Thursday, 5 January 2012

DEMONSTRASI BEBAS ANWAR 901...ADALAH HARAM..!!!!

APA KATA USTAZ IDRIS.....

 


AIDCNews – 05/01/12 – Imam al-Barbahariy dalam kitabnya Syarah al-Sunnah berkata perbuatan ‘khuruj’ yakni ‘keluar menentang pemerintah’ adalah bercanggah dengan sunnah.

“Makanya, orang yang khuruj, keluar menentang pemerintah (adalah) orang menanggalkan tali kekang Islam dari lehernya, ia menjadi sesat lagi menyesatkan”, kata ustaz Idris Sulaiman dalam membahaskan kitab tersebut, di Kajang, 04 Jan.
Katanya, Nabi Muhamad SAW pernah bersabda, ‘barang siapa yang melihat sesuatu yang dia benci kepada pemerintahnya, hendaklah dia bersabar terhadap pemerintah itu, (kerana) barang siapa yang keluar daripada jemaah (umat Islam) yang bersatu di bawah satu pemerintah sebanyak sejengkal, kalau dia mati dalam keadaan begitu, dia mati dalam keadaan jahiliah’.
Menurutnya, Islam menganjurkan umatnya supaya bersatu dan mengelakkan pertikaian dan perpecahan.
“Maka tidak hairan demokrasi..demonstrasi sangat dialu-alukan oleh negara-negara Barat kerana bertujuan untuk memecah belah umat Islam”, katanya  AIDC > 
JUGA LIHAT DI SINI....DEMO 'BEBAS' ANWAR SIA-SIA


MISTERI ETNIK - PART VI (FINALE)

ADAT PORTUGIS MELAKA
DIPENGARUHI MELAYU

Wanita Portugis, meskipun berdasarkan raut wajah mereka nampak ada pelbagai campuran, ada seperti Cina, India dan ramai juga sekali pandang seperti Melayu

Asimilasi budaya warnai cara hidup

Hidup dalam masyarakat majmuk berbilang kaum yang saling memahami budaya serta cara hidup kaum lain membolehkan sesiapa saja terus mengamalkan keunikan tradisi mereka. Malah, lebih unik, asimilasi budaya yang banyak berlaku dalam masyarakat di negara ini lebih mewarnai cara hidup semua etnik di Malaysia.

Begitu juga dengan orang Portugis yang tidak jauh berbeza dengan orang tempatan, walaupun mereka berasal dari negara yang jauh dari Malaysia. Penyerapan budaya Melayu lebih ketara dalam diri mereka, sama ada dalam cara berpakaian, pemakanan, kesenian dan bahasa.

Wanita Portugis, meskipun berdasarkan raut wajah mereka nampak ada pelbagai campuran, ada seperti Cina, ada pula seperti India dan ramai juga sekali pandang seperti Melayu, perwatakan, pergaulan dan rutin seharian tidak banyak beza dengan wanita Melayu.

Ahli Jawatankuasa Wanita Kampung Portugis, Marina Linda Danker, 45, berkata wanita Portugis sejak kecil sudah diajar memasak dan kerana itu kebanyakan mereka mampu memasak dengan baik serta tidak keterlaluan jika dikatakan masakan mereka enak. Paling menarik, masakan mereka serasi dengan selera orang Melayu.

Lantaran itu, tidak pelik jika semua restoran yang dibuka orang Portugis di medan selera kampung itu turut dikunjungi orang Melayu. Tidak timbul soal halal haram kerana orang Portugis cukup memahami sensitiviti orang Islam dan masakan meraka dijamin halal. Menu mereka pula, memang menu orang Melayu. 

“Wanita Portugis memang macam wanita Melayu kampung. Pakaian mereka yang aslinya ialah kebaya dan kain batik. Sekarang baru ada yang berpakaianan moden. Kami juga suka menjahit, membuat kerja rumah dan kebanyakannya tidak suka keluar merayau. Duduk saja di rumah sebab ramai wanita Portugis pemalu. Kan sama seperti orang Melayu…”

“Kami suka ‘line dance’. Ia seperti tarian poco-poco. Kelebihan wanita Portugis ialah mereka suka kepada aktiviti kebudayaan. Ramai anak gadis kami sejak kecil sudah belajar menari. Meskipun pemalu, mereka lincah apabila membuat persembahan,” katanya yang juga jurulatih kepada satu kumpulan kebudayaan di Kampung Portugis.

Katanya, hubungan kekeluargaan dalam kalangan orang Portugis juga kuat dan kebanyakannya bertahan lama kerana ramai dalam kalangan mereka patuh pada hukum dalam Roman Katolik. Dalam fahaman agama itu, perkahwinan perlu kekal sampai ke mati. Bermaksud, jika sudah berkahwin, tidak boleh berpisah atau berkahwin lain selagi pasangan masih hidup.

