaruddin Mat Isa dari Perak, Tan Sri Dato’ Osman Aroff dari Kedah, Sdr. Zainal Rampak MTUC dari DAP, Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman dari Negeri Sembilan dan lain-lain lagi menjadi tokoh terkenal di dalam dunia politik, korporat dan NGO.
67. Sekitar empat puloh peratus dari jumlah Perwakilan UMNO dalam Perhimpunan Agong di satu masa dulu terdiri dari ahli, pemimpin, bekas ahli dan bekas pemimpin MAYC..
68. Di waktu Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dipimpin oleh Dato’ Harun Idris dan pemimpin Pergerakan Belia 4B terdiri dari anak saudaranya Dato’ Hj. Shuhaimi Kamaruddin, MAYClah yang menjadi tenaga pengimbang di dalam politik untuk memperkuatkan pimpinan Tun Abdul Razak Hussein.
GAGALKAN PENUBUHAN MAJLIS BELIA KEBANGSAAN
69. Antara kejayaan terbesar MAYC pada waktu itu ialah menghalang penubuhan Majlis Belia Kebangsaan, sebagaimana yang dicadangkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, untuk menggantikan Majlis Belia Malaysia. Jika Majlis Belia Kebangsaan berjaya ditubuhkan maka pola politik akan melemahkan kepimpinan Tun Abdul Razak kerana di bawah peraturan Majlis Belia Kebangsaan pemimpin-pemimpin belia negeri akan dilantik oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri dari kalangan belia 4B. Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan pada waktu itu, walau pun dipimpin oleh anggota keluarga Tun Abdul Razak atau Menteri-Menteri yang pernah kalah dalam pertandingan untuk jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (Dato’ Samad Idris dan Dato’ Ali Haji Ahmad), telah menerima cadangan menubuhkan Majlis Belia Kebangsaan oleh Ketua Pengarah Belia di waktu itu, tanpa menyedari implikasi politiknya.
70. MAYC kini menjadi lemah kerana terlalu lama tidak mengadakan mesyuarat agong. Oleh kerana Presiden MAYC di satu masa dulu ialah juga Menteri yang bertanggungjawab ke atas perjalanan persatuan maka kegagalan MAYC mengadakan mesyuarat agong berturut-turut selama beberapa tahun telah terlupa untuk dilaporkan kepada Menteri untuk diambil tindakan. Kini, ada bukti di tangan Sdr. Taib Wahab bahawa banguna Wisma Belia yang didirikan di zaman MAYC di bawah pimpinan Tengku Abdullah dan Tun Dr. Mahathir, dan Wisma Tunku yang dibina di waktu saya menjadi Presiden, telah di caveat oleh seorang peniaga yang hendak membelinya tanpa kelulusan mesyuarat agong persatuan.
71. Untuk berjaya ahli-ahli MAYC hendaklah rajin mengadakan mesyuarat, di semua peringkat, dan pemimpin-pemimpin MAYC hendaklah rela ditegur, dan berani menerima teguran, untuk kebaikan.
ADAM MENJADI ABIM
72. Ustaz Othman Bakarlah yang telah mencadangkan kepada saya supaya saya tidak namakan gerakan dakwah itu sebagai ADAM untuk berdakwah sepanjang hayat. Beliau mencadangkan namanya ditukar kepada Angkatan Belia Islam Malaysia atau ABIM supaya bekas-bekas pelajar universiti dan kolej boleh terus bergerak dalam persatuan apabila sudah tinggal persekolahan atau pusat pengajian tinggi. .
MENCARI TOKOH UNTUK JADI PRESIDEN ABIM
73. Waktu ABIM hendak ditubuhkan kita telah berusaha untuk mendapatkan seorang ulamak untuk menjadi Presidennya. Saya tidak terfikir untuk menjadi Presiden ABIM kerana saya tidak faham bahasa Arab dan tidak mendalam dalam bidang ugama kerana belajar di sekolah Inggeris.
74. Dalam perjumpaan dengan Professor Dr. Syed Naquib Al Attas kami telah diberi nasihat dengan panjang lebar dan beliau telah meminta kami hadir di rumahnya selama 3 kali untuk melayakkan kami memimpin organisasi Islam. Saya hadir dua kali, yang pertama dan yang ketiga. Professor sendiri tidak menunjuk minat untuk memimpin belia.
75. Kemudian kami mendekati Professor Ustaz Dr. Uthman Muhammady. Saya tidak hadir tetapi difahamkan Ustaz Uthman yang kini bertugas di Universiti Islam Antarabangsa telah menganggap penubuhan ABIM adalah agak terlambat kerana beliau meramalkan dunia akan kiamat dalam masa yang terdekat. Begitu yakin Ustaz Uthman sehingga beliau berjaya membawa seorang kawan saya di bank untuk ikut serta ke satu tempat di pedalaman di Pasir Mas, Kelantan untuk menunggu kiamat.