Malah, meskipun ramai yang melanggar hukum itu kerana peraturan membenarkan perceraian, mereka yang sudah bercerai tidak dibenarkan berkahwin lain selagi bekas suami atau isteri masih hidup. Hukum dalam agama mereka membuatkan hubungan kekeluargaan masyarakat itu bertahan lama dan saling setia sesama mereka. Namun, ia tidak bermakna tiada pelanggaran hukum kerana dalam dunia moden ini, ramai juga yang mengetepikan hukum sebegitu.

“Undang-undang negara membenarkan perceraian itu. Ia memang bercanggah dengan hukum tetapi ada juga yang langgar hukum dan ikut undang-undang. Namun, secara majoritinya, lebih 90% orang Portugis ikut hukum ini dan berkahwin sampai mati. Itu kunci kebahagiaan rumahtangga kami.”

“Malah, dalam hukum agama juga, perkahwinan hanya sah di gereja. Ada yang sekadar mendaftarkan perkahwinan di mahkamah dan perceraian juga dilakukan di mahkamah. Hukumnya, perkahwinan itu tidak sah. Orang Portugis memang kuat ikut hukum agama terutama dalam hal perkahwinan.”

“Jika berkahwin dengan orang bukan penganut Roman Katolik, tiada masalah jika pasangan tidak mahu tukar agama, tetapi perkahwinan tetap perlu dibuat di gereja. Jika tidak, samalah seperti lelaki itu menyimpan perempuan simpanan. Perkahwinan yang tidak sah. Jika kahwin dengan orang Hindu, buat perkahwinan di kuil dan selepas itu di gereja,” katanya.

Perkahwinan campur dalam kalangan orang Portugis masih berlaku sehingga hari ini dan menurut Marina, perkahwinan dengan India dan Cina memang banyak berlaku. Perkahwinan dengan orang Melayu tidak banyak. Di kampung itu, hanya ada dua wanita berkahwin dengan lelaki Melayu, tetapi ramai juga lelaki Portugis berkahwin dengan perempuan Melayu. Ini mungkin disebabkan pegangan agama oleh perempuan Portugis lebih tebal.

Namun, sekali lagi disebabkan sifat pemalu dan jarang bergaul menyebabkan ramai wannita berusia lebih 50 tahun tidak pernah berkahwin selain kongkongan keluarga yang sangat ketat.

Adat dalam perkahwinan orang Portugis hampir sama dengan Melayu. Bermula dengan adat merisik di mana mereka mewakilkan kepada seseorang dalam keluarga untuk ke rumah pihak perempuan. Berbalas pantun dalam bahasa Portugis juga menjadi rencah penyeri majlis.

Risik hanya sekadar proses perbincangan tanpa membabitkan apa-apa tukaran hantaran. Hanya ketika bertunang, lelaki bersama ibu bapanya datang ke rumah perempuan dengan sebotol wain. Rombong itu pula hanya boleh disertai individu yang sudah berkahwin. Bujang dan dara tidak dibenarkan. Proses bertukar cincin oleh lelaki dan perempuan itu sendiri adalah upacara kemuncak selepas perbincangan mengenai majlis perkahwinan.

“Selepas sarung cincin, lelaki dibenarkan cium sedikit di pipi perempuan dan selepas itu satu perjanjian perlu ditetapkan. Lelaki perlu memberikan wang saku setiap bulan kepada perempuan sebagai tanda jadi. Perempuan itu tidak lagi boleh terima lelaki lain.”

“Biasanya pertunangan berlangsung selama enam bulan hingga setahun. Selama itulah wang saku perlu diberi setiap bulan. Nilai itu ditentukan lelaki sendiri atas kemampuannya. Jika nak bodek lebih, bagi nilai besar, tapi rugilah. Jika putus tunang, perempuan perlu pulangkan semula duit itu,” kata pakar budaya Portugis, Noel Felix.

Kata Marina, hantaran dalam perkahwinan hanya dalam bentuk wang. Tidak ada dulang hantaran seperti orang Melayu. Duit itu boleh diselesaikan ketika bertunang ataupun sebelum perkahwinan. Biasanya hantaran sekitar RM20,000. Wang belanja pula lebih tinggi untuk majlis perkahwinan, kos paling tinggi ialah untuk membeli minuman keras.

“Majlis perkahwinan atau jamuannya hanya dibuat pihak perempuan, tetapi semua kaum kerabat lelaki akan berpesta di situ. Oleh itulah wang hantaran dan belanja tinggi sebab pihak perempuan perlu keluarkan belanja yang besar untuk majlis. Malah, selalunya majlis sudah bermula tiga hari sebelum hari perkahwinan.”

“Orang sudah berkumpul dan ada jamuan teh untuk pihak lelaki pada Khamis (jika perkahwian pada Sabtu). Pada hari itu, ibu pihak lelaki akan membentangkan cadar atas katil yang akan dihiasi untuk pengantin. Pengantin tidak dibenarkan berada di situ, malah pengantin lelaki tidak boleh datang langsung.”

“Esoknya, di rumah perempuan lagi, ada jamuan makan malam. Sekali lagi ramai orang akan datang. Kerana itulah pihak perempuan perlukan wang yang banyak untuk menguruskan semua kos itu,” kata Marina lagi.

Baju pengantin persalinan terakhir buat si mati...

Mayat disimpan tiga hari dalam rumah untuk membolehkan pelbagai upacara diselesaikan dan menjadi satu kepercayaan dan amalan masyarakat Portugis ketika menguruskan si mati. Ia turut membolehkan penghormatan terakhir diberikan. Malah, ada yang menyimpannya lebih lama.

“Kepercayaan kami roh akan berpisah daripada jasad selepas tiga hari. Jadi, rasanya tidak elok terus simpan dalam tahan. Bagi roh keluar dulu. Itu kepercayaan, tetapi lain orang lain tanggapannya. Selalunya ais kering digunakan untuk mengelakkan mayat berbau. Ada yang berkemampuan akan mengawetkan mayat.”

“Logiknya kenapa simpan selama tiga hari ialah untuk membolehkan saudara mara dari jauh sempat menziarahi, pada masa sama ramai orang boleh datang. Ramai yang ziarah, ramai juga yang hulur sumbangan. Ia penting untuk uruskan si mati. Selama mayat di rumah upacara sembahyang dibuat setiap sejam bermula jam 8 hingga 12 malam.”

“Sepanjang masa itu juga, makanan disediakan untuk menjamu tetamu yang selalunya tidak pernah putus. Satu masakan istimewa ketika itu ialah sagu goreng kerana kuit itu tidak akan dimasak pada hari biasa. Hanya khas untuk majlis kematian,” kata Ketua Kampung Portugis, Peter Gomez.

Ada sedikit perbezaan antara pengurusan mayat bujang dengan yang sudah berkahwin. Jika bujang, sejenis alat dikenali sebagai kerunci berbentuk mahkota di pintu rumah si mati. Ia untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa ada orang bujang yang mati di situ. Ia berbentuk seperti hati yang disilang panah. Ada juga berbentuk mahkota. Tidak cukup dengan itu, sebelum diarak keluar rumah ke tanah perkuburan, semua hadirin diberikan sedikit wain dan dijulang tinggi seperti ketika majlis perkahwinan. Si mati lelaki dipakaikan pakaian lengkap dengan tali leher, manakala wanita pula dengan gaun pengantin.

“Ketika berlaku sesuatu kematian dalam kampong ini, loceng besar akan dibunyikan untuk memaklumkan kepada penduduk di situ mengenai. Dulu, sebelum ada loceng itu, rim lori digunakan. Hayunan loceng untuk kematian perlahan sebagai tanda ada berita sedih.”

“Loceng akan dibunyikan sekali lagi ketika mayat mahu dibawa keluar dari rumah. Jika bujang, orang yang mengusung mayat itu terdiri dalam kalangan bujang, seperti pengapit. Mayat ditanam, tetapi boleh dibakar jika pernah diminta si mati atau kemahuan keluarganya,” katanya.

Uniknya, kebetulan ketika tinjauan BH di Kampung Portugis, ada kematian membabitkan lelaki bujang. Dapat dilihat betapa kunjungan orang ramai tidak pernah reda dan pada tiap malam selama tiga malam, penuh sesak halaman rumah si mati dengan sanak saudara dan sahabat handai.

Ada yang menghabiskan masa menjaga si mati sehingga pagi dengan bermain ‘ceki’, sejenis permainan seperti mahjung dan daun terup, sekadar untuk mengisi masa lapang. Makanan pula tidak henti-henti dimasak untuk memastikan ada hidangan kepada semua. Jelas, kaedah mereka memberi penghormatan terakhir kepada si mati seakan-akan meraikan pengantin baru.

SUMBER : LAMAN SERI

MISTERI ETNIK - PART V

ORANG PORTUGIS MELAKA 
KAYA PERAYAAN & BUDAYA

pesta Intrudu
Pesta unik jadi tarikan utama pelancong

Masyarakat di negara ini memang cukup kaya dengan pelbagai jenis perayaan dan sambutan. Boleh dikatakan hampir semuanya mempunyai perayaan besar dan tidak kurang juga perayaan untuk memperingati satu tarikh istimewa. Begitu juga dengan orang Portugis yang meraikan lima perayaan penting setiap tahun dan disambut secara besar-besaran.

Sebagai penganut Kristian, mereka tentunya tidak terlepas daripada sambutan Krismas dan menjadikan perayaan di Kampung Portugis lebih unik serta meriah ialah kerana penempatan meraka yang strategik. Berada di tepi pantai, ditambah dengan medan selera terkenal, selain mempunyai pentas khas berdepan pintu masuk kampung membolehkan perayaan disambut meriah.