76. Bila saya bertemu Ustaz Uthman Muhammady di UIA semasa saya menjadi Presiden di sana beliau dengan tersenyum memberitahu kepada saya bahawa beliau tersalah perhetungan.
PEMIMPIN ABIM PERTAMA
77. Akhirnya kami bernasib baik mendapat Professor Dr. Ghazali Nawawi, seorang ulamak untuk memimpin ABIM. Beliau telah memimpin ABIM sehingga tahun 1973 apabila beliau menarik diri kerana saya menarik diri dari menjadi Naib Presiden yang membantunya.
MENGHALANG ARQAM MENYERTAI ABIM
78. Sepanjang saya turut memimpin ABIM saya telah menghalang ahli-ahli Darul Arqam dari menganggotai ABIM. Walau pun pada waktu itu Arqam belum diharamkan tetapi saya telah menolak permohonan mereka untuk menjadi ahli ABIM kerana mereka lebih gigih beribadat dari kami; dan jika mereka turut terlibat dalam kepimpinan ABIM maka belia tidak akan tertarik kepada serban dan jubah Arqam.
79. Walau bagaimana pun saya berhubung rapat dengan pemimpin-pemimpin Arqam dan, kerana saya minat dalam bidang ekonomi, saya mencadangkan supaya Arqam mengeluarkan ketcap sendiri dengan label Arqam dan menjaminnya halal. Saya kagum dengan pencapaian Arqam dalam bidang ekonomi. Saya difahamkan oleh sebuah bank asing bahawa anggaran jumlah harta Arqam waktu diharamkan ialah ratusan juta ringgit termasuk perniagaannya di luar negara seperti di Indonesia dan di China.
80. Oleh kerana Arqam tersangat ghairah untuk menyertai ABIM dan ada juga tokoh ABIM yang tidak mengemari penglibatan saya yang berterusan di dalam ABIM maka isu saya bekerja di The Chartered Bank, yang meminjamkan wang dengan mengenakan ‘riba’ menjadi isu utama yang diketengahkan oleh Arqam sebelum Mesyuarat Agong ABIM pada tahun 1973.
81. Oleh kerana saya ingin terus bekerja di dalam bank kerana pihak bank sudah bersetuju untuk saya meminjamkan wang kepada penanam padi yang pada waktu itu didera dengan pembayaran bunga yang cukup tinggi maka saya telah memutuskan untuk berhenti dari menjadi orang kedua di dalam ABIM. Prof. Ghazali Nawawi juga memutuskan untuk tidak memimpin ABIM lagi.
82. Muktamar ABIM yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada tahun 1973 adalah satu Muktamar yang bersejarah. Selain dari ABIM bertukar pemimpin dari seorang Ulamak kepada seorang sekular yang mencintai ugama, ABIM juga telah memutuskan supaya seseorang yang terlibat aktif dalam politik, sebagai wakil rakyat ke atas, tidak dibenarkan menjadi ahli ABIM.
PERPADUAN UMNO DAN PAS
83. Saya menyokong perpaduan UMNO dan PAS di dalam Barisan Nasional dan menerima tawaran untuk bertanding dalam pilihanraya umum 1974 asalkan saya tidak terpaksa berhenti dari bank kerana ada tugas yang belum selesai.
84. ABIM menolak perpaduan UMNO dan PAS sehingga dalam pilihanraya umum 1974 ABIM meletak tiga orang calon bebas, yang saya difahamkan hilang pertaruhan, iaitu Ustaz Amin di Bagan Seri, Perak, Ustaz Othman Bakar di Kampung Gahah, Perak dan Ustaz Hasan di Kota Tinggi, Johor.
ARQAM DITERIMA DAN DIKELUARKAN DARI ABIM
85. Setelah saya berhenti turut memimpin ABIM ahli-ahli Arqam telah diterima menjadi ahli ABIM.
86. Apabila ahli-ahli Arqam yang menjadi ahli ABIM telah mula mengambil alih ABIM Negeri Kedah, Melaka dan Trengganu maka, memandang kepada kemungkinan Arqam akan mengambil alih ABIM, maka ahli-ahli Arqam yang memimpin ABIM telah disisihkan sehingga akhirnya ABIM di anggap musuh oleh Arqam. Arqam dikeluarkan dari ABIM bukan kerana perbezaan aqidah tetapi kerana pengambilalihan kepimpinan.
JANGAN AGONG-AGONGKAN PEMIMPIN
86. Walau pun saya menolak fahaman ugama yang dibawa oleh Arqam yang mengagong-agongkan pemimpinnya saya juga menolak pemimpin mana jua, walau pun atas nama ugama, jika kesuburan hidupnya bergantung kepada sifat fanatik ahlinya.
87. Ustaz Ismail Mina telah menunjuk contoh yang baik untuk kita semua.