Justeru, tidak hairan jika setiap kali tiba musim perayaan, tidak kira perayaan keagamaan atau budaya, Kampung Portugis disambut sangat meriah. Pendek kata, jika mahukan kemeriahan sebenar berpesta ketika perayaan, kunjungilah kampung itu dan semuanya terhidang di sana. Dengan persembahan kebudayaan, joget lambak, perarakan dan pelbagai lagi disajikan di situ.

Perayaan pertama dalam kalender mereka ialah pesta Intrudu. Tidak ada tarikh tetap dalam kalender masihi untuk perayaan ini, tetapi dalam kalender Kristian, ia jatuh pada 40 hari sebelum Krismas atau pada Ahad sebelum ketibaan ‘Esh Wednesday’ (hari Rabu di mana penganut Roman Katolik diwajibkan ke gereja untuk meletakkan abu pada dahi). 

“Esh Wednesday tidak tentu. Ia bergantung kepada kalender Roman Katolik. Ada ketikanya jatuh pada Februari. Kalender ini tidak sama dengan kalender masihi. Intrudu ialah pesta air. Ia disambut sebelum semua orang Roman katolik berpuasa selama 40 hari bermula pada Esh Wednesday.

Konsep berpuasa kami berbeza dengan orang Islam. Ia bergauntung pada kemampuan individu. Ada yang alim, berpuasa sepanjang hari, ada yang separuh hari. Boleh minum, cuma kurangkan makan. Cuma, diharamkan makan daging pada Jumaat sepanjang 40 hari itu.

Pada pesta Intrudu, permainan air dimulakan sejak pagi. Sebenarnya sambutan ini dulu tidak besar, hanya dibuat dalam rumah. Mereka main air dalam rumah sendiri. Namun, disebabkan di sini majoriti orang Portugis, jadi kami berasakan lebih baik buat di jalanan.



Perayaan pertama dalam kalendar masyarakat Portugis ialah pesta Intrudu iaitu pesta air yang disambut sebelum semua orang Roman Katolik berpuasa selama 40 hari

Apabila semua orang mula main air di jalanan, sesiapa saja yang masuk ke kampung kami akan disimbah air juga. Secara tidak langsung ia bertukar menjadi satu perayaan atau pesta pula. Tujuannya adalah untuk membersihkan diri. Ia juga sebagai peringatan bahawa inilah hari terakhir bersuka ria sebelum berpuasa. Sekurang-kurangnya apabila ia menjadi pesta tahunan, ia kekal menjadi warisan dan tidak dilupai generasi muda,” cerita Setiausaha Kampung Portugis, Michael Banerji, 63.

Semua perayaan yang disambut dalam Kampung Portugis adalah berkaitan agama. Boleh dikatakan mereka ialah penganut Kristian Roman Katolik yang kuat dalam beragama. Ia mungkin disebabkan kedudukan masyarakat mereka yang berkumpul dalam satu penempatan dan membolehkan aktiviti serta proses keagamaan digerakkan secara maksimum.

Jawatankuasa Kampung Portugis terpaksa membuat peraturan khusus bagi mengawal ‘kegilaan’ penduduk di situ setiap kali tiba pesta Intrudu. Dulu, mereka bermula seawal jam 12 malam dan berlarutan sehingga petang. Kini, ia hanya dibenarkan bermula selepas jam 9 pagi, namun peraturan itu tidak pula membataskan siapa yang bakal disimbah. Jika tidak mahu basah, jangan masuk ke kampung itu pada hari pesta Intrudu!

“Dulu lagi teruk. Bukan setakat simbah dengan air paip, tetapi dicampur tepung, buah gatal, arang dan pewarna. Kami terpaksa larang sebab tidak sesuai. Kini, yang popular ialah dicampur dengan air. Awal pagi, lori ais sudah sampai untuk jual air kepada orang kampung. Satu lori pun tak cukup!

Pelbagai kaedah digunakan. Ada guna pistol air, ada guna belon. Sejak malam, jawatankuasa sudah menyediakan tangki air untuk kemudahan orang kampung. Meriah! Sangat meriah! Pelancong pun ramai. Mereka sudah tahu mereka akan basah. Amaran, berhati-hati kerana mereka tidak kira siapa dan apa yang anda bawa. Kamera pun basah,” ceritanya.

Ada simbolik lain dalam pesta itu. Selepas puas membasahkan orang, sedikit wain dihulurkan sebagai tanda memohon maaf. Selalunya jawatankuasa menyediakan 24 botol wain. Penduduk sendiri pun sediakan wain sebagai tambahan.

San Juang atau pesta lampu pula diadakan pada setiap 23 Jun di mana semua masyarakat Portugis di situ memasang lampu dan lilin di dalam serta di luar rumah dalam jumlah yang banyak. Biasanya, ia dipasang ketika senja. Sama seperti Intrudu, permulaannya ia hanya dilakukan secara individu oleh tuan rumah itu sendiri.

Namun, apabika ia sudah menjadi satu tarikan kerana pada hari itu, suasana di Kampung Portugis berkerdipan cahaya lampu, ia terus diangkat menjadi perayaan rasmi di situ. Kini, selain pemasangan lampu dan lilin di rumah, jawatankuasa turut anjurkan persembahan kebudayaan di pentas, terbuka untuk tontonan sesiapa saja, terutama pelancong.

Malam itu menjadi pesta. Selain persembahan kebudayaan, turut dihidangkan makanan tradisi, iaitu kanji mungu (bubur kacang hijau) dan pakaian tradisi pada hari itu mestilah berwarna hijau. Ia melambangkan kesucian dn lebih kepada orang muda mudi. Petanda mereka masih bersih.

Malam itu, ramai orang datang. Penuh sesak kampung ini bersama kami meraikan hari kelahiran nabi kami, St John. Semua lebih 1,000 orang Portugis di luar Melaka turut dating ke sini untuk meraikan pesta ini. Tidak ada tempat lain di negara ini yang meraikan dua perayaan seperti ini di Kampung Portugis,” kata Ketua Kampung Portugis, Peter Gomez.


Kemuncak kepada perayaan San Juang ialah satu pesta paling unik, iaitu San Pedro pada 29 Jun, enam hari selepas San Juang. Ia adalah perayaan khas untuk nelayan sebagai memperingati St Peter, ketua pertama semua mahzab (Pope). Dia adalah seorang nelayan dan pesta itu adalah sebagai memperingati hari lahirnya.

Pada hari itu, semua nelayan menaikkan perahu mereka, bersihkan dan hias dengan cara paling kreatif. Ada peraduan untuk hiasan itu, malah jawatankuasa memberikan mereka duit sebagai ganti rugi kerana tidak ke laut pada hari itu. Ia nyata sudah dikomersialkan kerana mendapat sambutan pelancong.

Berbeza dengan dulu, kami hanya jemput paderi utnuk memberi restu kepada bot nelayan supaya meraka selamat pergi dan pulang. Namun, apabila semakin ramai gemar melihat upacara itu, kami menjadikannya satu pesta dan terbuka kepada orang luar untuk melihatnya.

Kemuncak perayaan San Juang ialah San Pedro yang disambut pada 29 Jun, ia adalah perayaan khas untuk nelayan memohon perlindungan

Tujuan perayaan ini memang sebenarnya untuk memohon perlindungan. Hanya nelayan terbabit. Ada 40 nelayan sepenuh masa dan 150 lagi separuh masa. Semua mereka ini akan menaikkan perahu mereka. Beberapa hari sebelum perayaan itu, ada pelbagai persembahan kebudayaan setiap malam dan kemuncaknya pada 29 Jun. memang seminggu itu cukup meriah,” kata Peter.

Pada malam 30 Ogos, sama seperti rakyat Malaysia lain, pastinya teruja membilang detik menyambut Hari Kemerdekaan. Mereka berkumpul beramai-ramai menyaksikan pelbagai persembahan pentas dan berjoget lambak tarian Portugis.

Semangat patriotik kuat dalam diri kami. Tepat jam 12 malam, bendera dinaikkan dan semua bangun menyanyikan Negaraku dan Tanggal 31. Semua penduduk di sini datang dan biasanya disertai pemimpin kawasan. Ia antara sambutan yang meriah di sini,” ceritanya lagi.

Kemuncak kepada perayaan dalam masyarakat Portugis tentulah Krismas, sama seperti penganut Kristian lain. Uniknya di Kampung Portugis, kemeriahannya sudah mula terasa sejak minggu pertama Disember, di mana semua rumah dihias dan dipasang lampu kelip-kelip.


Menambah tarikan, ada pertandingan untuk memotivasikan penduduk kampung menghiasi rumah. Namun, tanpa pertandingan itu pun, rumah mereka tetap dihias dengan hiasan mahal, ada yang kosnya mencecah sehingga puluhan ribu ringgit dan diimport dari luar negara.

Mahu rasa kemeriahan Krismas, cuba berkunjung ke Kampung Portugis sepanjang Disember. Setiap hari ada persembahan muzik di pentas da nada kumpulan mengelilingi kampong menyanyikan lagu Krismas. Bukan sehari, tetapi setiap hari sepanjang bulan!

Kemeriahan Krismas cukup dirasai di Kampung Portugis sepanjang Disember
Kampung Portugis jadi destinasi popular
Destinasi tarikan pelancong sarat dengan aktiviti kebudayaan dan kekal memelihara khazanah serta sejarah mereka. Itulah antara kekuatan utama masyarakat Portugis di Kampung Portugis dalam meneruskan kehidupan penduduk minority di Melaka, tetapi Berjaya membangunkan ekonomi walaupun bermula sekadar sebagai nelayan satu ketika dulu.

Elemen komersial yang diserapkan dalam pelbagai perayaan dan sambutan, selain keterbukaan mereka menerima kunjungan pelancong dan penganut agama lain untuk bersama merasai kemeriahan sambutan keagamaan mereka menjadikan kampong itu begitu dikenali dan sentiasa menerima kunjungan pelawat setiap masa.

Paling meriah, tentulah ketika pesta Intrudu (pesta air), walaupun ia menyebabkan sesiapa yang masuk ke kampung itu, melintasi pintu gerbangnya basah lencun, tetapi ia menyeronokkan. Tidak dapat digambarkan dengan tulisan bagaimana satu pesta agama berubah menjadi satu pesta bermain air yang sangat dinantikan ramai orang.

Difahamkan, pelbagai pesta yang dianjurkan di situ sentiasa menerima kunjungan sehingga lebih 50,000 orang, sekaligus melonjakkan ekonomi sebahagian penduduk di situ yang mengusahakan perniagaan restoran. Boleh dikatakan, semua perayaan di situ tidak pernah sunyi dengan junjungan dan pembabitan orang luar. Itulah kekuatan kampung Portugis.

Di situ, umpama gedung penyimpan khazanah budaya Portugis. Cukup sekadar mengunjungi kampung Portugis, keunikan masyarakat yang sudah bertapak di negara ini sejak 500 tahun dulu, ada di sana. Muzium Portugis yang ada di bangunan pertama kampung itu padat dengan pelbagai maklumat dan turut menerima kunjungan ramai orang yang mahu tahu mengenai sejarah serta budaya mereka.

Penyelia muzium, George Paul Overee, 79, antara orang yang cukup sarat dengan cerita sejarah orang Portugis selain mempunyai kumpulan kebudayaan sendiri yang boleh pada bila-bila masa mempersembahkan keunikan budaya mereka kepada pelancong. Begitulah kesungguhan masyarakat minoriti di Melaka ini mempertahankan tradisi serta budaya mereka.

Berbalik pada perayaan khusus masyarakat Portugis tadi, ia selain dapat menonjolkan budaya mereka kepada orang luar, ia turut menjadi landasan atau tapak terbaik menyatukan semua penduduk dalam satu majlis khusus yang penuh kegembiraan. Peter Gomez mengakui hubungan masyarakat dalam kampung itu tidak semuanya mesra, tetapi semua masalah atau selisih faham dapat dibuang jauh ketika bersama dalam perayaan.

Umpamanya mereka kerana lima perayaan itu disambut meriah, sekaligus memberi peluang secara maksimum untuk bersatu dalam sebuah masyarakat. Malah, lebih beruntung lagi kerana semakin lama, budaya dan penempatan mereka semakin dikenali.
SUMBER : LAMAN SERI


MISTERI ETNIK - PART IV

PORTUGIS MELAKA LEBIH ASLI

Generasi muda diajar warisi tarian Portugis

Masyarakat pertahan budaya Negara asal sejak abad ke-16
“Jingkling nona jingkling nona yo kare kasa,
jingkling nona jingkling nona yo kare kasa,
kasa rata kota jele lagu pasa,
kasa rata kota jele lagu pasa.
Teng alah oteng pak oteng sala oteng,
teng alah oteng pak oteng sala oteng.
Udang sama udang, mawar atas peti.
Pandang boleh pandang, jangan sampai bawa lari.”


Itulah petikan lagu Jingkling Nona yang popular di kalangan masyarakat Portugis, Melaka. Lagu itu juga sebati dengan penduduk Melaka sehingga mampu dinyanyikan sesiapa saja. Sekali dengar, ada lenggok joget dalam rentak melodi lagi itu. Ia seakan memperkuatkan tanggapan asimilasi budaya Portugis dengan orang tempatan, apatah lagi orang Portugis bertapak di negeri itu sejak 500 tahun dulu.

Namun, paling mengejutkan masyarakat ini yang terputus hubungan dengan negara asal sejak Portugis berundur pada zaman penjajahan Belanda masih mengekalkan budaya asal, malah pelbagai tarian, bahasa dan pakaian tradisi kekal seperti abad ke-16. Orang Portugis di Portugal sendiri kagum dengan generasi mereka di Melaka.

Bahasa Portugis Melaka masih lama, berbeza dengan orang Portugal yang melalui banyak perubahan tatabahasa serta nahu. Pendek kata, orang Portugis di Melaka lebih asli daripada di Portugal dan itulah menjadi kebangaan mereka dalam mempertahankan budaya.

Aktiviti kebudayaan orang Portugis di Melaka masih dipelihara dan menjadi tarikan pelancong. Tarian Portugis boleh ditonton di Kampung Portugis termasuk di restoran.


Kebanyakan lagu dan tarian ada pengaruh Portugis tetapi sudah diubah-suai, tariannya rancak dan kostum berwarna-warni antara ciri tarian Portugis


Papa Joe atau nama sebenarnya Marvel Lazaroo, 70, pengusaha restoran di Kampung Portugis antara yang aktif mempromosikan budaya orang Portugis dengan mengadakan persembahan di restorannya. 

Beliau yang mempunyai kumpulan kebudayaan mahir dalam permainan muzik irama Portugis dan kerap mengunjungi Portugal bagi membawa balik lebih banyak tarian untuk dikongsikan masyarakat di situ.

“Paling popular mestilah lagu Jingkling Nona. Apa saja upacara khusus, mesti lagu berpantun ini dinyanyikan secara sepontan. Lelaki tanya, perempuan jawab, tapi sekarang tidak ramai yang tahu dan mahir dalam seni berpantun ini.

Jingkling Nona berasal dari Goa. Orang India ketika berjoget menggunakan rantai kaki dan orang Portugis membawanya ke negara ini. Banyak lagi lagu Portugis berusia ratusan tahun ada di sini. Lagu ini dipengaruhi orang kulit hitam dari Angola, satu lagi koloni Portugis.

Lagu itu menceritakan kemasukan mereka ke Melaka dan ketika pesta Intrudu. Ada cerita mengenai asal usul mereka,” ceritanya.

Mungkin versi ceritanya sedikit berbeza kerana menurut beberapa penggerak kebudayaan, tarian dan kesenian di situ diwarisi daripada paderi yang datang ke Portugis. Menurut Papa Joe, ia dicetuskan dua penduduk kampong itu, Cristine Rodrigues dan Nunis yang dibawa ke Portugal untuk mempelajari tarian dan nyanyian pada 1957.

Antara lagu dan tarian yang dibawa balik dari Portugal ialah TianicaO MaliauCarmachaO ViraTiro Liro Liro dan O Limao. Mereka mengajar tarian itu kepada penduduk kampung Portugis selain seorang lagi turut ke Portugal selepas itu, Clamant Da Silva.

Dulu ada tarian Baile De Roda yang kini sudah tidak dipraktikkan. Keunikan utama tarian Portugis ialah melodi dan pergerakannya yang sangat menghiburkan. Ada yang pantas dan perlahan tetapi cukup mempersonakan. Penuh warna warni.

Susah untuk menceritakan persamaan dan perbezaan tarian di sini dan di Portugal. Cuma di Portugal, tariannya lebih kepada melompat. Di sini ada larian dan pergerakan lebih pantas mungkin kerana kami mengabungkan pelbagai tarian dari lokasi berbeza di Portugal.


Pakaian penari kekalkan ciri seperti pekebun yang berwarna warni untuk menarik perhatian
Lebih unik, tarian begini hanya ada di Melaka dan pelancong menyukainya. Kebetulan hanya tarian, nyanyian dan muzik menjadi kebudayaan kami. Gitar Portugis dan kerincing ialah alat muzik unik yang tidak semua orang mahir menggunakannya,” katanya.

Bagaimanapun, usaha mempertahankan seni budaya itu semakin sukar kerana kurang anak muda mahu mempelajarinya walaupun dijanjikan imbuhan setiap kali diadakan persembahan. Di Kampung Portugis ada sekurang-kurangnya tiga kumpulan yang aktif iaitu di bawah kendalian Papa Joe, George Paul Overee dan Marina Linda Danker.

Jika Papa Joe lebih menfokuskan remaja dan membuat persembahan komersial, Marina dan George mamberi tumpuan kepada kanak-kanak untuk mempertahankan seni itu.

Menonton persembahan mereka cukup menghiburkan. Irama rancak diimbangi gerak tari yang pantas disulami tepukan tangan membuatkan mata tidak berkelip. Tidak hairan ada pelancong di restoran Papa Joe tidak senang duduk. Mulanya sekadar menggoyangkan kaki, tak lama selepas itu menyertai tarian penari.

Kebanyakan lagu yang mengiringi tarian mempunyai cerita yang berbeza antara kumpulan penari. Noel Felix, yang masih aktif menggerakkan kumpulan kebudayaan ketika usia mencecah 80 tahun menggunakan lagu Kapten De Barku yang menceritakan pengalaman kapten Portugis dalam kapalnya.

“Kebanyakan lagu dan tarian ada pengaruh Portugal tetapi diubah suai. Pakaian masih mengekalkan ciri seperti pekebun tetapi berwarna warni untuk menarik perhatian penonton. Variasi dalam tarian Portugis adalah tarikan utama.

“Identiti utama tarian Portugis d Melaka adalah adunan joget dan tarian Melayu. Lebih lincah berbanding di Portugal,” ceritanya yang dikatakan satu-satunya pakar Jingkling Nona dan mampu berpantun dalam lagi itu secara spontan.

Identiti utama tarian Portugis adalah adunan joget dan tarian Melayu
Papia Kristang ditutur sejak 500 tahun lalu

Papia Kristang ialah bahasa yang digunakan lebih 1,000 masyarakat Portugis di Melaka, termasuk generasi tua yang berhijrah ke Kuala Lumpur dan Singapura. Meskipun nama untuk bahasa itu pada umumnya dituntut menjadi bahasa Kristian, penuturnya lebih selesa menamakannya sebagai Kristang bagi merujuk diri dan agama mereka. Kristang disebut dengan pelbagai nama antaranya dalam bahasa Inggeris disebut Portugis dan dalam bahasa Melayu disebut Serani.

Perkembangan Papia Kristang banyak berkait rapat dengan sejarah penjajahan etnik itu di Melaka pada abad ke-16. Ketika itu, difahamkan berlaku beberapa pinjaman dengan bahasa lain, khususnya dari Afrika dan Asia yang menjadi destinasi singgahan dan koloni Portugis.

Asal usul bahasa itu agak kompleks kerana sejarah penjajahan Portugis di Melaka turut disertai lebih 600 tentera India. Selepas penaklukan itu, kira-kira 300 tentera kekal sebagai kuasa penjajah dan menjadi punca perkembangan bahasa campuran itu.

Bahasa Portugis ini mungkin dituturkan orang Eropah di Melaka ketika itu, sedangkan tentera India pula kurang dipastikan sama ada turut menggunakan bahasa sama atau bahasa ibunda. Ketika itu, pengaruh bahasa Melayu lebih kuat dan dipermudahkan untuk penduduk asing terdiri daripada orang Jawa, Tamil dan Cina Hokkien.

Ada pendapat mengatakan Papia Kristang bukan bahasa standard Portugis kerana tatabahasanya berbeza. Ia hanya wujud di Melaka dan negara yang pernah menjadi koloni Portugis serta menerima campuran bahasa asing.

Malah, lagu Jingkling Nona ada dalam versi Macau tetapi berubah sebutan dan tatabahasanya. Orang Macau menyanyikannya sebagai ‘jingkling mana jingkling mana iou quere casa, casa nom tem porta qui laia logo passa’.

Sebenarnya, bahasa yang hampir sama dengan orang Portugis di Melaka turut dituturkan beberapa penduduk kawasan lain di Asia seperti di Indonesia iaitu di kawasan Jakarta (Tugu), Tekek (Flores), Orek, Andonara dan Ambon. Tugu ialah sebuah perkampungan desa, dua kilometer dari Pelabuhan Jakarta. Ia mungkin disebabkan ramai tentera Portugis dipenjarakan di Batavia semasa peperangan pada abad ke-17.

Selepas pembebasan mereka hasil campur tangan gereja Portugis, mereka mendapat tanah di Jakarta dan membina penempatan baru di sana, sekaligus mengekalkan cara hidup berbahasa dan budaya, sama apa yang ada di Melaka.

Sejurus Belanda mengambil alih Melaka pada 1641, sebilangan besar tentera Portugis lari ke Makasar. Apabila Belanda mengambil Makasar pada 1660 mereka menyertai masyarakat Portugis di Macau, Siam, Jakarta dan ada yang ke Flores.

Kini, selepas 500 tahun penjajahan di Melaka, bahasa unik itu terus dituturkan penduduk Portugis di Melaka dan di sekitar Asia. Di Melaka, dikatakan lebih 60% bahasa Papia Kristang digunakan.

Fakta : Papia Kristang

* Perkembangan Papia Kristang berkait rapat dengan sejarah penjajahan Portugis di Melaka pada abad ke-16. Ketika itu, berlaku beberapa pinjaman dengan bahasa lain, khususnya dari Afrika dan Asia yang menjadi destinasi singgahan dan koloni Portugis.

* Bahasa lama dan baku. Tidak ada pembaharuan dalam tatabahasa. Ia masih difahami orang di Portugal, tetapi nahunya berbeza.

* Berkembang ke Macau mungkin dibawa tentera Portugis dari Melaka. Papia Kristang serta bahasa Melayu digunakan di Macau seperti agar-agar, apam, baju, belacan, balai, belimbing, bayam, belangkas, bingka, bongkok, cekik, kajang, kenduri, kangkang, kangkung, karat, laksa, lapis, licin, lauk, murung dan nyonya.


English
Papia Kristang
Portugese
Thank You
Mutu Merseh
Muitas mercês
How Are You?
Teng Bong?
Estás bom?, lit. Têm bom?
Good Morning
Bong Pamiang
Boa Manhã
Good Afternoon
Bong Midia
Bom Meio-dia
Good Evening
Bong Atadi
Boa Tarde
Good Night
Bong Anuti
Boa Noite
Me
yo
eu
You (singular)
bos
vós
You (plural)
bolotudu
vós todos'
Mother
mai
mãe
Father
pai
pai
Wife
muleh
mulher
Husband
maridu
marido
Old Woman
bela
velha
Old Man
belu
velho
Little one
Quenino or Kenino
Pequenino
Fat
godru
gordo
Beautiful
Bonitu
bonito
Party
festa
festa
one, two, three, four,
five, six, seven, eight,
nine, ten
ungua, dos, tres, kuatu,
singku, sez, seti, oitu,
novi, des
um, dois, três, quatro,
cinco, seis, sete, oito,
nove, dez
SUMBER : LAMAN SERI